OTTIMO VIZ110 Jenama Baru Di Pasaran Negara
OTTIMO Technologies Sdn Bhd secara rasmi telah melancarkan jenama motosikal pertamanya iaitu VIZ110 pada 20 Disember 2018 di Jerai Regency Resort. Model baru ini hadir dengan reka bentuk terkini dan bergaya yang mampu menepati citarasa penunggang tidak kira di dalam bandar mahupun luar bandar.
Rekaan luaran yang lebih segar sesuai untuk penunggang generasi terkini. VIZ110 dilengkapi dengan enjin silinder tunggal, 4 lejang, sejukkan udara, SOHC menawarkan kuasa maksimum 5.0kW pada 8,000rpm dan tork 6.9 Nm pada 6,000rpm. Tangki minyak yang berkapasiti 3.6 liter mampu bergerak sejauh 185 kilometer dengan setiap isian penuh serta diperakui sebagai kenderaan cekap tenaga (EEV).
Ciri-ciri lain yang ada pada jentera ini adalah lampu isyarat jenis LED, paparan meter kelajuan yang jelas, soket USB dan sistem pencahayaan yang mematuhi piawaian ECE. Manakala ruang simpanan bawah pelana juga dapat memuatkan barangan peribadi pengguna.
“Sepanjang tahun 2018, permintaan untuk motosikal mampu milik dengan gaya trendi masih kukuh walaupun segmen moped berkapasiti lebih tinggi telah menunjukkan pertumbuhan yang ketara. Kami berusaha untuk membawakan motosikal mampu milik, lengkap dengan enjin bersesaran 110cc yang mematuhi piawaian EURO 3 serta penjimatan bahan api. ” kata Mr Daniel Lim, Pengarah Urusan OTTIMO Technologies Sdn Bhd.
Menurut Mr Chong Kian Boon, Ketua Pegawai Eksekutif, “ Dengan pasukan yang mempunyai pengalaman lebih daripada 20 tahun dalam bidang reka bentuk, pengilangan, jualan dan pemasaran motosikal, kami mampu menawarkan produk dan perkhidmatan terbaik buat para pelanggan kami. Pada masa akan datang kami merancang untuk memperkenalkan lebih banyak produk untuk memperluas asas pelanggan kami dan penebusan pasaran.”
VIZ110 ini didatangkan dalam dua warna menarik iaitu Syinta Red dan Syantik Blue dengan konsep dua tona. Ia ditawarkan pada harga RM4,288 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan), buat 500 unit pertama. Pembelian turut menerima jaminan kilang selama dua tahun atau 20,000km (yang mana terdahulu). Buat masa ini, VIZ110 hanya dipasarkan di wilayah utara sahaja.
Selain memiliki kilang dan pusat alat ganti di Gurun Kedah, OTTIMO akan membuka sebuah pusat 3S di bandar Sungai Petani pada Februari 2019 bagi memastikan para pelanggannya mendapatkan perkhidmatan lepas jualan yang terbaik. RR
Popular