Triumph Street Triple R 2020 Lebih Mengancam!
Untuk tahun 2020, model yang telah meraih banyak anugerah iaitu Triumph Street Triple R kini hadir dengan beberapa pembaharuan mantap terutamanya dari segi rupabentuk baru yang lebih agresif, lebih bergaya dan disempurnakan dengan enjin berpiawaian Euro 6. Rekabentuk Triumph ini cukup memukau. Ia disempurnakan dengan lampu utama kembar jenis LED, sistem penyenyap kompak dan bergaya, cermin sisi lebih jelas dan semestinya rekacorak moden yang garang.
Jentera ini didatangkan dengan enjin 765cc yang menjanakan kuasa maksimum setinggi 118PS pada 12,000rpm dan tork 77Nm pada 9,400rpm. Street Triple R juga menjanjikan tindak balas lebih cemerlang, bunyi yang mantap dan kotak gear dengan slip & assist clutch untuk pecutan lebih lancar. Kecekapannya di setiap laluan hadir dengan adanya sistem elektronik terkini seperti mod tunggangan (Road, Rain & Sport), quickshifter, traction control dan sistem ABS.
Kejituan tahap pengendalian Street Triple R baru ini turut datangnya dari sistem brek Brembo, sistem saspensi depan dan belakang yang efisien serta pilihan pelana yang sesuai dengan pemiliknya. Pelana jentera ini setinggi 825mm tetapi bagi para penunggang yang agak rendah, mereka boleh memilih untuk memiliki versi Low Ride Height (LRH) yang hanya setinggi 780mm.
Model ini didatangkan dalam dua warna pilihan cukup menarik iaitu Sapphire Black dan Matt Silver Ice. Kita nantikan kemunculannya di pasaran negara tidak lama lagi! RR
Popular