MV Agusta Superveloce 800 Baru
MV Agusta hadir ke pameran antarabangsa EICMA, Milan pada 6 November lalu dengan memperkenalkan model terbaru Superveloce 800 menawarkan rekaan yang cukup anggun, tulen dan eksklusif. Model yang dijangka akan mula dihasilkan pada separuh kedua 2019 ini mewarisi segala yang terbaik daripada jenama ikonik, MV Agusta.
Superveloce 800 ini dikemaskan dengan fairing gentian karbon yang cukup mewah manakala rekabentuk hadapannya dicipta dangan gaya tersendiri yang disempurnakan menerusi penggunaan lampu utama dan lampu Day Running Light jenis LED. Lampu belakang juga jenis LED agar pencahayaan lebih jelas dan kelihatan lebih menawan. Cermin pengadang udara jenis plexiglass pula direka berwarna kekuningan yang mengembalikan nostalgia bagaikan hasil ciptaan tahun 1970an lalu.
Sub-kerangka serba baru yang dikemaskan pada Superveloce 800 ini cukup ringan dan tangkas yang membolehkan penunggangnya mengubah posisi dengan mudah. Dari segi casis dan sistem brek, model ini dibina berasaskan MV Agusta F800 tetapi telah dipertingkatkan untuk prestasi lebih mantap. Enjin Superveloce ini telah dilakukan pemetaan semula untuk merancakkan karaktor disamping mengekalkan tahap kuasa maksimum.
Sistem ekzos model baru ini juga direka semula berasaskan layout klasik 3-1-3 dengan rupabentuk baru dua corong ekzos di sebelah kanan dan satu di sebelah kiri.
Posisi menunggang tidak jauh bezanya dengan model supersport F3 800 yang bertujuan untuk kestabilan dan ketangkasan sewaktu memecut ke tahap tertinggi. Untuk keselesaan dan kesesuaian penunggang, tempat pemijak Superveloce 800 ini boleh dilaras – amat berguna ketika menyertai perlumbaan. Panel meter jenis TFT menawarkan kadar paparan yang menarik, jelas dan terkini. Sudah pasti MV Agusta Superveloce 800 ini amat dinanti-nantikan khususnya oleh para pencinta kelajuan dan prestasi enjin di samping ingin mengembalikan nostalgia zaman kegemilangannya. RR
Popular