Moto Guzzi V9 Bobber : Kini di Pasaran!
Selepas memperkenalkan dua model V7 dan V9 Roamer bulan lalu, Moto Guzzi tampil penuh bergaya dengan jentera terbaru iaitu V9 Bobber 2017 pada awal bulan lalu. Model baru ini dilengkapi dengan enjin 853cc, v-kembar, empat lejang yang mampu menjanakan kuasa setinggi 40.44kW pada 6,250rpm dan tork pada 63NM pada 3,000rpm. Pengenalan model baru ini juga adalah bersempena dengan acara Moto Guzzi Open House dan pengalaman menunggang yang bakal diadakan di Mandello Del Lario, Itali pada 7 hingga 12 September nanti.
V9 Bobber dihasil dengan menggunakan bahan-bahan berkualiti tinggi seperti keluli dan aluminium, di mana bahan plastik dikurangkan ke tahap maksimum. Tangki jenis teardrop bersaiz 15 liter, madgad hadapan dan belakang dibuat dengan besi. Panel sisi, penutup petrol, tempat pemijak dan tuas klac pula dibuat dengan menggunakan aluminium. Untuk pecutan yang lancar dan efisien, model ini juga menggunakan sistem suntikan bahan api elektronik Marelli yang diuruskan oleh ECU spesifik.
V9 Roamer dan V9 Bobber dilengkapi dengan Moto Guzzi Media Platform (MG-MP) iaitu inovasi sistem multimedia yang membolehkan para pemilik Moto Guzzi ini berhubung dengan jentera yang ditungganginya menerusi telefon pintar, dan internet untuk mendapatkan pelbagai informasi berguna ketika menunggang. V9 turut dilengkapkan dengan sistem ABS, Moto Guzzi Traction Control (MGTC), Immobiliser, pot USB, panel meter digital terkini.
Model ini ditawarkan pada harga asas RM74,900 (termasuk GST) dengan dua pilihan warna iaitu Nero Massiccio dengan grafik 'bendera penamat' berwarna kuning di madgad dan tangki serta Grigio Sport grafik 'bendera penamat' berwarna merah di madgad dan tangki. RR
Popular