Honda PCX Baru Kini Lebih Praktikal
Segmen skuter di Malaysia semakin berkembang dari masa ke semasa kerana jentera sebegini ternyata cukup praktikal buat semua jenis penunggang lebih-lebih lagi mereka yang bertugas di tengah kota. Boon Siew Honda Sdn Bhd (BSH) turut tidak melepaskan peluang dalam mengikuti arus permintaan tinggi terhadap jentera automatik ini dengan memperkenalkan Honda PCX terbaru. Sejak dilancarkan, model automatik PCX dapat memenuhi kehendak para pengguna motosikal dengan menawarkan enjin bersesaran 149cc yang kini berkuasa 14.5hp pada 8,500rpm dan tork maksimum 13.6Nm pada 6,500rpm.
Untuk tunggangan yang stabil dan menyakinkan, kerangka skuter ini dibina menggunakan keluli duplex cradle yang ringan dan bertegaran tinggi. Tapak rodanya kini lebih pendek, direka untuk tindak balas dan pergerakan lebih lincah di dalam semua keadaan. Lampu utama PCX ini pula digabungkan dengan lampu DRL (Day Running Light) yang mempunyai rekabentuk moden dan mewah. Kemasan lampu belakang pula mempunyai persamaan dengan lampu jentera Honda berkuasa tinggi.
PCX terbaru turut didatangkan dengan sistem kunci pintar (Smart Key) terkini yang mempunyai sistem penghidup enjin tanpa kunci, disertakan juga dengan penggera anti kecurian dan sistem carian skuter ini dari jauh. Isi tangki PCX baru kini bersaiz lapan liter dan dengan adanya Programmed Fuel Injection (PGM-FI) serta Idling Stop System perjalanan dijamin lebih lancar dan lebih menjimatkan. Segala pergerakan dan kelincahan PCX baru ini dikawal oleh sistem brek cakera dan gelendong yang berprestasi tinggi.
Seiring dengan penambahbaikan dari segi teknologi enjin dan rekabentuk luarannya, PCX sentiasa merupakan jentera auto yang praktikal dengan adanya ruang bawah pelana bersaiz 25 liter dan soket kuasa 12V yang didapati di dalam ruang penyimpan barang di depan. PCX baru didatangkan dalam dua warna iaitu Euphoria Red Metallic/Radiate Grey Metallic dan Pearl Metalloid White berharga RM10,999 (tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran). BSH turut menawarkan waranti kilang selama dua tahun atau 20,000 kilometer perjalanan (yang mana terdahulu). RR
Popular