HONDA CB500X 2016 : Jentera Adventure Mampu Milik
Model ini diperkenalkan pada tahun 2013 dan kini, selepas tiga tahun berada di pasaran.... jentera pengembaraan paling popular di Jepun, CB500X telah diperkenalkan kembali dengan nafas serba baru. Versi terkini CB500X ini dihasil berasaskan dua 'saudara’nya iaitu model berfairing penuh, CBR500R dan model jalanan, CB500F. Seperti model sebelumnya, CB500X ini juga amat berbaloi untuk dimiliki... bak kata orang putih, value for money!
'Jantungnya masih sama, jenis kembar parallel yang berisipadu 471cc, sistem penyejuk enjin dengan kerangka keluli jenis tiub. Jentera ini dibuat sepenuhnya di kilang Honda yang beroperasi di Thailand, tidak jauh dari Bangkok. Turut dibuat di kilang ini ialah model F/R yang kesemuanya kini dilengkapi dengan sistem ABS dengan tiga warna pilihan iaitu hitam, merah dan putih. Di Itali, harga CB500X baru ini ialah Euro 6,490 (termasuk cukai 22%) berbanding model 2013 iaitu Euro 6,100 dengan 90% daripada komponen-komponen jentera ini dihasilkan di Thailand.
Di kilang ini juga mereka menghasilkan komponen-komponen untuk model versi 400cc untuk ketiga-tiga model yang dipasarkan di Jepun. Dari Thailand, komponen ini dihantar ke Jepun untuk pemasangan sepenuhnya di negara matahari terbit itu. Untuk model 500cc, ketiga-tiga versi ini telah menerima kejayaan yang cukup luar biasa di pasaran Eropah dengan jumlah penjualan lebih daripada 30,000 unit dalam tempoh tiga tahun.
Kira-kira 16,000 unit daripadanya merupakan model F, model R (fairing penuh) dijual sebanyak 6,000 unit dan paling mengejutkan tentulah penerimaan pasaran untuk model X dengan jumlah penjualan lebih daripada 8,000 unit. Faktor utama model ini begitu laris ialah kerana ia diminati oleh semua jenis golongan tidak kira yang berpengalaman mahu pun penunggang baru.
Untuk pasaran tahun ini, Honda memperkenalkan model F dan R terlebih dahulu sebelum melancarkan CB500X dengan rekabentuk serba baru. Bijak! Honda simpan model yang paling best untuk masa paling sesuai. Kini model-model CB500X yang ditempah telah pun tiba di pusat-pusat pengedar tepat sebelum tibanya musim yang sesuai untuk menunggang.
Anda mungkin menyangka BMW telah melakukan perkara yang sama. Kilang TVS Motor di India kini sedang menghasilkan jentera 500cc dan jenama terbilang Jerman juga akan dihasilkan di kilang ini tetapi pastinya kita belum dapat melihat model terbaru BMW F310GS silinder tunggal dalam jangka masa terdekat. Tetapi Honda telah pun semakin kuat dengan pengenalan model CB500X ini dengan kualiti dari Jepun pada harga yang murah.
Semestinya BMW akan turut melakukan perkara yang sama seperti mana Honda yang telah 'belajar' tentang pemasaran di Asia melalui kejayaan KTM iaitu dengan menghasilkan sebuah produk yang menawarkan rekabentuk yang cool tetapi mampu milik – menjadikan ia model berprestij buat para pelanggan yang ingin menaik taraf kepada mesin yang lebih besar. Ia juga pilihan yang sesuai bukan mereka yang telah berjaya mendapatkan lesen baru untuk jentera lebih besar. Contohi KTM dan terkini, Honda... selesai!
Saya mendapat peluang menguji CB500X ini di Pulau Sardinia yang mempunyai pemandangan sangat indah dan jalan-jalan berselekoh yang menarik. CB500X ini juga amat sesuai dengan penguatkuasaan sistem perlesenan EU di mana penunggang berusia 19-24 tahun hanya dibenarkan memiliki lesen A2 untuk motosikal berkuasa 35kW atau 47bhp sahaja.
Tiada motosikal adventure yang dapat menepati kriteria ini tanpa melakukan talaan pada enjinnya. Untuk itu, para jurutera Honda yang diketuai oleh Naoshi Lizuka yang juga salah seorang lagenda yang mencipta Fireblade. Terkini, manusia berbakat ini telah berjaya mengembalikan semula model Africa Twin di pasaran dunia.
Jentera baru yang sesuai untuk pemegang lesen A2 di Eropah, enjin jentera Adventure ini dihasilkan di luar negara Jepun. Enjinnya berkuasa 35kW dengan ukuran dimensi 67 x 66.8mm memberikan isipadu 471cc. Honda mempunyai satu perkara agak aneh iaitu tidak akan menghasilkan enjin bersegi empat sama – itu kata Lizuka-san pada saya.
Enjin ini menawarkan kuasa maksimum 47bhp pada 8,500rpm dan tork maksimum 44Nm pada 7,000rpm. Tarikan utamanya juga adalah kerana CB500X ini benar-benar jimat dengan menawarkan 29.4 kilometer untuk 1 liter bahan api (model lama: 28.4km/liter) untuk tangki sebesar 17.5 liter. Tidak lupa juga kerana hantaran kuasanya yang cukup linear – sesuai untuk para penunggang baru.
Jalanan tepian pantai Sardinia membuktikan betapa seronoknya menunggang jentera ini. Enjin model ini langsung tidak bergegar walaupun ketika ditarik dari putaran enjin 1,300rpm hingga 9,100rpm. Kuasanya yang mantap dapat dirasakan dengan jelas sekali ketika enjin melepasi 6,000rpm dan kelancarannya membelah angin memang cukup mengujakan.
Walaupun sasarannya untuk penunggang baru, kemampuannya ketika di jalanan tetap menghiburkan para penunggang yang berpengalaman. Cuma mungkin penunggang 'otai' janganlah terlalu mengharapkan prestasinya sehebat jentera-jentera pengembaraan yang jauh lebih berkuasa yang pernah anda tunggangi.
Terima kasih kepada rekabentuk barunya... cantik! Lampu utamanya kini jenis LED dan bahagian hadapan ini juga lebih dinamik berbanding model lama. Model ini juga separuh lebih kecil jika diukur dengan Africa Twin atau Triumph 1200 Explorer. Sudah tentu CB500X ini memberikan pengendalian jauh lebih mudah serta penyelenggaraan yang lebih murah.
Tayar-tayar yang dilengkapkan pada jentera ini juga amat sesuai untuk digunakan di jalan jenis kasar atau jalan tanah yang tidak terlalu sukar. Ia tidaklah begitu lasak untuk kita bawa ke laluan offroad sebenar tetapi benar-benar saya katakan, CB500X memang cukup sesuai untuk tunggangan di Pulau Sardinia ini.
Seperti yang dikatakan tadi, enjinnya yang lembut dan senyap bagaikan 'bisu' lebih-lebih lagi apabila berkongsi dengan bunyi-bunyi trafik yang lain. Nisbah gear jentera ini agak rapat tetapi mekanisma tuas gear baru menjadi proses penambahan dan penukaran gear dapat dilakukan dengan pantas dan lancar.
Dengan menggunakan gear tertinggi, CB500X ini mampu memecut ke tahap maksimum pada kelajuan 180km/j – menurut Honda dan saya juga telah mengesahkannya. Model ini juga telah dilengkapkan dengan Honda Ignition Security System (HISS) dan saya juga tertarik dengan panel meternya yang memaparkan tahap kelajuan, putaran rpm, jarak perjalanan, data penggunaan bahan api, tahap bahan api dan jam.
Saya pernah membuat rungutan kepada pihak Honda agar melengkapkan panel meter ini dengan penunjuk gear tetapi sayangnya ia belum lagi diletakkan. KTM telah melengkapkan meter posisi gear ini pada jentera-jenteranya agar para penunggang baru dapat memastikan mereka berada di dalam kedudukan gear yang betul ketika menunggang – penting untuk jalan-jalan berselekoh. Saya juga beberapa kali berada lama di gear kelima, apabila tiba di putaran agak tinggi barulah saya dapati masih terdapat satu lagi gear untuk digunakan.
Sistem pancitan bahan api PGM-FI dengan pendikit bahan api 34mm menawarkan kuasa hantaran yang bukan sahaja lancar tetapi juga cukup mantap. Untuk mengimbangi prestasi enjinnya, Honda telah meneguhkan CB500X ini dengan penggunaan kerangka jenis cradle tiub keluli berdiameter 35mm. Lengan ayun dengan box-section yang dimantapkan oleh penyerap hentak Showa turut membantu kita berada di laluan dengan tepat dan selamat. Model 2016 ini juga dilengkapi dengan fork hadapan 41mm jenis Showa.
Saya cukup sukakan pelananya yang kini lebih luas dan lebih selesa walaupun ketinggiannya tetap sama iaitu 810mm. Ia juga menawarkan posisi menunggang yang natural walaupun bagi seorang wanita yang lebih rendah – saya menunggang bersama seorang yang setinggi 168mm dan mendapati dia dapat meletakkan kakinya dengan selesa.
“Setengah daripada pasukan kami ingin pelana ini ditinggikan agar lebih banyak ruang kelegaan tanah. Selepas membuat kajian, langkah terbaik ialah dengan mengekalkan ketinggian asal tetapi sudut pelana dikecilkan sedikit – berjaya dan terbukti sesuai untuk semua jenis penunggang,” kata Lizuka-san.
Memandangkan betapa seronoknya penunggang wanita memacu CB500X ini, saya yakin ia adalah mesin kegemaran kaum hawa. Cukup sepadan jika ditunggang bersama 'si abang' yang menunggang Africa Twin. Kadar penuilan yang lebih baik daripada bar hendal yang lebih lebar memudahkan kita membaringkan jentera ini ke kiri dan ke kanan.
Kelincahan Honda ini membuatkan saya menjadi ketagih untuk terus meratah setiap selekoh yang berada di Sardinia ini – betul... pengendaliannya cukup hebat! Dengan penyerapan sistem saspensinya, perjalanan di kawasan pergunungan yang kebanyakan jalannya tidak begitu baik disebabkan perubahan cuaca yang ekstrim.
Berat kering untuk CB500X ini ialah 178kg. Jumlah ini meningkat mencecah 196kg apabila dimasukkan dengan bahan pelincir dan bahan api ke dalam tangkinya bersaiz 17.5 liter. Bagaimana pun, sistem brek barunya jenis cakera 320mm di depan dan cakera 240mm (belakang) yang cukup efisien, proses membrek dapat dilakukan dengan cemerlang tidak kira dalam apa kelajuan sekali pun.
Turut diperkenalkan ialah versi Travel Edition yang ditawarkan oleh Honda Italia pada harga Euro7,280. Model ini dilengkapi dengan beg sisi kembar bersaiz 25 liter, cross bar dan kotak atas bersaiz 35 liter. “Kajian kami mendapati setiap penunggang motosikal memerlukan sekurang-kurang 20 liter ruang barangan jika melakukan pengembaraan selama dua minggu,” komen Lizuka-san.
“Untuk itu kami menambah 25% lagi ruang dengan dua buah beg sisi dan akan datang, saya lebih suka jika CB500X ini dilengkapkan dengan sepasang brek cakera berbanding hanya satu yang digunakan pada model sedia ada. Pastinya ia lebih sesuai bagi mereka yang berpengalaman yang sentiasa menunggang laju akan mahukan sistem brek lebih mantap,” tambah beliau lagi.
Dari segi gaya, CB500X ini lebih cantik berbanding model CB500 dengan rekabentuk hadapan berinpirasikan model pengembaraan BMW yang mempunyai peak. Bagi si pengembara, pelana lembut yang dipasang pada model ini sangat dialu-alukan. Honda juga telah membuat sedikit pembaharuan pada penutup tangkinya selepas rungutan dilakukan. Kini penutup tangkinya tidak lagi boleh ditanggalkan berbanding sebelumnya. Kedudukan tongkat sisinya juga telah diubah agar lebih mudah untuk digunakan. Paling bagus tentunya pada skrin motosikal Honda ini dapat diubah posisinya kepada 100mm lebih tinggi berbanding model terdahulu.
Honda amat yakin model ini akan lebih popular dan tidak dinafikan ia sememangnya benar. Di Itali orang menggelarnya Moto Totale – yang cukup sempurna untuk semua pencinta motosikal tidak kira tua atau muda, lelaki mahu pun wanita. Ketinggian pelananya juga memudahkan penunggang melihat keadaan trafik di hadapan.
Semestinya CB500X ini pilihan yang sesuai untuk pengembaraan di hujung minggu, tidak kiralah anda seorang yang sukakan jalan-jalan lasak atau jalanan biasa. Sejujurnya ia tetap model CB500X yang sama tetapi kini lebih baik, lebih cantik dan lebih berprestasi. Dulu dan kini… Honda sentiasa tawarkan jentera-jentera yang praktikal serta menyeronokkan agar mendapat kepercayaan oleh peminat lama dan pencinta baru. RR
Laporan: Alan Cathcart
Kredit foto: Honda Europe
Spesifikasi
Enjin | kembar parallel, DOHC, sistem penyejuk cecair |
Isipadu | 471cc |
Gerek x Lejang | 67 x 66.8mm |
Nisbah mampatan | 10.7:1 |
Kuasa maksimum | 47hp pada 8,500rpm |
Tork maksimum | 43Nm pada 7,000rpm |
Tinggi pelana | 810mm |
Berat Kering | 178kg |
Isi tangki | 17.5 liter |
Pengeluar | Honda Motor Company, Tokyo, Japan |
Popular