Burgman 400 ABS : Terbaru Dari Suzuki
Suzuki Assemblers Malaysia Sdn Bhd telah mengemaskan barisan jenteranya untuk tahun ini dengan melancarkan Suzuki Burgman 400 ABS, sebuah skuter maksi yang menampilkan ciri-ciri hebat seperti keselesaan, berprestasi tinggi, ruang simpanan luas dan kemewahan dengan gaya yang elegan. Ternyata model ini mewarisi kehebatan dan kemahsyuran Burgman 650 yang terkenal di seluruh dunia. Majlis pelancaran skuter maksi ini telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan Suzuki Assemblers Malaysia Sdn Bhd, En. Yutaka Ishihara di litar Go-Kart Antarabangsa Sepang pada akhir Julai lalu.
Suzuki Burgman 400 ABS ini dikemaskan dengan penggunaan lampu jenis LED pada bahagian hadapan dan belakang. Demi keselesaan penunggang, pelana skuter ini disempurnakan dengan kusyen lebih tebal 20mm berbanding model sebelum ini yang pastinya disukai oleh penunggang dan pemboncengnya. Bagi mereka yang ingin mengembara, Suzuki turut melengkapkan jentera ini dengan penyandar belakang yang boleh dilaras mengikut kesesuaian pembonceng.
Skuter ini dikuasakan oleh enjin 399cc DOHC yang mematuhi emisi Euro 4. Ciri-ciri menarik yang ditawarkan oleh Burgman ini terdiri daripada Suzuki Automatic Idle Speed Control (ISC), Eco Drive Indicator, Rear Brake Lock System (seperti sistem brek tangan kereta), sistem ABS dan ruang simpanan besar 42 liter.
Pihak Suzuki turut memberi peluang kepada para wartawan menguji Burgman ini di litar selama tiga lap dan walaupun hanya untuk seketika, prestasi skuter ini cukup mengagumkan. Dengan menggunakan sistem suntikan bahan api, hantaran kuasanya lancar dan bertenaga manakala kelincahan Burgman ini meratah setiap selekoh di litar disumbangkan oleh saspensi hadapannya berjenis teleskopik dan lengan ayun jenis link yang menyerap bebanan dengan cemerlang sekali. Setiap miringan dapat dibuat dengan pasti dan meyakinkan tanpa was-was.
Benar... posisi menunggang cukup selesa manakala ruang kaki yang luas memudahkan penunggang walaupun yang berkaki panjang. Kita dapat mengubah posisi dan kedudukan sesuka hati tidak kira untuk laluan lurus dan ketika berada di dalam selekoh. Memecut di laluan lurus sememangnya menyeronokkan tetapi kecemerlangan sistem brek di hadapan dan belakang yang dilengkapi dengan ABS cukup mengujakan. Tarik sahaja tuas breknya dengan lembut dan kita dapat rasakan ianya mencengkam dengan mantap!
Burgman 400 ABS ini juga memiliki panel meter yang jelas terutamanya sewaktu berada di dalam litar. Ketika tumpuan diberi sepenuhnya pada tunggangan, penunggang hanya perlu melihat sekilas pandang sahaja untuk mendapat beberapa info dan dua buah meter analog (kelajuan dan tahap rpm) memang cukup mudah dibaca. Nombor-nombor yang bersaiz besar di paparan digital juga sangat kami sukai. Senang!
Untuk fasa pertama, Suzuki Assemblers Malaysia Sdn Bhd telah membawa masuk sebanyak 50 unit dan menyasarkan penjualan sebanyak 100 unit menjelang suku pertama tahun 2018. Warna yang ditawarkan iaitu Hitam dan Putih pada harga asas RM45,000 (tanpa GST).
Selain memperkenalkan skuter serba baru ini, Suzuki Assemblers Malaysia Sdn Bhd turut memberi peluang kepada para wartawan untuk melihat dengan lebih dekat barisan model-model hebat untuk tahun 2017 seperti Hayabusa GSX1300 ABS, GSX-R1000R, GSX-S1000F, GSX-S1000 ABS, GSX-S750 ABS, V-Strom 650 ABS dan SV 650 ABS. RR sempat menguji dua lagi model iaitu GSX-S1000 dan V-Strom 650 ABS.
GSX-S1000 merupakan sebuah jentera jalanan yang didatangkan dengan enjin empat lejang, sistem penyejuk cecair, DOHC, 999cc yang mempunyai hantaran kuasa yang lancar dan tepat. Model ini dilengkapi dengan sistem Traction Control (TC) 3 tahap dan kami memilih untuk menggunakan TC-2 yang sesuai untuk keadaan jalan biasa atau di bandar. TC-1 sesuai untuk tunggangan sport dan ketika berada di jalan yang baik manakala jika menunggang di dalam hujan atau licin, TC-3 lebih sesuai.
Sungguh pun GSX-S1000 ini mempunyai rekabentuk luaran yang agresif dan garang, mengendalikannya amatlah mudah. Pelananya hanya setinggi 815mm dan dibentukkan untuk tunggangan sport. Ini membolehkan kita bergerak dengan pantas untuk mendapatkan posisi terbaik ketika menunggang. Casis Suzuki ini cukup kompak manakala kerangkanya yang ringan direka untuk mereka yang sukakan kelincahan dan kawalan yang tepat. Memang tak puas menunggangnya untuk tiga lap sahaja tetapi sedikit sebanyak, karaktor enjin, casis dan breknya sudah mula dikenali! Terdapat tiga warna menarik untuk model ini iaitu Biru, Merah dan Hitam yang ditawarkan pada harga asas selepas GST iaitu RM74,094.
Kami memanjat pula model pengembaraan V-Strom 650 ABS. Berbanding dengan yang lama, rekabentuk baru ini nampak lebih segar dan kemas dengan lampu utama berkonfigurasi menegak dan lampu belakang (LED) serba baru. Paruhnya mengingatkan kita pada model Dr. Big – tajam dan condong ke hadapan. Tangki V-Strom ini juga baru, direka lebih ramping untuk memudahkan kita mengepitnya sewaktu menunggang. Model ini juga telah dilengkapkan dengan sistem suntikan bahan api Suzuki Dual Throttle Valve (SDTV) yang mempertingkatkan hantaran kuasa agar lebih efisien.
Posisi menunggang yang tegak dan bar hendalnya yang lebar amat kami sukai kerana kami dapat meratah selekoh-selekoh di litar tersebut dengan sangat yakin dan pantas Kemampuannya mengubah kedudukan dengan pantas sememangnya ditagih. Pulas sahaja pendikit... ia meluru dengan pantas dan sebaik sahaja kita menyentuh tuas-tuas breknya, kelajuan dapat diturunkan dengan sempurna sekali.
Dengan adanya sistem Low RPM Assist, putaran enjin akan ditingkatkan apabila kita berada dalam keadaan melahu contohnya ketika menarik tuas klac atau menunggang dalam putaran rpm rendah. Dengan ini, ia mengelakkan enjin daripada mati dengan tiba-tiba. V-Strom baru ini juga dilengkapi dengan sistem TC dan ABS. V-Strom 650 ABS didatangkan dengan tiga pilihan warna iaitu Kuning, Hitam dan Putih pada harga asas RM47,594 (selepas GST) dan RM49,714 (selepas GST) untuk model V-Strom 650XT ABS.
Untuk mendekati para peminat motosikal berkuasa tinggi, Suzuki Assemblers Malaysia Sdn Bhd turut menganjurkan sesi tunggangan uji untuk kesemua model Suzuki pada 29 dan 30hb Julai lalu khusus buat para penunggang motosikal yang telah mendaftar melalui laman facebook Suzuki Malaysia dan aplikasi Whatsapp.
“Program ini dianjurkan adalah untuk memberi kesedaran dan pendedahan mengenai jentera berkuasa tinggi Suzuki buat para pencinta motosikal di seluruh Malaysia kerana masih terdapat di antara mereka yang kurang mengenali jentera Suzuki. Terdapat tiga sebab utama mengapa jentera Suzuki sentiasa diminati iaitu berprestasi tinggi, boleh dipercayai dan menawarkan penjimatan bahan api,” kata En. David Loh, Pengurus Bahagian Jualan, Suzuki Assemblers Malaysia Sdn Bhd.
Menurut beliau, Suzuki kini mempunyai sebanyak 36 pengedar berkonsep 3S di seluruh negara yang dibahagikan kepada tiga kategori iaitu A (boleh menjual kesemua jenis model), B (menjual sehingga 750cc sahaja) dan C (menjual sehingga 400cc sahaja).
Pembahagian kategori ini adalah bertujuan untuk memastikan jentera-jentera berkuasa tinggi Suzuki ini diperiksa dan diservis oleh mereka yang benar-benar berkelayakan agar kualiti perkhidmatan lepas jualan sentiasa berada di tahap tertinggi. RR
Popular