Honda Monkey 125 Baru Untuk Peminat Jentera Mini
Bagi para peminat jentera mini, Honda Monkey adalah sebuah mesin ikonik yang sentiasa segar dan diminati dari dulu hingga kini. Model pertamanya dilancarkan pada tahun 1963 dan walaupun nama rasminya adalah terdiri daripada siri Z seperti Z50A, Z50J dan lain-lain, ia lebih popular dengan panggilan 'Monkey' atau 'Gorilla' selepas melihat gaya seseorang penunggang mengendalikan jentera yang kecil molek ini.
Kini.... jentera yang cukup popular ini telah pun berada di pasaran selepas dilancarkan secara rasminya oleh Boon Siew Honda Sdn Bhd (BSH) pada akhir September lalu. Model baru ini didatangkan dengan enjin bersesaran 125cc yang berkuasa 6.66kW pada 7,000rpm dan tork 10.5Nm pada 5,500rpm. Untuk menyaingi arus peredaran masa, Honda Monkey 2018 turut diberi sentuhan serba baru seperti lampu depan dan belakang jenis LED, meter jenis LCD, kotak simpanan barang yang praktikal, sistem panggilan Alarm & Answer Back dan semestinya rekabentuk retro yang kini lebih segar.
Untuk memudahkan kawalan dan keselesaan, model ini dilengkapkan dengan pelana setinggi 775mm (sama seperti motosikal biasa), dikemaskan dengan penyerap hentak jenis berspring dan kelegaan tanah setinggi 160mm. Keunikan Honda Monkey ini adalah memberi peluang kepada para pemiliknya untuk membuat pengubahsuaian mengikut citarasa dan kreativiti masing-masing.
Model baru ini didatangkan dalam tiga warna menarik iaitu Pearl Nebula Red, Pearl Glittering dan Banana Yellow. Harga bilik pameran untuk Honda Monkey ialah RM13,999 (tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran). Setiap pembelian layak menerima waranti kilang selama dua tahun atau 20,000 kilometer (yang mana terdahulu). RR
Popular