Triumph Bonneville T20 Ace & T20 Edisi Diamond
Untuk tahun 2019 ini, pengeluar motosikal dari Britain, Triumph memperkenalkan model edisi terhad iaitu Bonneville T120 Ace yang dibina untuk meraikan generasi pertama Cafe Racer iaitu Ace Cafe. Bonneville ini dikemaskan dengan warna premium Storm Grey Matte berserta corak skima belang Ace Cafe yang menarik.
Model baru ini dibuat hanya 1,300 unit di seluruh dunia dan setiap satunya memiliki nombor perakuan, ditandatangani oleh CEO Triumph Motorcycles, Nick Bloor. Model baru ini tampak lebih unik dengan adanya logo T120 Ace di kiri dan kanan panel.
Model ini dihasil berasaskan model Bonneville T20 Black yang unik dan bergaya. Kini model terbaru Triumph ini pastinya memberi kepuasan buat setiap penunggang dengan teknologi terkini yang menawarkan tahap kawalan keselamatan dan keyakinan lebih tinggi. Enjin 1200 ini menawarkan kuasa tork maksimum 105Nm pada 3,100rpm yang ditegapkan lagi dengan casis dan sistem saspensi lebih selesa dan santai untuk tunggangan harian.
Dengan adanya sistem ride by wire, sistem pengurusan enjin dan suntikan bahan api elektronik, Triumph baru ini memiliki hantaran kuasa yang lancar dan tepat. Turut dilengkapkan pada model ini ialah sistem TC, dua mod tunggangan (Road/ Rain ) , lampu DRL, lampu-lampu LED , pemanas pendikit, panel meter menarik dan suis yang mudah digunakan.
Turut menanti para peminat jentera Triumph pada tahun hadapan ialah model Bonneville T120 Edisi Diamond yang cukup anggun dan eksklusif dengan gabungan skima warna Snowdonia White dan corak grafik Union Flag berwarna kelabu pada tangkinya. Model ini pula hanya dibina sebanyak 800 unit sahaja di seluruh dunia dan turut disempurnakan dengan tanda tangan dari CEO Triumph Motorcycles.
Model baru ini juga menggunakan casis dan talaan sistem saspensi untuk semua jenis tunggangan manakala corak hantaran kuasa juga tidak jauh bezanya berbanding T120. Sistem elektroniknya juga mantap dengan adanya ABS, ride-by-wire, mod tunggangan, lampu DRL, lampu LED, Torque Assist Clutch, pemanas pendikit, soket USB, panel meter kembar dan sistem immobiliser enjin.
Sama-sama kita nantikan kedua-dua model ini tiba ke pasaran negara. RR
Popular