Ducati SuperSport & SuperSport S Baru
Sempena perlumbaan Shell Malaysia Motorcycle Grand Prix 2017 yang berlangsung di SIC pada akhir bulan Oktober lalu, Next Bike Sdn Bhd selaku pengedar rasmi jentera Ducati di Malaysia telah melancarkan model terbaru Ducati SuperSport dan SuperSport S. Jentera baru ini dihasilkan buat mereka yang inginkan sebuah mesin gaya sport yang seronok, lincah dan boleh ditunggang seharian di jalan-jalan biasa.
Ducati SuperSport ini didatangkan dengan enjin silinder kembar Testastretta bersesaran 937cc yang menawarkan kuasa maksimum 113hp pada 9,000rpm dan tork 96.7Nm pada 6,500rpm. Untuk memberikan kepuasan dan keyakinan para pemiliknya, model baru ini turut dilengkapi dengan Pek Keselamatan Ducati (ABS Bosch + Ducati Traction Control) dan tiga jenis mod tunggangan (Sport, Touring dan Urban).
Kerangkanya jenis Trellis cukup tegar manakala kestabilannya di semua jenis permukaan datangnya dari sistem saspensi hadapan dan belakang yang mantap. Ducati SuperSport ini juga disempurnakan dengan tayar-tayar Pirelli Diablo Rosso III yang telah terbukti berkualiti tinggi.
Model 'S pula memiliki spesifikasi yang lebih mengagumkan seperti Ducati Quick Shifter up/down, fork hadapan jenis Ohlins TIN-treated, penyerap hentak Ohlins. Model SuperSport ditawarkan pada harga RM80,899 (termasuk GST) dan didatangkan dengan warna cukup menarik iaitu Ducati Red manakala model 'S' pula menawarkan dua warna pilihan iaitu Star White Silk dan Ducati Red pada harga RM88,899 (termasuk GST).
Ducati Malaysia juga sedang merancang untuk mengadakan kolaborasi bersama pihak JPJ, Persatuan Pengedar Motosikal dan Skuter Malaysia (MASAAM) dan lain-lain untuk menganjurkan pengembaraan motosikal dan program lain bagi memperkenalkan Malaysia sebagai destinasi pilihan buat para penunggang motosikal tempatan, Singapura dan negara-negara lain di Asia Tenggara. RR
Popular