CFMOTO 250NK Sebuah Jentera Serba Baru
KTNS Holdings Sdn Bhd selaku pengedar rasmi jenama CFMoto di Malaysia dengan bangganya melancarkan satu lagi model terbaru iaitu CFMoto 250NK pada pertengahan Januari lalu. Model baru ini merupakan pilihan terkini dalam segmen jentera jalanan yang menawarkan pelbagai ciri-ciri menarik dan berteknologi tinggi.
Tarikan utama model baru ini datangnya hampir dari semua sudut. Bahagian depan cukup agresif dengan rekabentuk tajam dan lampu-lampu LED. Bahagian sisi tampak tegap dengan kerangka keluli tubular yang memberi kestabilan baik dalam kelajuan tinggi. Lekukan pada tangki, posisi menunggang dan bahagian belakang menjanjikannya cukup aerodinamik dan tangkas.
Ia disempurnakan dengan enjin 249.2cc, empat lejang, silinder tunggal, DOHC dengan sistem penyejuk cecair yang memiliki hantaran kuasa maksimum setinggi 19.5kW pada 9,000rpm dan tork 22Nm pada 7,500rpm. Untuk prestasi cemerlang di laluan lurus dan juga di jalanan berliku, CFMoto 250NK turut dilengkapkan dengan fork hadapan jenis terbalik dan penyerap hentak mono di bahagian belakang. Seperti 'abangnya', model ini juga menggunakan sistem brek hidraulik keluaran Sepanyol iaitu J.Juan yang memiliki kualiti cukup tinggi dan terbukti di serata dunia.
Sebagai pesaing terbaru dalam pasaran motosikal negara, CFMoto memastikan jenteranya didatangkan dengan teknologi terkini seperti panel meter TFT penuh warna (model SE), dua mod tunggangan (sport & rain) dan sistem ABS (model SE). Dengan penggunaan sistem suntikan bahan api Bosch, CFMoto 250NK ini bukan sahaja menjanjikan prestasi enjin yang mantap tetapi juga jimat petrol dan emisi yang rendah.
CFMoto 250NK didatangkan dalam dua varian iaitu model standard dan model SE. Model standard menggunakan panel meter digital dan tidak dilengkapi sistem ABS. Ia ditawarkan pada harga asas RM12,800 manakala model SE pula berharga RM13,800 dan dijangka akan mula berada di pasaran pada Januari 2019. CFMoto turut menawarkan waranti kilang selama dua tahun atau 20,000km perjalanan (yang mana terdahulu) manakala waranti untuk enjin pula selama dua tahun tanpa had perjalanan.
Dengan spesifikasi enjin yang hebat, sistem keselamatan yang baik dan kemodenan sistem elektroniknya, CFMoto ternyata semakin yakin untuk berada di dalam segmen ini. Buat para pencinta motosikal, sila berkunjung ke pusat pengedar KTNS yang berhampiran dengan anda untuk mendapatkan maklumat lebih terperinci. RR
Popular