NAZA Lancar Empat Motosikal Terbaru!
Sempena acara NAZA Merdeka Autofair 2017 yang berlangsung pada 10 hingga 13 Ogos lalu, NAZA World Group of Companies telah melancarkan empat buah motosikal terbaru daripada dua jenama iaitu Ducati Multistrada 950, Ducati Monster 797, Piaggio Medley S 150 ABS dan Vespa S125 I-GET di satu majlis yang cukup meriah.
“NAZA Merdeka Autofair 2017 merupakan masa terbaik untuk mengumumkan ketibaan Ducati Multistrada 950 dan Ducati Monster 797. Kedua-dua model baru ini merupakan model entry-level daripada jenama berprestij dari Itali,” kata Datuk Wira SM Faisal Tan Sri SM Nasimuddin, Pengerusi Eksekutif Kumpulan, NAZA World Group of Companies.
Ducati Multistrada 950
Diedarkan oleh Next Bike Sdn Bhd, ia merupakan jentera pengembaraan 'terkecil' yang menawarkan tunggangan dan pengendalian lebih mudah. Ianya merupakan pilihan terbaik buat mereka yang inginkan sebuah jentera pengembaraan dan pada masa yang sama mempunyai sifat lincah dan tangkas dalam semua keadaan. Model ini dilengkapkan dengan enjin 937cc Testastretta yang berkuasa 113hp pada 9,000rpm dan tork maksimum mencecah 96.2Nm pada 7,750rpm.
Berbanding model 1200, Multistrada 950 direka lebih ringan dengan ketinggian pelana 840mm. Ia turut dipadatkan dengan teknologi terkini seperti Ducati Safety Pack yang termasuk Bosch 9.1 MP ABS tiga tahap, Ducati Traction Control Tiga Tahap dan mod tunggangan seperti Touring, Sport, Urban dan Enduro. Multistrada 950 didatangkan dengan dua pilihan warna iaitu merah dan putih yang berharga dari RM85,900 (termasuk GST). Ingin ketahui prestasi model ini dengan lebih terperinci, sila baca ruangan Pandu Uji: Ducati Multistrada 950 yang disiarkan dalam majalah RodaRoda bulan Mac 2017 (Bil: 365).
Ducati Monster 797 merupakan sebuah jentera jalanan yang boleh ditunggang oleh sesiapa sahaja. Model ini menawarkan rekabentuk yang sporty, kompak dan cukup bergaya. Ia dikuasakan oleh enjin 797 Desmodue L-kembar yang dikemaskan di dalam kerangka jenis Trellis yang bertegaran tinggi. Monster 797 memiliki kuasa maksimum setinggi 75 hp pada 8,250rpm yang pastinya memberi kepuasan kepada setiap pemiliknya.
Dengan bar hendal yang lebar dan pengendalian yang sempurna, pergi ke mana sahaja tidak kira sama ada di jalanan biasa ataupun di desa, Ducati ini menjanjikan tunggangan yang lancar dan selesa. Monster 797 didatangkan dalam tiga warna pilihan iaitu Ducati Red, Star White Silk dan Dark Stealth pada harga bermula RM55,900 termasuk GST.
Naza Primera pula ingin menawarkan pengalaman menunggang yang cukup indah menerusi pengenalan dua buah jentera iaitu Piaggio Medley S 150 ABS dan Vespa S125 I-GET. Piaggio Medley S 150 ABS dihasilkan untuk mereka yang inginkan sebuah skuter yang moden dan serba baru untuk tunggangan harian. Model baru ini dilengkapkan dengan enjin 149cc yang menawarkan kuasa 15hp pada 7,750rpm dan tork 14.4Nm pada 6,400rpm. Antara ciri-ciri menarik yang dimilikinya ialah sistem 'Start & Stop', ABS, immobilizer, soket USB, lampu LED dan banyak lagi.
Piaggio ini juga merupakan sebuah jentera praktikal dengan adanya ruang simpanan di bahagian belakang bersaiz 36.2 liter, ruang simpanan kecil di hadapan dan paparan meter yang cukup kemas dan cantik. Terdapat tiga warna pilihan iaitu Biru, Merah dan Hitam yang dijual pada harga asas RM17,000 tidak termasuk GST.
Vespa S125 I-GET pula dikuasakan oleh enjin bersesaran 124.5cc dengan kuasa 10.2hp pada 7,600rpm dan 10.2Nm pada 6,000rpm. Sistem suntikan bahan api model ini telah dipertingkatkan untuk lebih efisien dan paling penting enjin Vespa ini mendapat kelulusan piawaian Euro 3 Multi-Directive. Gabungan penghasilan enjin yang mantap dan rekabentuk yang menawan adalah faktor utama model baru ini bakal mendapat perhatian oleh para pencinta motosikal.
Terdapat empat warna pilihan untuk model Vespa S125 I-Get ini iaitu Verde Matt (Hijau), Rosso Matt (Merah), Grigio Titanio (Kelabu) dan Arancio Taormina (Jingga) yang boleh dimiliki pada harga asas RM11,600 tidak termasuk GST.
Turut diperkenalkan pada hari itu ialah varian terbaru trak pick-up Chevrolet iaitu Colorado X, Colorado X-Urban dan Colorado X-ADV yang masing-masing ditawarkan pada harga bermula dari RM113,248.28 (tanpa insurans) dan RM145,578.28 (tanpa insurans). RR
Popular