DUCATI MULTISTRADA 1200 ABS & 1200 S Baru
Ducati Malaysia telah melancarkan dua model terbaru iaitu Multistrada 1200 dan Multistrada 1200 S. Model terbaru ini adalah hasil kecemerlangan dalam rangkaian model Ducati, berciri gaya Itali yang unik dan rekabentuk serba baru. Model ini akan menjadi tarikan utama kepada peminat jentera dual purpose di seluruh dunia.
“Tahun 2016 merupakan 'batu loncatan' kepada Ducati Malaysia. Multistrada 1200 terbaru ini adalah model terpenting kepada kami di dalam segmen motosikal premium untuk menambat hati peminat Ducati di Malaysia. Kami akan terus menawarkan elemen gaya hidup di dalam produk-produk yang dipasarkan untuk memastikan para pelanggan mendapat yang terbaik,” kata En. Jack Lo, Ketua Operasi Next Bike Sdn Bhd.
Kedua-dua generasi terbaru Ducati Multistrada 1200 ini didatangkan dengan enjin berkembar L -twin 1198cc dan dilengkapi sistem Testastretta Desmodromic Variable Timing (DVT). Sistem ini pertama kali digunakan di dalam industri motosikal dan ianya mengoptimumkan prestasi keseluruhan enjin di setiap banjaran kuasa dalam semua kondisi tunggangan. Dengan DVT ini juga memastikan kuasa maksimum pada putaran enjin yang tinggi, penghantaran kuasa yang lancar, kuasa tork mantap pada rpm rendah dan penggunaan bahan api yang lebih menjimatkan.
Enjin terbaru ini menghasilkan kuasa setinggi 160hp pada 9,500rpm dan tork setinggi 136Nm pada 7,500rpm. Enjin terbaru ini juga dilengkapi dengan klac basah enam kelajuan dan mematuhi sepenuhnya regulasi Euro 4.
Multistrada 1200S dilengkapi dengan ciri-ciri electronic cruise control dan dipadankan dengan paparan meter digital sepenuhnya jenis LCD. Empat mod iaitu Sport, Touring, Urban, Enduro memberikan pengalaman menunggang yang mengasyikkan. Model ini ditawarkan pada harga atas jalan RM135,999.00 (termasuk 6% GST dan tanpa cukai jalan).
Multistrada 1200 ABS merupakan model standard dan ditawarkan pada harga yang lebih rendah iaitu RM119,999.00 (termasuk 6% GST dan tanpa cukai jalan). Kepada para peminat, segeralah berkunjung ke bilik pameran Ducati berhampiran anda untuk melihat dan memiliki jentera yang sinonim dengan warna merah ini. RR
Popular