YAMAHA NIKEN : Revolusi Dunia Dua Roda
Model ini telah menjadi ‘Bintang’ ketika ia mula-mula dipertontonkan kepada para pencinta motosikal di Tokyo Motor Show pada 25 Oktober lalu dan sekali lagi memukau setiap mata yang melihatnya apabila diperkenalkan di Pameran Motosikal Antarabangsa EICMA pada awal November lalu oleh Valentino Rossi. Model yang dimaksudkan tidak lain dan tidak bukan iaitu Yamaha Niken.
Apa keistimewaan dan kehebatan model baru ini? Ok… dalam bahasa Jepun, Niken bererti ‘Dua Bilah Pedang’ yang berasal daripada ciptaan dua bilah pedang pada abad ke-17 di Jepun. Ia membuktikan satu revolusi dan merupakan era terbaru ketika itu dalam peperangan. Yamaha Niken merupakan motosikal tiga roda berkuasa tinggi Leaning Multi-Wheeler (LMW) yang dikuasakan oleh enjin tiga silinder dengan sistem penyejuk cecair. Teknologi LMW ini direka untuk mengurangkan kesan perubahan tunggangan serta untuk memberikan kestabilan tinggi dan keyakinan ketika membuat miringan.
Hasil daripada revolusi ini, kita dapat mengawal dan menikmati jentera tiga roda ini dalam semua keadaan, tidak kira untuk tunggangan sporty, meratah setiap selekoh tajam atau sewaktu menyusuri di pelbagai jenis permukaan jalan. Dua buah tayar di hadapan bererti, jentera ini dilengkapi dengan dua set brek hadapan bersaiz 298mm dan brek belakang bersaiz 282mm yang menawarkan tahap membrek dan daya tarikan (traction) yang belum pernah dimiliki oleh jentera lain.
Bahagian hadapan Niken dikemaskan dengan dua buah lampu LED yang disepadukan dalam fairing yang direka cukup aerodinamik dan semestinya tidak ada seumpamanya lagi di jalanan. Untuk disepadankan dengan rekaan dua buah tayar hadapan, dua buah lampu posisi telah dipasang dengan penuh gaya. Cermin pengadang hadapan juga direka untuk melindungi para penunggang Niken ini disamping keselesaan ketika memecut. Cermin sisi model ini direka berasaskan YZF-R1 yang disepadukan dengan lampu isyarat.
Rekaan unik LWM 3 roda ini memperkenalkan kita dengan dimensi serba baru berbanding motosikal biasa. Demi mengoptimakan pengendaliannya, Yamaha telah melengkapkan model ini dengan penggunaan lengan ayun aluminium sepanjang 552mm. Ia 15mm lebih panjang berbanding model MT-09 yang direka untuk lebih stabil di dalam selekoh.
Niken dikuasakan oleh enjin 847cc yang ditala serba baru. Ia dibangunkan daripada model MT-09, Tracer 900 dan XSR900 serta lengkap dengan teknologi elektronik terkini seperti YCC-T, D-Mode dengan tiga mod tunggangan, Cruise Control, Traction Control, Quick Shifter System dan A&S Clutch.
Dengan tangki bahan api bersaiz 18 liter, Niken ini mampu menjelajah ke pelbagai jenis jalan dan muka bumi sejauh 300 km dengan gaya serba baru dan pengendalian yang mengagumkan. RR
Popular