KTM 790 Duke: Tawar Tunggangan Penuh Bergaya
KTM 790 Duke yang juga digelar 'The Scalpel' telah dilancarkan secara rasminya untuk pasaran negara pada awal Julai lalu. Dengan adanya model terbaru ini jurang di antara model 690 Duke dan 1290 Super Duke R telah pun diisi. Tampil dengan rekabentuk yang cukup agresif, model jalanan ini dikuasakan oleh enjin LC8c parallel-twin bersesaran 799cc yang mampu menawarkan kuasa setinggi 105hp pada 9,000rpm dan tork 87Nm pada 8,000rpm.
Antara teknologi terkini yang dimiliki oleh 790 Duke ini ialah Power Assist & Slipper Clutch (PASC), empat mod tunggangan (Sport, Street, Rain, Track), Motorcycle Traction Control (MTC), Quickshifter, Motorcycle Stability Control (MSC), Motor Slip Regulation (MSR) dan sistem ABS. Kemantapan tunggangan dalam semua jenis keadaan adalah satu ciri-ciri penting buat setiap jentera KTM dan ini disumbangkan oleh kerangka jenis tiub chrome-molybdenum yang terbukti bertegaran tinggi dan ringan.
Untuk kecekapan ketika meratah setiap selekoh, KTM 790 Duke dilengkapkan dengan fork hadapan dari jenis WP Suspension bersaiz 43mm yang berteknologi tinggi manakala penyerapan hentakan bahagian belakang dikawal oleh lengan ayun yang disempurnakan dengan penyerap hentap WP. Proses membrek dengan cemerlang datangnya dari sepasang brek hadapan 300mm dan cakera tunggal di belakang yang bersaiz 240mm. KTM ini didatangkan dengan pelana 825mm, agak tinggi tetapi rekaan sudut pelananya yang direka cukup tepat membolehkan sesiapa sahaja dapat mengendalikan mesin ini dengan mudah.
Model baru ini ditawarkan pada harga RM64,800 (tidak termasuk cukai jalan, insurans nombor & pendaftaran). RR
Popular