Tiga Varian Triumph Street Triple Yang Menggiurkan
Fast Bikes Sdn Bhd, selaku pengimport, pengedar dan penjaga rasmi bagi jenama Triumph di Malaysia telah melancarkan tiga varian terbaru mereka iaitu Street Triple RS, Street Triple R Low Ride Height (LRH) dan Street Triple S. Ketiga-tiga model jalanan ini bukan sahaja menawarkan rekabentuk yang garang dan terkini tetapi juga memiliki enjin yang cukup mantap.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2007, populariti Street Triple ini tidak perlu dipertikaikan lagi selepas dijulang di antara model ‘naked’ terbaik dengan penjualan melebihi 50,000 unit di serata dunia. Dengan pengenalan jentera terbaru ini, Street Triple menjanjikan peningkatan dalam semua segi demi memberikan kepuasan kepada mereka yang memilikinya.
“Street Triple menawarkan praktikaliti bagi mereka yang inginkan jentera tunggangan harian, dan ia mempunyai prestasi yang menakjubkan untuk tunggangan hujung minggu di litar. Street Triple baru ini dibina atas formula yang sudah terbukti dan ia telah menjadikannya lebih baik. Kami berasa yakin bahawa penunggang di Malaysia akan mendapati model ini cukup sesuai untuk keperluan mereka,” kata Ketua Pegawai Operasi Fast Bikes Sdn Bhd, Dato’ Razak Al-Malique di majlis pelancarannya.
“Tidak kira sama ada untuk berulang alik, mengembara atau menunggangnya di litar, mereka pasti akan menyukai prestasi Street Triple S, R dan RS yang baru ini,” tambah beliau.
Untuk membuktikan kemantapan jentera ini, pihak Triumph Motorcycle Malaysia telah menjemput beberapa wakil media untuk menunggang uji Street Triple ini di Litar Antarabangsa Sepang. Ternyata rupabentuk model ini cukup mencuri hati setibanya kami (para wartawan) di SIC. Bahagian hadapan model RS dan R dikemaskan dengan Daylight Running Lights (DRLs) yang mempunyai suluhan yang tajam dan terang untuk memudahkan kita dilihat daripada kenderaan lain. Casisnya, sistem brek Brembo M50, penyerap hentak Ohlins (RS) dan Showa (S dan R), sistem ekzosnya membuktikan jentera ini dibuat dengan cukup teliti dan memiliki mutu yang tinggi.
Panel meter ketiga-tiga model ini juga sangat mengagumkan. Model S didatangkan dengan panel meter LCD tetapi kecanggihan jentera ciptaan Triumph ini dizahirkan menerusi panel meter serba baru yang dilengkapkan pada model R dan RS. Kedua-dua model ini menawarkan meter digital TFT yang mempunyai beberapa tema dan corak susunan digital yang boleh ditukar-tukar mengikut citarasa penunggang itu sendiri. Secara asasnya, ia memaparkan pelbagai info yang sangat penting seperti jarak perjalanan, tahap kelajuan, putaran rpm, mod tunggangan, masa, tahap bahan api, posisi gear, tahap penggunaan bahan api semasa, suhu coolant dan banyak lagi.
Untuk disesuaikan dengan perbezaan tahap kemahiran penunggang, Triumph telah melengkapkan model-model ini dengan mod tunggangan yang bijak. Untuk model Street Triple S, terdapat dua mod tunggangan iaitu Rain dan Road dengan ABS dan sistem Traction Control (TC) manakala model RS pula dengan lima mod berbeza iaitu Rain, Road, Sport, Track dan satu mod tambahan yang boleh diprogram mengikut kesesuaian penunggang. Model R mempunyai mod tunggangan yang sama dengan RS kecuali ia tidak didatangkan dengan mod Track.
Sesi ujian pada hari itu dilakukan serentak dengan acara 'Track Day' yang dianjurkan oleh pihak yang berlainan. RR diberi pilihan untuk menguji model R terlebih dahulu, bermula dengan mod Rain. Ternyata respon kuasa enjinnya lebih lembut, tidak terlalu garang memecut ke hadapan. Benar... dengan mod ini, pemilik Triumph ini akan dapat mengendalikannya di permukaan licin atau basah dengan lebih selamat.
Setengah jam kemudian dan kali ini RR diberi peluang untuk melompat ke atas model Street Triple RS dengan mod Track. Enjin tiga silinder, bersesaran 795cc, DOHC dengan sistem penyejuk cecair mempunyai kuasa hantaran yang cukup mantap. Model RS ini memiliki kuasa maksimum setinggi 121bhp pada 11,700rpm dan tork 77Nm pada 10,800rpm yang cukup menggiurkan tidak kira dalam kedudukan gear apa sekali pun.
Model S mempunyai kuasa maksimum 111bhp pada 11,250rpm dan tork 73Nm pada 9,100rpm manakala enjin model R pula menawarkan kuasa setinggi 116bhp pada 12,000rpm dan tork 77Nm pada 9,400rpm.
Dengan adanya sistem quick shifter (model RS sahaja dilengkapi dengan sistem ini), kita dapat menggunakan sistem gear 6 kelajuan dengan lebih pantas, lancar dan selamat. Kita tidak perlu bersusah payah menarik tuas klac setiap kali ingin menurun/menambah gear dan dengan paparan posisi gear yang jelas, pasti setiap penunggang Street Triple RS dapat memilih kedudukan gear dengan tepat dan cepat sewaktu tiba di selekoh-selekoh tajam. Untuk mengelakkan roda belakang daripada terkunci ketika menurunkan gear dengan cepat, model RS dan R dilengkapkan dengan sistem Slip & Assist Clutch.
Kelincahan Street Triple ini meratah 15 selekoh-selekoh SIC yang cukup teknikal datangnya daripada kerangka yang ringan dan bertegaran tinggi. Penunggang dapat melayangkan jentera ini ke kiri dan ke kanan dalam kelajuan tinggi dengan mudah dan selamat. Ketika memperlahankan kelajuan dengan pantas untuk masuk ke selekoh pertama, selekoh 9 dan selekoh 15, Triumph ini benar-benar mempamerkan kemampuannya!
Gabungan brek hadapan jenis Brembo M50 dan fork hadapan Showa 41mm membolehkan kita menikmati setiap saat di dalam litar dengan cemerlang dan selamat sekali. Model RS turut dilengkapkan dengan brek belakang jenis Brembo bersaiz 220mm dan penyerap hentak mono Ohlins STX40.
Triumph R, S dan RS disempurnakan dengan tayar-tayar yang memiliki kadar cengkaman yang cukup mengagumkan. R dan S masing-masing didatangkan dengan tayar Pirelli Diablo Rosso Corsa manakala kemantapan pengendalian model Street Triple RS pula disumbangkan oleh Pirelli Diablo Supercorsa SP yang tidak perlu lagi dipertikaikan. Walaupun hanya dapat menikmati kira-kira lima lap di SIC bersamaan dengan 27,715 kilometer, RR dapat merasakan kebijaksaan para jurutera Triumph dalam pembikinan model jalanan ini. Mungkin di masa akan datang, kita berpeluang untuk merasai Triumph ini dengan lebih dekat dan lebih terperinci.
Model Street Triple R (LRH) didatangkan dengan tiga pilihan warna iaitu Crystal White, Phantom Black dan Matt Silver Ice yang berharga RM59,900. Model S pula memiliki dua warna pilihan iaitu Diablo Red dan Phantom Black pada harga RM52,900. Model tertinggi, Street Triple RS pula boleh dimiliki pada harga cukup menarik iaitu RM66,900 dengan warna Matt Silver Ice dan Phantom Black (Metallic). Kesemua harga-harga tersebut adalah termasuk GST. RR
Popular