Previu 4 Model Terbaru GPX Racing
Bike Continent Sdn Bhd telah membuat previu khas empat model terbaru daripada GPX Racing iaitu GPX Gentleman 200 (versi upgrade), GPX Legend 150, GPX Demon 150GN dan GPX Demon 150GR. Pengenalan tersebut telah diadakan di Johor Bharu pada 13 Januari lalu dan disempurnakan oleh Pengarah Eksekutif Bike Continent Sdn Bhd, En. Ronnie Chen ditemani oleh Penasihat Kanan Bahagian Perniagaan Internasional GPX Racing, En. Masaaki Komori, Pengurus Besar Bahagian Perniagaan International GPX Racing, En. Apichart Naknouvatim dan Pengarah Urusan Kumpulan Mofaz, Dato’ Nik Izani bin Nik Ibrahim.
GPX Racing merupakan sebuah syarikat yang diasaskan di Thailand sejak pada tahun 2007 lagi dan merupakan antara tiga pengeluar paling berjaya (dari segi jumlah pendaftarannya di Thailand pada tiga tahun berturutturut iaitu 2016, 2017 dan 2018.
Selain Malaysia, GPX turut mendapat tempat di pasaran negara-negara lain seperti Vietnam, Kemboja, Nepal, Bangladesh, Hong Kong, Singapura, Jepun dan tahun ini Filipina. Dengan kawalan mutu yang ketat, model-model GPX semakin mendapat perhatian dan kepercayaan para pengguna motosikal di negara-negara tersebut.
Dengan kolaborasi bersama Bike Continent Sdn Bhd selaku pengedar rasmi jenama ini dan Scomadi di Malaysia, keempat-empat model baru ini kini boleh dimiliki dan dinikmati oleh para pengguna motosikal di Malaysia. GPX Gentleman 200 merupakan jentera ‘cafe racer’ yang bersesaran 197cc, transmisi 6 kelajuan, penyerap hentak tunggal KYB, brek hadapan jenis cakera dan tayar-tayar jenis Pirelli Angel City yang terbukti memiliki cengkaman yang meyakinkan dalam semua keadaan jalan dan cuaca. Gentleman 200 telah pun berada di pasaran dengan harga jualan asas cukup menarik iaitu RM10,980.
Kehadiran model GPX Legend 150 pula pastinya memberi lebih banyak pilihan buat para peminat jentera retro/klasik moden yang semakin popular sekarang ini. GPX Racing didatangkan dengan enjin empat lejang, 149cc yang dikemaskan dengan penggunaan fork hadapan jenis teleskopik dan penyerap hentak berspring di bahagian belakang. Kualiti pembikinan model ini memang tinggi dan pastinya dihargai oleh setiap pemiliknya. GPX Legend ditawarkan pada harga sekitar RM8,000 dan dijangka akan mula dipasarkan pada April 2019.
Minat dengan jentera jalanan? Pastinya anda kini punyai lebih banyak pilihan dengan adanya GPX Demon 150GN. Model ini menawarkan rekabentuk ranggi dengan lampu-lampu jenis LED yang cukup cantik. Ia juga didatangkan dengan meter digital yang terang, jelas dan penuh informasi. Model ini didatangkan dengan enjin bersesaran 149cc yang memiliki hantaran kuasa cukup mantap. Pelananya setinggi 770mm dan sememangnya pembikinan casisnya cukup tegap dan kemas. Menurut pihak GPX Racing, model jalanan ini akan mula berada di pusat pengedar mereka pada bulan Mac 2019.
Kemunculan GPX Demon 150GR sememangnya sangat dinanti-nantikan oleh peminat jentera sport. Model gaya perlumbaan ini menawarkan hasil ciptaan yang agresif, sporty dan moden. Bahagian depan dianggunkan dengan lampu-lampu LED yang berkualiti tinggi dan cukup terang. Rekaan fairing yang aerodinamik menjelaskan karaktor sebenar model ini. Untuk pengendalian yang cemerlang, GPX Demon 150GR dilengkapkan dengan fork hadapan jenis terbalik dan penyerap hentak tunggal di bahagian belakang. Model ini turut dilengkapkan dengan brek depan dan belakang jenis cakera untuk kawalan lebih meyakinkan. Dijangkakan model ini akan berada di pasaran bermula Februari ini dan dijual pada harga asas sekitar RM9,000. RR
Popular