Honda Rebel 500 : Baru Penuh Bergaya
Model yang ditunggu-tunggu, Honda Rebel 500 akhirnya telah dilancarkan di pameran motosikal, kereta klasik dan kustom Kulture Malaysia, Art Of Speed pada 29 Julai lalu. Model baru ini merupakan pilihan yang sesuai buat mereka yang inginkan sebuah jentera yang boleh 'mewakili' seseorang penunggang itu, bukan sekadar sebuah jentera dua roda sahaja.
Model ini berenjin kembar 471cc, DOHC dengan kuasa 33.9kW pada 8,500rpm dan tork 44.7Nm pada 6,000rpm. Pelananya hanya setinggi 690mm manakala tapak rodanya pula sepanjang 1488mm yang membolehkan pengendalian dan tunggangan dilakukan dengan mudah dan lancar sekali. Gaya 'bobber' yang berwarna hitam telah menjadikan Rebel ini cukup anggun dan bergaya untuk dimiliki.
Ketika model ini diperkenalkan kepada media dalam satu sesi uji pada bulan Jun lalu, prestasi enjinnya yang segar dan lancar membuatkan kita tidak jemu-jemu cuba merasai kuasanya dalam semua kedudukan gear. Walaupun ia bukan jentera litar, kemampuannya meratah selekoh-selekoh tajam litar SIC dengan tayar hadapannya yang bersaiz 130/90-16M/C 67H dan belakang (150/80-16M/C 71H) mengagumkan semua.
Keseronokan memacu Rebel ini juga disebabkan sistem transmisi 6 kelajuan yang dimilikinya cukup lembut sekali. Tiada sentapan... tiada gangguan walaupun ada ketikanya gear-gear ini terpaksa diturunkan dengan pantas untuk mendapatkan kestabilan.
Honda Rebel didatangkan dengan tiga warna bergaya bersama ABS iaitu Graphite Black, Millennium Red dan Mat Silver Armored Metallic. Harga yang disyorkan bermula dari RM31,798.94 termasuk GST tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran. Model tersebut juga didatangkan dengan jaminan kilang selama dua tahun atau 20,000 kilometer (yang mana terdahulu). RR
Popular