Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 23 Oktober 2020

YAMAHA VMAX : Raksasa Jalanan

Sebuah kapal perang pemusnah boleh digunakan untuk menjadi feri membawa penumpang, sebagai contoh, dari Butterworth ke Georgetown. Begitu juga, sebuah jentera seperti Yamaha VMAX ini boleh digunakan untuk menunggang secara santai bersama teman wanita anda dalam perjalanan ke tempat perkelahan yang girang dan penuh dengan gelak ketawa. Akan tetapi, menjadi feri bukanlah tujuan sebuah kapal pemusnah diciptakan. Begitu juga, menunggang dengan santai bukanlah tujuan VMAX ini diciptakan.

Generasi pertama VMAX (pada ketika itu dikenali sebagai V-Max) mula dikeluarkan pada tahun 1985 dengan kapasiti 1,197cc dan kuasa kuda 115.8bhp, dan dinaikkan sehingga 140bhp pada tahun 1996. Pada zaman itu, dengan sistem pembukaan injap V-Boost yang dicipta oleh Yamaha, ianya merupakan antara pelopor kategori motosikal muscle yang kini didiami oleh model-model seperti Ducati Diavel, Kawasaki ZRX1200, Triumph Rocket III dan Harley-Davidson V-Rod.

Kini, Yamaha kembali dengan generasi terbaru VMAX- dengan kapasiti enjin 1679cc, disusun di dalam konfigurasi V-Four, dan kuasa kuda yang mencecah 200bhp! Ini membuatnya antara motosikal paling berkuasa di jalan raya.

Tetapi memang itulah tumpuan utama Yamaha dalam menciptakan VMAX ini, kuasa!

Pertama kali menunggang VMAX ini, yang paling ketara ialah beratnya. Dengan tangki minyak yang penuh, berat motosikal ini mencecah 310 kilogram. Dari situ, kita sudah sepatutnya menyedari, ini bukanlah sebuah motosikal yang lincah. Ini bukanlah jentera untuk menjelajah jalan raya penuh berliku dengan selekoh-selekoh perlahan.

Walaupun begitu, ini bukan bermakna VMAX ini tidak berkeupayaan langsung dari segi pengendalian. Sistem ampaian depan dan belakang kedua-duanya boleh dilaraskan sepenuhnya untuk preload, compression dan rebound (beban awal, pemampatan dan pantulan). Ini membuatnya lebih responsif, terutama sekali jika dibandingkan dengan generasi yang pertama.

Ah… tetapi, kembali kepada asas kewujudan VMAX ini - kuasa.

Sistem V-boost generasi pertama telah digantikan dengan sistem YCC-i (Yamaha Chip Controlled Intake), yang memberikan anjakan kuasa pecutan sehingga membolehkan ia mencatat masa 0-100 kilometer sejam hanya 2.5 saat sahaja, tanpa keluar daripada gear pertama.

Dalam ujian bukan saintifik yang saya lakukan, gear pertama mencapai 116km/j sebelum mencecah garisan merah, gear kedua mencapai 133 km/j sebelum mencecah garisan merah, manakala gear ketiga pula 158 km/j. Saya tidak tahu pula pada kelajuan mana garisan merah dicecah untuk gear keempat dan kelima kerana tahap keberanian saya hanyalah berakhir di kemuncak gear tiga itu tadi.

Kuasa pecutan tidak bermakna jika motosikal itu tidak berdaya untuk berhenti. Sebagai padanan kepada kuasa dan daya pecutan yang tinggi ini, Yamaha telah melengkapkan brek hadapan dengan dua cakera, dicengkam oleh enam omboh manakala brek belakang pula menggunakan satu cakera dan satu omboh. ABS sudah tentunya disediakan juga.

Prestasi brek hadapan, dengan enam omboh itu sememangnya hebat dan ini sangatlah penting kerana tanpa daya henti yang hebat, menunggang VMAX ini dengan pantas boleh menjadi satu pengalaman yang meremangkan bulu roma anda…

Ini kerana anda tidak akan dapat menahan diri daripada membuka pendikit seluas-luasnya, untuk mengalami sepenuh kehebatan enjin sensasi VMAX ini. Dan tentang pendikit itu - ianya menggunakan sistem kawalan elektronik fly-by-wire bergelar YCC-T (Yamaha Chip Controlled Throttle) yang mula diperkenalkan pada model R6 mereka pada tahun 2006.

Pendikit YCC-T ini memberikan respons hampir serta-merta daripada pulasan tangan anda kepada sistem YCC-i yang disebutkan sebelum ini, membuatkan suap balik dari enjin kepada tubuh anda sungguh memuaskan.

Kuasa yang dikawal oleh cip elektronik ini dibawa ke tayar belakang melalui aci pacu (shaft drive). Ini sangat dialu-alukan kerana ianya mengelak daripada berlakunya fenomena rantai tersentap yang semestinya membahayakan pada jentera yang mempunyai 200bhp.

Penggunaan elektronik yang meluas pada jentera ini membolehkan Yamaha meletakkan sebuah “pusat maklumat” pada tangki palsu di hadapan pelana VMAX ini. Di situ, anda boleh memprogramkan skrinnya untuk menunjukkan petunjuk tahap minyak, suhu enjin, kadar penggunaan bahan api, kedudukan tuas pendikit, jam randik dan banyak lagi.

Terpacak di atas odometer pula ialah sebuah lampu LED yang akan menyala apabila nilai RPM mencecah 9,500. Tujuannya ialah supaya penunggang mendapat petanda visual untuk menukar kepada gear ke atasnya. Nilai RPM ini juga boleh ditukar melalui pusat maklumat kepada nilai yang anda inginkan. Maka, jika anda hanya ingin bertukar gear pada 3,500 RPM (kenapa anda ingin berbuat begitu?), maka bolehlah anda programkan lampu LED itu untuk menyala pada tahap itu.

Satu perkara yang tidak ada pada VMAX ini, ialah kawalan cengkaman (traction control) yang mana ini seolah-olah satu ciri kebolehan yang “tertinggal”, memandangkan sistem kawalan fly-by-wire ini membolehkan implementasi kawalan cengkaman. Boleh dikatakan ianya satu ciri yang perlu untuk motosikal berkuasa tinggi seperti VMAX.

Walaupun begitu, kawalan pendikit elektronik ini juga membenarkan anda menunggang motosikal ini dengan santai jika anda mahu. Bukannya tidak boleh. Kawalan elektronik ini menyebabkan respons kepada pemulasan tuas pendikit menjadi progresif dan dapat diramalkan, tanpa memberikan apa-apa kejutan. Bagi motosikal berkuasa tinggi seperti ini, respons yang progresif amat penting supaya pemindahan kuasa dari pergelangan tangan anda ke roda belakang motosikal berlaku seperti yang anda jangkakan dan tidak secara mengejut atau terlalu kuat. Pendikit tradisional yang menggunakan kabel ada kalanya boleh membuat ini berlaku, terutama sekali jika telah lama tidak disenggarakan.

Dari segi paras rupa, motosikal ini memanglah unik. Ianya brutal, dan bukanlah satu jentera untuk diperolok-olokkan. Sekali pandang, ianya seperti sebuah motosikal cruiser, dengan enjinnya yang tidak diselindung oleh apa-apa plastik pun, menyerlah sebagai fokus kepada keseluruhan motosikal ini. Fork hadapannya berukuran 52mm (dalaman), dicantumkan kepada tayar bersaiz 120/70 18. Tayar belakangnya pula bersaiz 200/50 18. Ekzosnya pula merupakan 2 corong besar dan kontot di kedua-dua belah motosikal, yang menambahkan lagi rupa ganas VMAX ini.

Manakala bunyinya pula … ah, tidak ada perkataan yang boleh menggambarkannya. Berenjin V4, 1,679cc dan dilengkapkan dengan corong ekzos besar… Bayangkan sendiri sahajalah. Pendek kata, mustahil ianya berbunyi songsang.

Pelananya juga rendah, hanya setinggi 775mm. Tetapi, kedudukan pasak kakinya tidaklah ke hadapan seperti sebuah cruiser. Tidak juga secara radikal ke belakang seperti sebuah superbike. Ianya terletak hampir betul-betul di tengah-tengah, di bawah pelana.

Ini memberikan posisi duduk yang lebih tegak, menghindarkan dari bersandar ataupun menunduk terlalu banyak. Sebab itulah, pada hemat saya, ini bukanlah sebuah cruiser. Ianya memang mutlak sebuah motosikal muscle dan tidak ada kategori atau bahagian lain untuknya.

Tangki minyak sebenar kenderaan ini terletak di bawah pelana pembonceng dan hanya sebesar 15 liter. Ini satu perkara yang perlu diberikan perhatian, kerana kadar penggunaan bahan api VMAX ini boleh mengalahkan sebuah kereta kecil!

Kadar purata penggunaan bahan api sepanjang tempoh pandu uji ini ialah 9.1L/100km. Ini bermakna jarak paling jauh boleh dicapai oleh motosikal ini ialah 160km. Dan kalau anda menunggangnya dengan lebih bersemangat, mencecah garisan merah setiap kali… mungkin hanya 120km sahaja.

Tetapi, elok pun tangkinya tidak besar. Seperti yang dikatakan awal tadi, ini bukanlah sebuah motosikal kembara. Bukan untuk menjelajah. Ianya paling sesuai di lebuhraya yang lebar, dan selekoh-selekoh yang panjang.

Di jalanraya yang berselekoh tajam, atau pun di tengah-tengah kotaraya, berat 310kg itu dapat dirasakan dan tayar depan dan belakang yang lebar juga membuatnya kekok dalam usaha untuk mengemudikannya terutama sekali dalam keadaan lalu-lintas yang sesak.

Dalam erti kata lain, ini bukanlah tunggangan harian ke tempat pekerjaan. Malah, boleh dirumuskan bahawa hanya ada tiga mod yang paling sesuai untuk VMAX ini, iaitu menunggang dengan laju pada jalan yang lurus, secara cekap pada selekoh-selekoh yang panjang dan pada waktu berhenti sepenuhnya untuk dikagumi khalayak ramai.

Dan tiada salahnya untuk mempunyai sebuah motosikal sebegitu! RR

Oleh: Dr Yusseri

Isu Pada

Julai 2016

Spesifikasi

Enjin4 lejang, 4 silinder V, DOHC 16 injap, sistem penyejuk cecair
Isipadu1,679cc
Gerek x Lejang90.0 x 66.0mm
Nisbah mampatan11.3:1
Kuasa maksimum200hp pada 9,000rpm
Tork maksimum166.80Nm pada 6,500rpm
Tinggi pelana 775mm
Berat310kg
Isi tangki15.14 liter
PengeluarHong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd.

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Penunggang Motosikal Antara Yang Maut Dalam Nahas Tiga Kenderaan

Penunggang motosikal maut dalam nahas melibatkan tiga buah kenderaan.

Model Baru

EICMA 2024: Nikmati Dunia Pengembaraan Dengan Voge Valico 800DS Rally

Voge menggunakan pentas global iaitu EICMA untuk melancarkan model kembara terbarunya iaitu Valico 800DS. Ia adalah sebuah jentera yang memberi cabaran dalam segmen Kembara/Adventure

Model Baru

CFMOTO 675SR-R Dilancarkan Pada Harga Asas RM37,888

Bersempena dengan majlis perasmian CFMOTO Flagship Store Sendayan Motor, Mforce Bike Holdings Sdn Bhd telah melancarkan model sport terbaru iaitu CFMOTO 675SR-R.

Warta Roda

LCR Honda Fan Enduro Day!

Berbeza dengan sebelum ini, pihak GIVI telah mengadakan LCR Honda Fan Enduro Day bertempat di KEV Enduro Park, Gamuda Gardens, Rawang.