Yamaha MT-25 dan MT-15 Sudah Tiba!
Untuk memperkukuh jenamanya, Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM) dengan bangganya telah melancarkan model terkini mereka iaitu Yamaha MT-25 untuk pasaran negara. Majlis pelancaran ini telah berlangsung di Sofitel Hotel & Resort, Kuala Lumpur.
Jentera ini merupakan sebuah model naked yang diilhamkan daripada siri keluarga MT iaitu MT-10, MT-09 dan MT-07. Bertemakan ‘Rush of Darkness, model ini tampil dengan rekabentuk cukup agresif dan menawan serta mampu menarik perhatian sekeliling.
MT-25 dipadankan dengan enjin empat lejang, dua silinder, 249cc, DOHC dengan sistem penyejuk cecair. Enjin yang bertransmisi 6 kelajuan in mampu menghasilkan kuasa maksimum 26.5kW pada 12,000rpm dan tork 23.6Nm pada 10,000rpm.
Paparan meter LCD penuh memaparkan segala informasi yang diperlukan seperti tahap kelajuan, putaran rpm, kedudukan gear, masa, tahap bahan api, dan jarak perjalanan. Bahagian hadapan diserlahkan lagi dengan sepasang lampu LED berkembar serta lampu utama LED di tengah. Lampu belakang dan lampu isyarat juga adalah jenis LED.
Turut digelar sebagai Master of Torque, MT-25 disempurnakan dengan saspensi hadapan jenis terbalik (USD) manakala belakang penyerap hentak tunggal yang menjanjikan pengendalian yang lebih selesa. Untuk mengutamakan keselamatan penunggang, Model ini disempurnakan dengan sepasang brek jenis cakera di bahagian hadapan dan belakang yang turut dilengkapi dengan sistem ABS.
Yamaha MT-25 hadir dalam dua pilihan warna iaitu Ice Fluo dan Yamaha Blue. Model ini akan berada di semua pengedar sah Yamaha bermula 18 September 2020 pada harga RM21,500 (tanpa insurans dan pendaftaran). Menariknya, pembeli jentera ini berpeluang menerima barangan eksklusif berupa rantai First Edition MT Series yang dicipta oleh Royal Selangor serta turut menerima kunci brek cakera Yamaha secara percuma.
Dalam majlis yang sama, HLYM turut mempertontonkan sebuah lagi model dalam siri MT iaitu Yamaha MT-15. Model ini akan berada di pasaran pada bulan November. Harga rasmi MT-15 masih belum diumumkan. RR
Popular