Vespa GTS Super 300: Lebih Gaya, Lebih Kuasa
Naza Premira Sdn Bhd, pengedar rasmi jenama Vespa di Malaysia telah melancarkan model terbaru tahun ini iaitu Vespa GTS Super 300. Jenama terkenal dan cukup ikonik ini ternyata bukan sahaja menawarkan enjin yang berprestasi tinggi malah setiap jentera Vespa turut melambangkan gaya hidup bermotosikal yang unik, bebas dan bergaya.
Majlis pelancaran model ini yang dilancarkan di tengah-tengah ibukota Kuala Lumpur telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Operasi Naza Premira Sdn Bhd, En. Farouk Faisal dan dimeriahkan dengan kehadiran kumpulan punk rock terkenal negara, Bunkface.
Model terbaru Vespa GTS Super ini terus mengekalkan kesinambungan rekabentuk sporty classic yang dimiliki oleh setiap jentera Vespa. Model ini juga dianggap mesin Vespa paling dinamik dengan enjin sejukan cecair, 300cc yang menawarkan kuasa maksimum 21.2hp pada 7,750rpm dan tork 22Nm pada 5,000rpm. Silinder tunggalnya pula menjanjikan tindakbalas pantas di antara pendikit dan enjin seterusnya memastikan prestasi Vespa ini terus cemerlang dalam semua keadaan.
Untuk tujuan keselamatan para pemiliknya, Vespa ini telah disempurnakan dengan adanya sistem ABS pada kedua-dua tayar hadapan, belakang dan sistem ASR Traction Control. Para pengguna motosikal juga akan dapati GTS Super 300 ini cukup praktikal dengan adanya ruang bawah pelana yang luas, port pengecas USB, ruang simpanan barang sederhana, sistem immobilizer, electric remote opening system on saddle dan bike finder.
Vespa GTS Super 300 ini ditawarkan pada harga asas RM25,000 (tanpa GST, insurans, pendaftaran dan cukai jalan). Terdapat empat warna pilihan menarik iaitu Monte Bianco (Putih), Verde Speranza (Hijau), Grigio Titanio (Kelabu) dan Giallo Gelosis (Kuning). RR
Popular