Honda Wave Dash Make An Impression Every Where You Go
Boon Siew Honda (BSH) telah melancarkan model baru, Wave Dash Fi pada akhir Mac lalu dan untuk menghangatkan majlis pengenalan tersebut, peragaan fesyen yang cukup istimewa turut dipersembahkan dengan penuh bergaya. Turut hadir menyerikan majlis pada hari itu ialah Pengarah Urusan dan CEO BSH, En. Nobuhide Nagata, Timbalan CEO BSH, Dato' Sri Datuk Wira Tan Hui Jing dan Ketua Pegawai Pemasaran dan Perancangan BSH, En. Koichi Tonouchi.
Dengan slogan “Make An Impression, Everywhere You Go,” BHS telah memastikan rekaan jentera baru ini menepati tuntutan fesyen golongan muda yang mahu sentiasa bergaya di jalan raya. Rekaan grafik model ini dihasil dengan berinspirasikan warna kelabu tentera penyamaran dan rekaan geometrik daripada warna khas model CB650. Panel meter dan plat pelindung haba juga direka semula agar kelihatan lebih segar dan lebih moden.
“Pelanggan muda di negara ini sudah biasa dengan corak kehidupan yang pantas dan pada masa yang sama mencari tunggangan yang bergaya. Oleh demikian, BSH sentiasa mempertingkatkan daya rekaan dan prestasi bagi memenuhi kehendak dan permintaan tersebut,” kata En. Nobuhide Nagata.
Wave Dash ini dilengkapi dengan enjin 109cc, empat lejang, OHC dengan sistem penyejuk udara yang menawarkan kuasa 8.70ps pada 7,500rpm dan tork 8.66Nm pada 6,000rpm. Kelancaran dan tahap penjimatan yang tinggi dimiliki oleh Wave Dash terbaru ini disumbangkan oleh Programmed Fuel Injection (PGM-FI) dan model ini juga telah menerima sijil piawaian Energy Efficient Vehicle (EEV).
Model baru Wave Dash Fi dilancarkan dalam tiga pilihan warna iaitu Pearl Nightfall Blue, Pearl Megallanic Black dan Vivacity serta model eksklusif Edisi Repsol. Terdapat tiga varian iaitu S Type (brek cakera tunggal), R Type (sepasang brek cakera) dan Edisi Repsol. Harga bilik pameran yang dicadangkan untuk model-model bermula pada RM5,860.74, RM6,178.74 dan RM6,337.74 (tanpa cukai jalan dan insurans). Semua harga adalah termasuk GST. Untuk keselesaan penunggang, Wave ini turut didatangkan dengan waranti kilang selama dua tahun atau 20,000 kilometer perjalanan (yang mana terdahulu). RR
Popular