BMW 2016 Penuhi Kehendak Peminat
Sebagai antara jenama paling berpengaruh di dunia, BMW Motorrad sentiasa tampil dengan berbagai model baru yang menawarkan rekabentuk menarik yang sesuai dengan gaya hidup masa kini. Dengan segala kepakaran dan kebijaksanaan seluruh pasukan yang dipertanggung jawabkan oleh BMW Motorrad, maka setiap pemiliknya sentiasa merasa bangga memacu jentera ini di setiap tempat dan masa.
Tahun 2016, BMW Motorrad hadir ke pameran antarabangsa EICMA dengan memperkenalkan beberapa model baru yang semestinya lebih segar, lebih mantap dan lebih menggiurkan. Terdapat enam model yang ingin RR paparkan iaitu R nine T Scrambler, G 310 R, C 650 Sport, C 650 GT, F 700 GS dan F 800 GS.
R nine T Scrambler
Seringkali kita melihat jentera-jentera lasak, scrambler yang dilengkapi dengan tayar-tayar berbunga dalam dan ekzos-ekzos tinggi dipaparkan di dalam filem. Dari dulu hingga kini, mesin-mesin scrambler diminati kerana ia seronok, pantas dan mempunyai kemampuan untuk 'menakluk' jalan bandar, luar bandar dan kawasan pendalaman dengan cemerlang sekali.
Hakikatnya, sejarah BMW Motorrad juga berasaskan dan berakar umbi jentera lasak seperti ini. Lihat sahaja model R 68 yang diperkenalkan pada tahun 1951. Ia dimantapkan dengan sistem ekzos tinggi yang bentuknya seiras dengan jentera perlumbaan milik pelumba lagenda BMW, Georg 'Schorsh' Meier.
Kini, ucapkan selamat datang pada model terbaru R nine T Scrambler yang menawarkan semangat baru kepada para penunggang dengan kombinasi kepesatan teknologi, rekabentuk klasik, tahap tunggangan cukup selesa dan kualiti pembikinan yang tinggi. Model ini menggunakan enjin boxer yang berkuasa 110hp pada 7,750rpm dan tork 116Nm pada 6,000rpm. Pemetaan enjin dan sistem bahan api termasuk carbon canister telah menepati piawaian tahap pencemaran EU4.
Model ini mempunyai konsep kerangka yang cukup istimewa iaitu dengan penggunaan tiub keluli yang terdiri daripada tiga komponen iaitu bahagian hadapan utama, bahagian belakang yang bersepadu dengan hujung motor bersama kerangka pembonceng. Ketiga-tiga komponen kerangka ini diperketatkan bersama dan hasilnya memang tampak lebih anggun.
Posisi menunggang yang relaks adalah kunci utama dalam penciptaan mesin ini dan untuk itu, rekaan tempat pemijak, bar hendal dan tinggi pelana telah diperhalusi dengan teliti sekali. Model ini juga menggunakan fork teleskopik 43mm konvensional serta sistem ekzos yang ditinggikan agar dapat memperlihatkan gaya klasik sebuah scrambler.
Walaupun ia berkonsepkan retro, BMW Motorrad tidak pernah mengenepikan soal keselamatan. R nine T Scrambler dilengkapkan dengan sepasang brek cakera 320mm dan brek belakang jenis cakera 265mm yang diperkemaskan dengan adanya sistem ABS. Untuk kecekapan dan daya tahan yang tinggi di jalanan berliku, model baru ini didatangkan dengan rim-rim aluminium jenis tetuang yang bertegaran tinggi. R nine T diperkemaskan dengan warna Monolith Metallic Matt yang menyerlahkan lagi rekabentuk klasiknya.
G 310 R
Ini merupakan berita baik buat para peminat jentera jalanan berkuasa sederhana di negara-negara Asean termasuk Malaysia. G 310 R merupakan model roadster pertama bawah 500cc dari BMW yang menjanjikan prestasi dinamik, keselesaan, jimat petrol dan pengendalian yang tepat. Rekabentuk model ini dihasil berasaskan model jalanan terulung BMW iaitu S 1000 R yang dapat dilihat dengan jelas menerusi konsep rekaan bahagian kepalanya, bentuk tangki yang mantap dan sistem saspensinya.
Motosikal pertama dari BMW dengan enjin satu silinder ialah R 39 yang diperkenalkan 90 tahun yang lalu manakala model R 25 (siri F650) berada di pasaran pada tahun 1990an yang mendapat maklum balas cukup hebat atas pengendaliannya yang mudah. G 310 R merupakan projek kerjasama di antara BMW Motorrad dan TVS Motor Company yang berpengkalan di Bangalore, India. G 310 R didatangkan dengan enjin satu silinder 313cc serba baru yang mampu menjanakan kuasa setinggi 34hp pada 9,500rpm dan tork 28Nm pada 7,500rpm.
G 310 R mudah ditunggang, pelananya hanya 785mm dan didatangkan dengan kerangka tiub keluli bertegaran tinggi yang memberikan keteguhan kepada penunggang sewaktu memecut dalam kelajuan tinggi. Untuk menikmati tunggangan lebih efisien, BMW telah melengkapkan model ini dengan fork jenis terbalik, tapak roda pendek dan lengan ayun panjang yang pastinya memberi respon lebih tepat. Model ini juga mempunyai sistem brek cakera di hadapan (300mm_) dan belakang (240mm) yang diperkuatkan dengan pemasangan sistem ABS seperti jentera BMW yang lain.
Untuk disesuaikan dengan karaktor dan saiz G 310 R, BMW telah melengkapkan mesin baru ini dengan tayar-tayar bersaiz 110/70 R 17 (hadapan) dan 150/60 R 17 yang mencengkam setiap permukaan jalan dengan baik sekali. Dengan posisi tunggangan yang selesa dan kawalan yang tepat, kita akan dapat bersama-sama G 310 R ke mana sahaja yang dihajati. Dijangkakan model G 310 R ini akan memasuki pasaran negara pada tahun ini... kita tunggu sama-sama!
C 650 Sport & C 650 GT
Dengan pengenalan dua model baru ini, BMW Motorrad terus cemerlang dalam penghasilan jentera di segmen skuter maksi. Ia adalah sebuah alat perhubungan yang sempurna dan paling sesuai untuk kegunaan bandar dan urban. Kedua-kedua model ini menawarkan gaya hidup yang anggun, praktikal dan kos yang menjimatkan. Pada masa yang sama, pemilik C 650 Sport dan C 650 GT masih dapat menikmati pengembaraan ke pelbagai destinasi yang memberikan pengalaman menarik dan mengujakan ketika memecut, mendaki dan memasuki jalanan berselekoh tajam.
Kedua-dua model ini disasarkan untuk dua golongan penunggang. C 650 Sport sesuai buat para penunggang yang inginkan prestasi mantap terutamanya untuk memecut dan bermain di jalanan berliku manakala model C 650 GT pula dihasilkan untuk pencinta pengembaraan bermotosikal yang mahukan sebuah jentera yang mudah, mantap dan selesa. Kedua-duanya menggunakan enjin dua silinder jenis sebaris yang menawarkan kuasa setinggi 60hp pada 7,500rpm dan tork 63Nm pada 6,000rpm.
Skuter-skuter maksi ini juga dilengkapkan dengan sistem CVT serba baru yang memberikan pecutan lebih tepat manakala kelincahannya bergerak dalam semua kelajuan disumbangkan oleh sistem saspensi barunya. C 650 Sport dan C 650 GT turut dilengkapkan dengan sistem ABS dan Automatic Stability Control (ASC) yang menjadikan perjalanan lebih selamat. Sistem bantuan terbaru, Side View Assist (SVA) diperkenalkan pada model C 650 GT yang bertujuan untuk mengesan pengguna jalan raya yang lain ketika berada dalam kawasan blind sport.
SVA ini berfungsi dengan adanya sensor ultrasound yang dipasang pada bahagian belakang jentera ini. Ketika berada dalam kelajuan 25-80km/j, SVA akan memberitahu penunggang bahawa terdapat kenderaan lain yang sedang menghampiri (dalam lingkungan 5 meter) dengan perbezaan kelajuan sekitar 10km/j. Informasi ini dapat dilihat menerusi lampu amaran berbentuk tiga segi yang terdapat pada batang cermin sisi kanan dan kiri. Ia adalah alat bantuan... bukan menggantikan kegunaan cermin sisi yang sangat penting buat para penunggang untuk melihat keadaan trafik di belakang.
Ternyata kedua-dua skuter maksi BMW ini menawarkan bukan sahaja rekabentuk menawan tetapi juga berkongsi kepesatan teknologi dan keselesaan optimum. Lihat sahaja pada fork hadapan, penyerap hentak belakang dan sistem brek yang terdapat padanya.... mantap dan cukup hebat. Itulah kejuruteraan BMW Motorrad yang bakal dinikmati oleh para pemiliknya kelak.
F 700 GS & F 800 GS
Kedua-dua model ini sememangnya sudah cukup popular di kalangan pencinta pengembaraan motosikal dan untuk tahun 2016, terdapat beberapa pembaharuan yang telah dilakukan oleh BMW Motorrad demi memberi kepuasan kepada para pelanggan setianya. Untuk tampak lebih dinamik, beberapa bahagian telah diberikan sentuhan serba baru antaranya, pelindung tangki, ignition lock cover, pelindung lutut (F 700 GS) dan pelindung radiator (F 800 GS).
Kedua-dua model ini dikuasakan oleh enjin dua silinder, 798cc, sistem pancitan bahan api dan kotak gear 6 kelajuan. Model F 700 GS mempunyai kuasa maksimum 75hp pada 7,300rpm dan tork 77Nm pada 5,300rpm manakala F 800 GS mampu menghamburkan kuasa setinggi 85hp pada 7,500rpm dan tork 83Nm pada 5,750rpm. Bersesuaian dengan prinsip keselamatan yang dimiliki BMW Motorrad, kedua-duanya dilengkapi dengan sistem ABS, Automatic Stability Control (ASC) dan Electronic Suspension Adjustment (ESA).
Demi keselesaan, para penunggang dapat menunggang mengikut ketinggian pelana yang diingini dengan adanya empat lagi pelana (berlainan saiz) dan sistem saspensi lebih rendah yang ditawarkan sebagai aksesori pilihan. Ini memberi kepelbagaian pelana dari ketinggian 765-860mm (F 700 GS) dan 820-920mm (F 800 GS). Untuk model 700cc, terdapat tiga warna sebagai pilihan iaitu Light White Non-Metallic, Sakhir Orange Metallic dan Mineral Grey Metallic manakala untuk model F 800 GS juga ditawarkan dalam tiga warna menarik iaitu Light White Non-Metallic, Black Storm Metallic dan Racing Blue Metallic Matt. RR
Popular