Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 10 Julai 2019

MV AGUSTA BRUTALE 1000 2020 Prototaip: Penantian Dijamin Berbaloi

Model MV Agusta Brutale 1000 Serie Oro telah dipilih sebagai The Most Beautiful Motorcycle Of The Show (di EICMA tahun lepas) yang disahkan menerusi sistem undian yang diterima daripada 16,000 pengundi. Kemenangan ini sememangnya amat membanggakan kerana turut sama memberi saingan ialah Ducati Panigale V4R, BMW S 1000 RR dan Aprilia RSV4 Factory.


Pengeluaran untuk model ini akan bermula pada Ogos ini. Menerusi suntikan dana terbaru oleh pelabur Rusia iaitu Timur Sardarov sebanyak €60 juta, jentera MV Agusta amat diyakini akan kembali ke landasannya dengan penuh bergaya. Walaupun Timur Sardarov kini memiliki peratusan saham lebih tinggi, dia masih kekalkan Giovanni Castiglioni sebagai presiden dan bekas orang penting dalam bahagian teknikal, Massimo Bordi.

Untuk terus berdaya saing, MV Agusta dijangka bakal memperkenalkan beberapa model terkini pada 12 bulan akan datang. Antaranya ialah Brutale 1000 yang dipertingkatkan, F4 Claudio dan Superveloce 800. Tidak lupa juga dengan pembikinan semula serba baru model-model Cagiva. Peluang untuk mengunjungi kilang MV di Lake Varese adalah suatu yang dibanggakan kerana saya adalah orang luar pertama yang berkesempatan melihat dan merasai Brutale 1000 generasi baru. Ia adalah produk pengenalan sejak Sardarov mengambil alih syarikat penuh sejarah ini. Apa yang saya boleh katakan... “penantian kita selama ini amat berbaloi.”


Harganya? Memang tinggi! Untuk 300 buah Brutale 1000 akan dijadikan versi Edisi Terhad Serie Oro yang berharga €42,999 termasuk 22% cukai tempatan (di Itali). Model ini hanya ditawarkan dalam warna Fire Red dan akan mula menemui pemiliknya pada tahun 2020. Selepas itu, barulah versi RR biasa akan mula dikeluarkan dan harganya juga agak tinggi iaitu sekitar €30,000. Itulah yang dikhabarkan oleh Pengarah Bahagian Teknikal, Brian Gillen yang mengetuai 21 orang jurutera di Varese.

Mereka ini bergabung tenaga dengan studio rekabentuk CRC yang terletak di San Marino di bawah kawalan Pengarah Rekabentuk MV, Adrian Morton. “Kami semua masih mentakrifkan spesifikasi paling sempurna untuk versi RR agar setimpal dengan harga yang ditawarkan. Model tersebut akan memiliki pretasi sehebat Serie Oro dan kunci utama untuk itu ialah dengan memasang sistem saspensi elektronik Ohlins. Jika dibandingkan dengan model 1090RR Brutale sebelum ini, hampir tiada bahagian yang diambil kecuali hanya 20% komponen seperti kotak gear dan kotak engkol yang juga diubahsuai,” kata Gillen.


Bagaimana rasa memacunya? Sebuah jentera jalanan yang sesuai untuk tunggangan harian tetapi mampu memecut lebih daripada 300km/j. Pertama, kekuatan ini datangnya dari enjin yang mampu menjanakan kuasa maksimum setinggi 208hp pada 13,450rpm dan tork 115Nm pada 9,300rpm. Hebat? Jangan lupa juga... walaupun enjinnya sekuat itu, MV Agusta ini mudah dan selesa untuk ditunggang dengan santai. Bagi mereka yang inginkan lebih kuasa, sistem ekzos titanium RCProject (pilihan) boleh meningkatkan kuasa kepada 212bhp pada 13,600rpm – sistem ekzos ini tidak menepati piawaian Euro 4.


MV ini juga turut dibina dengan menggunakan komponen berkualiti tinggi seperti titanium, magnesium dan gentian karbon yang menjadikannya ringan (186kg) dan tidaklah keterlaluan jika katakan Brutale 1000 ini bakal menjadi tanda aras terbaru dalam segmen jentera jalanan atau naked. Bagi Aprilia Tuono V4, kehadiran model ini bakal memberi cabaran hebat!

Satu lagi keunikan MV ialah menerusi rekaan enjinnya. Cuba lihat Ducati dan Aprilia yang saban tahun akan memperkenalkan model-model dengan sesaran lebih tinggi tetapi MV Agusta terbaru ini hanya 1,078cc berbanding sebelumnya Brutale 1090R. “Kita boleh mengekalkan kekuatan enjin menerusi satu atau dua cara iaitu sesaran lebih tinggi atau rev yang lebih kuat. Untuk dapatkan prestasi cemerlang dari semua segi, kami memilih 1,078cc dan memang benar ia kecil sedikit tetapi hantaran kuasanya terbukti lebih tinggi dan lebih mantap.

Saiz gerek tetap sama iaitu 79mm tetapi saiz lejang dipendekkan sedikit iaitu daripada 55mm kepada 50.9mm. Menerusi penciptaan enjin baru ini, ia juga adalah objektif penting MV Agusta iaitu untuk mendapatkan spesifikasi terbaik bagi generasi terbaru model Superbike F4. Sayangnya kadar penjualan jentera sport semakin menurun dan ini menyebabkan Sardarov dan Castiglioni membuat keputusan memberi tumpuan dalam pembinaan Brutale baru.

“Segala apa yang kami pelajari dari perlumbaan WSBK menerusi pelumba hebat Leon Camier dan Jordi Torres yang mempertingkatkan keupayaan enjin F4 kini telah disalurkan kepada Brutale baru ini. Enjin inilah yang Leon Camier inginkan selama ini dan jika kami dapat memberikan enjin ini padanya dua tahun lalu, kami yakin dia akan cemerlang menaiki podium,” kata Gillen.


Proses pembinaan model ini telah bermula kira-kira dua tahun yang lalu. Walaupun menggunakan kotak engkol yang sama seperti sebelumnya, para jurutera MV telah membuat perubahan terutamanya pada sistem pengaliran cecair untuk lebih efisien ketika membuat pecutan. Ia memberikan kuasa lebih 1G apabila kita menekan suis Launch Control di bar hendal kanan untuk memecut dari 0-100km/j hanya dalam 2.9 saat.

Phew! Sememangnya pasukan R&D telah menghasilkan sesuatu yang mengingatkan kita dengan jentera MV Mike Hailwood yang menjuarai Kejohanan Dunia 500GP pada tahun 1960. “Fizik dalam penciptaan motosikal tidak pernah berubah sejak ia dihasilkan hinggalah ke saat ini. Kami memakai semula teknologi lama untuk konteks zaman baru ini,” komen Gillen.


Model terbaru Brutale 1000 disempurnakan dengan penggunaan sistem ride-by-wire (RBW) yang menawarkan empat mod tunggangan iaitu Race, Sport, Rain dan Custom. Kesemua talaan mod ini boleh ditukar mengikut kehendak penunggang tanpa perlu mematikan enjin atau memberhentikan jentera ini. Ia boleh dilakukan walaupun ketika membuat pecutan. Brutale turut dikemaskan dengan sistem traction control (TC), Engine Braking Control, Anti-wheelie Control , Race Mode Cornering ABS dan Powershifter (V telah memperkenalkan sistem ini pada motosikal keluaran mereka sejak lima tahun yang lalu).


Sistem penyerap hentak elektronik semiactive jenis Ohlins yang dimiliki oleh model ini memang sangat memuaskan. Peredam elektronik ini akan bertindak secara automatik mengikut kondisi jalan dan gaya tunggangan menerusi fork hadapan 43mm jenis NIX dan penyerap hentak 120mm jenis TTX. Kadar redaman ini juga akan berubah mengikut mod tunggangan yang dipilih. Apabila menunggang santai di dalam bandar, tahap redaman ini cukup ringan tetapi ia akan bertukar bertambah progresif/keras apabila kami memecut lebih laju sehingga 300km/j


“Dengan kekuatan tork dan hantaran kuasa yang cukup mantap, lengan ayun magnesium sememangnya amat sesuai untuk memastikan jentera terus stabil. Model ini juga dilengkapkan dengan brek hadapan jenis Brembo dengan angkup Stilema terkini 320mm dan belakang 220mm yang kini merupakan antara sistem brek paling cemerlang di pasaran,” komen Gillen.

Apa pun, ada satu sistem elektronik yang tidak lagi dipakai pada model ini ialah sistem MV Torque Shift System yang direka khusus untuk meningkatkan kuasa tork ketika putaran enjin rendah. Model F4 terkenal di seluruh dunia dengan adanya sistem ini. Jadi... Kenapa model ini tidak dilengkapkan dengan sistem itu?

“Selepas membuat analisa secara menyeluruh dan mendalam, saya dapati sistem ini tidak diperlukan kerana kekuatan torknya sudah pun mencukupi dan ia pula menyebabkan penambahan berat sekitar 1.6kg. Apabila menggunakan TSS, ia akan menambah kekuatan tork sehingga amat mudah untuk berwheelie.Walaupun sistem Anti-wheelie Control akan membantu, tetapi sememangnya untuk Brutale ia tidak diperlukan,” tambah Gillen.

Kecemerlangan model ini terbukti ketika saya memacunya di litar ujian Pirelli, Vizzola yang terletak kira-kira 30 kilometer dari kilang MV. Oleh kerana ia belum lagi didaftarkan secara sah, saya tidak dibenarkan menunggang Brutale baru ini di jalan raya biasa. Aduhai.... tayar-tayar Pireeli Diablo Supercorsa III yang dipasang pada model-model Brutale memang cekap mengawal segala pergerakan jentera ini.


Saya amat menyanjungi Andrian Morton apabila melihat jentera ini direka berasaskan semangat model Brutale asal Massimo Tamburini yang diperkenalkan hampir dua dekad yang lalu. Memang mengujakan memecut jentera ini dalam kelajuan tinggi sambil menikmati kemantapan bunyi dari sistem ekzosnya. Ya.... sistem ekzos ini melepasi piawaian Euro 4.

Ketika memulas pendikit di laluan lurus litar ini yang hanya 800 meter, Brutale memang benar-benar laju. Menerusi panel meter TFT bersaiz 5 inci, saya mudah melihat tahap kelajuannya … 233km/j dalam gear keempat! Dengan pantas kelajuan ini meningkat mencecah 278km/ dan 300km/j. Sistem Powershifter dua hala yang dimiliki oleh jentera ini juga tidak menghampakan.


Saya membrek dengan kuat untuk melihat keberkesanan brek-brek ini. Boleh saya katakan Brutale ini adalah salah satu jentera prototaip yang amat mengagumkan. Ketika masih menyertai perlumbaan WSBK, jentera F4 ternyata kurang kompetitif dan ia disebabkan sukar dikawal dan dijangka. Leon Camier dan Gillen ketika itu bertungkus lumus untuk mengatasi segala masalah – mereka berjaya. Kini hasil penambahbaikkan itu dapat dinikmati pada model Brutale baru ini.

Pemetaan enjin ketika menggunakan mod Sport dan Race cukup ideal. Boss MV mahukan kami mencipta sebuah jentera jalanan yang berprestasi tinggi dan dalam masa yang sama, ia boleh ditunggang dengan santai. Tahniah buat seluruh pasukan MV yang berjaya melahirkan semula Brutale dengan sangat bijak walaupun ia ternyata satu tugas yang cukup sukar. Bagi mereka yang telah mengundi motosikal ini sebagai pemenang di EICMA tempohari, anda juga orang yang bijak. RR

Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: Kel Edge

Isu Pada

Julai 2019

Spesifikasi

Enjin4 lejang, 4 silinder, DOHC
Isipadu998 cc
Gerek x Lejang79 x 50.9 mm
Nisbah mampatan13.65:1
Kuasa maksimum208hp pada 13,450 rpm
Tork maksimum115Nm pada 9,300 rpm
Tinggi pelana845 mm
Isi Tangki19 liter
Berat186 kg
Laju maksimum302km/j

Popular

  • Dari Litar

    Voge Formica Rossa 150 Bakal Muncul di Perlumbaan CubPrix & ARRC Musim Depan

  • Warta Roda

    Honda RS150R Tiba Dengan Warna Baru

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Model Baru

Moto Morini Calibro 700 Masuki Pasaran Negara. Harga bermula RM35,888

Mforce Bike Holding selaku pengedar rasmi jenama Moto Morini di Malaysia dengan bangganya melancarkan model ketiga hari ini iaitu Calibro 700.

Warta Roda

RXZ Twin Boss V2 Oleh FNG Works Akan Dipamerkan di Yokohama Hot Rod Custom Show 2024 di Jepun!

RXZ Twin Boss V2 yang menang di AOS2024 dalam pertandingan Art Of Speed Invitational Bike Build Off akan dipamerkan di Yokohama Hot Rod Custom Show 2024.

Warta Roda

Kemalangan Kereta Dengan Motosikal Berkuasa Tinggi, Penunggang Maut

Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut setelah terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Batu 6, Jalan Kangkar Baru Paloh, Yong Peng, jam pukul 10.15 pagi semalam.

Warta Roda

Operasi Khas Motosikal Besar-Besaran Bermula....

Operasi Khas Motosikal akan dijalankan secara besar-besaran bermula 1 November hingga 31 Disember di seluruh negara susulan peningkatan kadar kemalangan yang direkodkan pada tahun ini.