Honda CRF 250L & CRF 250 Rally : Kini Sudah Boleh Dimiliki
Ini pastinya berita yang ditunggu-tunggu oleh para pencinta motosikal khususnya mereka yang sukakan pengembaraan motosikal. Boon Siew Honda Sdn Bhd (BSH) dengan rasminya memperkenal dua buah model baru iaitu CRF 250L dan CRF250 Rally yang menjanjikan keseronokan menunggang tidak kira di jalanan biasa mahu pun di laluan-laluan sukar atau offroad.
CRF250L mula diperkenalkan ke pasaran negara pada tahun 2012 dan telah menerima maklum balas yang cukup hebat di kalangan penunggang motosikal. Ciri-ciri istimewa yang dimilikinya seperti lincah, lasak dan senang dikendalikan menarik minat mereka yang baru ingin berkenalan dengan dunia sukan motosikal lasak dan juga yang telah berpengalaman.
Model baru ini dikuasakan oleh enjin bersesaran 249cc, DOHC silinder tunggal yang menawarkan kuasa maksimum setinggi 18.2kW pada 8,500rpm dan tork 22.6Nm pada 6,750rpm. Dengan penggunaan sistem suntikan bahan api PGM-FI, CRF ini tidak hanya memenuhi standard Euro4 malah menawarkan penjimatan bahan api yang mengagumkan. Dengan isian penuh tangki 7.8 liter, CRF250L ini mampu bergerak lebih daripada 250 kilometer dengan lancar sekali.
Untuk kemantapan tunggangan di jalanan biasa mahu pun di kawasan offroad, Honda telah menyempurnakan CRF ini dengan menggunakan kerangka jenis keluli yang bertegaran tinggi. Rekabentuk model ini juga dihasil berasaskan model CRF450 MX yang cukup mantap, kemas dan tahan lasak. Untuk disesuaikan dengan karaktornya, model ini dikemaskan dengan penggunaan brek-brek cakera berserta sistem ABS. CRF250L ditawarkan pada harga RM24,378.94 (termasuk GST tanpa cukai jalan, insurans dan pendaftaran) dengan warna menarik iaitu Honda Extreme Red yang dicantikkan lagi dengan warna hitam dan putih.
CRF250 Rally turut popular dengan panggilan Weekend Adventurer. Ia mempunyai kuasa maksimum 18.2kW pada 8,500rpm dan tork 22.6Nm pada 6,750rpm. Kerangkanya dibuat daripada keluli yang cukup tegap untuk semua jenis tunggangan. Gayanya diambil terus daripada model perlumbaan HRC CRF450 Rally dan walaupun asasnya adalah CRF250L tetapi model ini telah diberikan banyak perubahan agar tampak berbeza.
Antara perbezaan yang cukup ketara ialah cermin pengadang udara jenis floating, fairing baru, pelindung radiator, lampu utama dan lampu belakang jenis LED. Tangki model ini lebih besar, 10.1 liter yang menawarkan perjalanan yang boleh mencecah ke 320 kilometer dengan satu isian penuh. Model ini juga mempunyai fork hadapan yang tinggi jarak dan kelegaan tanah setinggi 270mm atau 15mm lebih tinggi daripada CRF250L agar tunggangan di kawasan offroad lebih mudah dan selamat.
Model ini juga menggunakan warna merah sebagai asas dan dikemaskan dengan warna hitam dan putih yang diinspirasikan daripada jentera HRC Factory. Miliki CRF Rally pada harga RM28,628.84 (termasuk GST tanpa cukai jalan, insurans dan pendaftaran) dan setiap pembelian jentera ini turut diberikan waranti kilang selama dua tahun atau 20,000 kilometer perjalanan (yang mana terdahulu).
RR sempat menguji kedua-dua model ini di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Jun lalu. Walaupun dapat merasainya untuk tiga lap setiap unit, kami dapat rasakan CRF250L dan CRF250 Rally ini memiliki tahap pengendalian dan kestabilan yang tinggi. Walaupun ketika itu kedua-dua model dibekalkan dengan tayar offroad (tidak sesuai untuk tunggangan litar) tetapi kemampuannya untuk membuat miringan dengan kemas cukup mengujakan. Posisi menunggang yang natural serta bar hendalnya yang selesa amat sesuai untuk perjalanan jauh. RR
Popular