Triumph Memperkenalkan Tiger 800 (XC & XR) & Tiger 1200 (XC & XR)
Triumph Motorcycles telah memperkenalkan empat model terbaru yang terdiri daripada Tiger 800 XC, Tiger 800 XR, Tiger 1200 XC dan Tiger 1200 XR. Keempat-empat model ini dipertontonkan di Pameran Antarabangsa EICMA, Milan pada awal November lalu.
Kedua-dua model Tiger 800 XC dan XR terbaru ini telah diberikan sentuhan baru lebih terperinci dengan 200 penambahbaikkan dilakukan pada bahagian casis dan enjin. Ini merangkumi beberapa peningkatan yang dilakukan untuk disesuaikan dengan tunggangan di laluan offroad serta di jalanan biasa.
Selain memperkenalkan enjin generasi baru, Triumph telah menyasarkan peningkatan khususnya pada teknologi, keselesaan dan gaya. Dengan kebijaksaan ini, Tiger 800 memiliki kelebihan di semua jenis jalanan. “Kami telah membangunkan teknologi terkini dan mengemas kini prestasi jentera ini agar Tiger 800 memiliki kemampuan hebat di jalan biasa dan di laluan offroad. Tiger terbaru lebih tangkas, mudah ditunggang dan sememangnya dibuat untuk menikmati pengembaraan maksima – di setiap hari,” kata Ketua Pegawai Komersial Triumph Motorcycles, En. Paul Stroud.
Enjin tiga silinder, 800cc Tiger ini menawarkan hantaran kuasa yang pantas dan tepat dengan kuasa maksimum setinggi 95PS. Model ini juga memiliki karaktor yang dilihat lebih mantap manakala sistem ekzosnya yang lebih ringan menawarkan bunyi yang lebih sporty. Ia juga dilengkapkan dengan nisbah gear pertama lebih pendek untuk daya tarikan terbaik di laluan offroad, respon enjin cemerlang dalam kelajuan rendah dan memiliki pecutan yang sungguh mengagumkan. Untuk model XC, penambahan mod tunggangan Off-Road Pro disediakan buat para penunggang yang lebih berpengalaman.
Ciri-ciri terbaru yang dilengkapkan pada model ini ialah panel meter TFT bersaiz 5” yang berwarna dan jelas, lampu-lampu LED, rekabentuk ergonomik, kawalan joystick, cermin pengadang udara boleh laras 5 tahap, warna terkini, 6 mod tunggangan dan brek hadapan Brembo berspesifikasi tinggi.
Pengendalian yang cekap dan kepesatan teknologi adalah ciri-ciri utama yang menjadikan pengalaman menunggang model ini hebat dan Tiger 800 disempurnakan dengan sistem ABS, traction control, ride-by-wire, cruise control (baru dikemas kini), pemanas pelana dan bar pemegang, soket dan dua posisi ketinggian pelana (810-830mm untuk model XR, 840-860mm bagi model XC) yang boleh dilaras kepada 20mm untuk kesesuaian menunggang. Terdapat juga model XRx yang berpelana lebih rendah iaitu 760mm.
Model lebih besar, Triumph Tiger 1200 XC dan XR terbaru adalah model paling canggih dan termaju pernah dihasilkan. Model ini juga merupakan edisi terbaru jentera lagenda yang telah megah di jalanan sejak 80 tahun yang lalu dan pembinaannya adalah untuk pengendalian muktamad di jalanan biasa mahu pun ketika merentasi cabaran off-road.
Model baru ini 10 kg lebih ringan berbanding sebelumnya dan ini disumbangkan oleh pembangunan enjin, casis dan sistem ekzos. Kedua-dua model baru dari Triumph ini terbukti lebih responsif dan dinamik, sementara memiliki ketangkasan dan pengendalian cemerlang.
Tiger bersesaran 1215cc, berkuasa 141PS dan turut diperkemaskan dengan teknologi seperti Triumph Adaptive Cornering Lighting yang menambah kadar penglihatan ketika di dalam selekoh, sistem cruise control yang dikemas kini, paparan panel meter TFT, lampu-lampu LED, pemanas tempat pemegang, Triumph Shift Assist untuk penukaran gear tanpa klac, sistem nyalaan tanpa kunci, mod tunggangan Off-Road Pro untuk model XC, ABS, traction control, ride-by-wire, hill hold dan 6 mod tunggangan yang pastinya disukai oleh para pengembara motosikal.
Untuk keselesaan dan keselamatan pemiliknya, Triumph ini didatangkan dengan posisi bar hendal yang direka semula, geometri kerangka yang diperkemaskan khusus untuk kesesuaian pengembaraan yang berjarak jauh. Kedua-dua model baru ini turut disempurnakan dengan brek-brek jenis Brembo, saspensi WP yang dikawal oleh teknologi Triumph Semi-Active Suspension, dua ketinggian pelana (835-855mm) boleh dilaraskan kepada 20mm, model varian rendah XRx yang bertinggian 815-835mm.
Menurut pihak Triumph Malaysia, model ini akan berada di Malaysia pada Mac 2018 dan harganya juga masih belum dapat diketahui lagi. RR
Popular