Harley-Davidson Iron 1200 Kini Di Pasaran
Harley-Davidson of Petaling Jaya (H-DPJ) dengan jayanya telah melancarkan Iron 1200 sebuah model Sportster baru yang cukup menawan hati. Iron 1200 didatangkan dengan enjin 1,202cc V-Kembar yang menawarkan tork maksimum 73.0 ft.lbs atau 36% lebih tork berbanding enjin 883 Evolution yang diguna pada Iron 883. Iron 1200 ini pastinya memberikan kepuasan buat pemiliknya dengan kadar pecutan yang mengagumkan.
Rekabentuk jentera ini cukup unik dengan bar hendal jenis Mini Ape dengan kemasan warna hitam-satin yang menyerlahkan lagi imej chopper. Bar hendal berdiameter 1.0 inci ini berketinggian 8.75 inci, 32 inci lebar dan 6.5 inci ke belakang memberikan posisi menunggang yang lebih selesa dalam semua keadaan dan kelajuan.
Enjin, sistem ekzos, pelana, lengan ayun dan hampir keseluruhan bahagian belakang berwarna hitam yang memberikan imej lebih garang. Tangki model ini dianggunkan dengan gabungan jalur tebal berwarna dengan huruf formal, warna dan elemen grafik asal yang cukup popular pada tahun 1970an dulu. Terdapat tiga warna pilihan untuk tangki bahan api yang sebesar 12.5 liter iaitu Vivid Black, Twisted Cherry dan Billiard White.
Pelana Café Solo direka dengan cukup bijak untuk mengekalkan posisi penunggang ketika enjin 1200cc ditarik ke tahap maksimum.
Model ini dikemaskan dengan penggunaan rim 9 batang berwarna hitam dalam saiz 19 inci (depan) dan 16 inci (belakang) yang dipadankan dengan tayar Michelin Scorcher 31 berprestasi tinggi. Harley-Davidson turut menawarkan Harley-Davidson Security System dan sistem ABS sebagai pilihan tambahan.
“Dengan pengenalan dan kehadiran model ini di pusat pameran, kami mengalu-alukan para pencinta motosikal untuk datang dan melihatnya. Masa agak terhad kerana unit-unit tertentu ini sudah mempunyai pemiliknya,” kata Ketua Jualan H-DPJ, En. Ahmad Rano.
Sedikit info mengenai model ini. Sejak diperkenalkan pada tahun 1957, Sportster seringkali diubahsuai atau diberi penambahan baru oleh syarikat pengeluarannya atau pemiliknya sendiri. Model Sporster boleh dijadikan seperti Bobber, Chopper, Scrambler dan Café Racer. Ia menarik minat jutaan pencinta motosikal kerana ia pantas, mantap dan mudah untuk dikendalikan. RR
Popular