Isu Terkini

Julai 2024

Model Baru / 10 Disember 2017

Dua Model Baru GPX Racing Bakal Dilancarkan

Bagi warga Thailand dan para pengguna motosikal di Kelantan, Perlis dan Kedah, GPX Racing bukanlah jenama motosikal yang baru. GPX Racing telah pun berada di pasaran Thailand hampir 10 tahun yang lalu dan merupakan pengeluar motosikal tempatan yang terkenal di tanahairnya. Bermula dengan mesin ATV, pengasasnya, Chaiyos Ruamjaipattanakul mempunyai visi yang cukup jelas dalam memperkenalkan produk-produk GPX Racing yang kini terdiri daripada pelbagai model seperti mini bike, motocross dan model jalanan.

Dengan kesungguhannya dalam memimpin jenama ini, GPX Racing ternyata mendapat kepercayaan daripada industri dua roda di Thailand dengan nilai pasaran yang semakin meningkat. Jumlah pasaran untuk GPX Racing pada tahun 2015 ialah sebanyak 13,222 unit dan meningkat dengan pesatnya pada tahun 2016 dengan jumlah 28,441 unit. GPX Racing menyasarkan penjualan sebanyak 31,500 unit pada tahun ini. Sehingga Ogos 2017, GPX Racing kini berada di tangga ketiga dalam nilai pasaran motosikal di Thailand dengan 1.70% manakala dalam segmen mini bike, GPX Racing berada di kedudukan teratas.

Kerjasama di antara GPX Racing dan Bike Continent Sdn Bhd di bawah teraju En. Ronnie Chen selaku Pengarah Eksekutif bermula pada awal tahun 2017. Bike Continent Sdn Bhd merupakan syarikat bersekutu dengan Motor Legend Enterprise Sdn Bhd yang juga merupakan pengedar rasmi jentera dari UK, Scomadi. En. Ronnie Chen yang mempunyai pengalaman luas dalam industri motosikal cukup berkeyakinan dengan kemampuan GPX Racing dalam penghasilan produk dua roda ini.

“Ketika melihatnya dari dekat di Pameran Autoshow di Bangkok awal tahun ini, saya dapati kualiti yang dimiliki oleh GPX Racing cukup tinggi. Sebagai pengeluar motosikal, kualiti rekaan luar dan spesifikasi enjin cukup penting demi memberi kepuasan buat para pemiliknya kelak. Saya juga amat mengagumi arah dan perancangan teliti yang diketengahkan oleh GPX Racing untuk menebusi pasaran di Thailand dan di negara-negara lain. Ia adalah sebab utama kami di Bike Continent Sdn Bhd amat mengalu-alukan kerjasama ini,” kata En. Ronnie.

Hasil hubungan niaga dua pencinta motosikal ini, dua model terbaru iaitu Gentlemen 200 dan Demon 150GN akan dibawa masuk ke pasaran Malaysia oleh Mofaz Motosikal Sdn Bhd dan diedarkan oleh Bike Continent Sdn Bhd yang beribu pejabat di Johor Bahru, pada suku pertama 2018.

Gentleman 200
Gentleman 200

Gentleman 200 merupakan sebuah jentera jalanan dengan gaya Cafe Racer yang cukup menawan. Lampu utamanya jenis LED berbentuk bulat dan dikemaskan dengan panel meter (juga berbentuk bulat) paparan digital berwarna hijau terang. Gentleman 200 dikuasakan oleh enjin 197cc, empat lejang, kotak gear enam kelajuan, sistem penyejuk minyak yang berkuasa 12kW (16hp) pada 7,500rpm dan mampu memecut sekitar 120km/j dengan selesa.

Gentleman seberat 160kg dan ternyata ia cukup lincah dalam setiap pergerakan dan untuk dipadankan dengan karaktornya, jentera ini dilengkapkan dengan brek-brek cakera di hadapan dan belakang. Model ini juga dimantapkan menerusi rim jenis jejari dengan tayar Pirelli Angel City bersaiz 110/70-17 (hadapan) dan 140/70-17 (belakang). Para pereka GPX Racing ternyata berjaya menilai keinginan para pencinta motosikal zaman kini seterusnya menzahirkannya menerusi Gentleman 200.

Rekabentuk tangkinya bukan sahaja cantik tetapi juga berkualiti dan pastinya para penunggang akan sukakan pelana Gentleman ini yang luas dan empuk. Pelana tunggalnya (single seat) boleh dibuka dengan mudah – sesuai untuk mereka yang ingin menunggang berdua. Posisi menunggangnya natural dengan ruang kaki yang cukup luas untuk semua jenis penunggang.

Bar hendalnya yang lebar memberi kawalan yang mudah ketika mengendalikannya dalam kelajuan rendah mahu pun laju serta di ruangan yang terhad.

Menurut pihak Bike Continent Sdn Bhd, model ini digilai di Thailand kerana kemampuannya untuk diubahsuai mengikut citarasa pemiliknya. Pelbagai aksesori sudah boleh didapati di Thailand dan di beberapa buah kedai di utara tanahair. Para pembaca boleh lawati laman FB mereka iaitu http://www.facebook.com/gpxracingthailand/ dan lihat sendiri gaya rekaan para pemilik Gentleman 200.

Model ini bakal ditawarkan pada harga di dalam lingkungan RM12,000 (tidak termasuk GST) dengan tiga pilihan warna iaitu Red Scarlet, Black Burn dan White Shark.

DEMON 150GN
DEMON 150GN

Demon 150GN pula merupakan jentera mini bike yang paling popular di Thailand. Dengan gelaran The King of Mini Bike, ia cukup berbeza dengan pesaingnya kerana Demon bukan jentera kecil! Ia cukup besar, tegap dan cukup 'sedap' ditunggang. Pelananya yang setinggi 770mm membolehkan penunggang yang tinggi dapat mengendalikannya dengan selesa. Model ini juga menawarkan keselesaan buat pembonceng kerana ketinggiannya.

Jentera ini bersesaran 149cc, empat lejang, sistem penyejuk udara dengan sistem transmisi lima kelajuan. Dengan kuasa maksimum setinggi 9.5kW (12.73hp pada 8,000rpm) serta kelajuan maksimum 100kmj, Demon ini pastinya seronok dipacu dalam semua kedudukan gear dan tahap rpm. Lampu utamanya direka besar dan terang yang dihasil untuk tujuan keselamatan disamping bentuknya yang garang. Panel meter jenis digitalnya boleh ditukar warna (biru, jingga dan kuning) yang jelas untuk dilihat. Bahagian belakang direka cukup bijak, ia tajam, dikemaskan dengan lampu LED yang tampak seperti jentera naked berkuasa tinggi.

Kami dapat merasakan ketegapan casis trellisnya sewaktu menukar arah dan membuat belokan manakala sistem saspensi hadapan (jenis terbalik) dan belakang (penyerap hentak mono) membantu jentera ini kekal selesa ketika berada di laluan yang kurang sempurna. Ya... prestasi jentera ini disumbangkan oleh tayar-tayar daripada IRC tire yang bersaiz besar iaitu 120/70-14 (hadapan) dan 140/70-14 yang dikawal oleh sistem brek jenis cakera di kedua-dua bahagian.

Demon 150GN ditawarkan pada harga di dalam lingkungan RM9,000 (tidak termasuk GST) dengan tiga pilihan warna iaitu merah, hitam dan hijau flourescent. Kedua-dua model ini akan dipasang sepenuhnya di Malaysia dan telah pun mendapat pengiktirafan daripada pihak AEON Credit dalam urusan jual-beli.

Menurut En Ronnie, GPX Racing turut membuat rancangan untuk jangka masa tiga tahun dengan 18 model terbaru akan dilancarkan dengan sasaran penjualan sebanyak 45,000 unit. Untuk itu, kilang GPX Racing di Pracha Uthit Road yang kini bersaiz 100,000 kaki persegi akan diperluaskan kepada 400,000 kaki persegi untuk menampung kemampuan pengeluaran sebanyak 150,000 unit setahun.

Untuk terus berdaya saing, Bike Continent akan terus memperkenalkan lebih banyak model pada tahun hadapan serta menganjurkan pelbagai aktiviti menarik khusus buat para pemiliknya. Dengan 180 buah pengedar di Malaysia, Bike Continent Sdn Bhd amat positif dengan pengenalan model terbaru ini dan menjanjikan perkhidmatan lepas jualan yang baik dan cepat. RR

Isu Pada

Disember 2017

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

Moto Morini Calibro 700 Masuki Pasaran Negara. Harga bermula RM35,888

Ducati Perkenalkan Panigale V2 & Streetfighter V2 Baru di Milan

EICMA 2024: Aprilia Tuono 457 - Jentera Jalanan Ada Aura

EICMA 2024: Nikmati Dunia Pengembaraan Dengan Voge Valico 800DS Rally

HLYM Perkenalkan Yamaha Y16ZR 6MRO Edisi Terhad – RM13,668

EICMA 2024: Fantic Caballero 700 Edisi Khas - Deluxe & Travel

EICMA 2024: Honda Perkenalkan CL500, Jentera Retro Moden

Disyorkan untuk anda
Model Baru

Moto Morini Calibro 700 Masuki Pasaran Negara. Harga bermula RM35,888

Mforce Bike Holding selaku pengedar rasmi jenama Moto Morini di Malaysia dengan bangganya melancarkan model ketiga hari ini iaitu Calibro 700.

Model Baru

EICMA 2024: Yamaha R3 'Kemas Kini' Lebih Mantap!

Berikutan pelancaran R9 baru tempohari, Yamaha memilihi 'pentas' EICMA untuk memperkenalkan model yang dikemas iaitu R3 untuk pengeluaran tahun 2025.

Dari Litar

Francesco Bagnaia Tawan GP Thailand Dalam Hujan

Francesco Bagnaia (pecco) membuktikan keupayaannya apabila menjuarai GP Thailand dalam keadaan cuaca dan litar yang sangat sukar.

Yamaha R9 - Generasi Terbaru Supersport

Untuk tahun 2025, Yamaha memperkenalkan model Supersport terbaru, R9 yang menawarkan prestasi cukup mantap dan teknologi canggih Siri R. Model ini direka berasaskan jentera perlumbaan sebenar.