Isu Terkini

Julai 2024

Model Baru / 2 Mac 2016

Suzuki 2016 Lebih Anggun... Lebih Ceria

Di pameran motosikal antarabangsa EICMA, Suzuki tampil dengan memperkenalkan tiga model baru yang mendapat pujian banyak pihak. Ketiga-tiga jentera baru ini bukan sahaja dilengkapkan dengan teknologi terkini tetapi paling mengujakan ialah ia lebih anggun, ceria, praktikal dan mesra penunggang. Bagi kami, itu adalah strategi pemasaran yang bijak kerana Suzuki perlu menarik perhatian pengguna motosikal yang kini terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, jantina dan latar belakang.

GSX-R1000 Konsep

Walaupun model GSX-R telah diperkenalkan kira-kira tiga dekad yang lalu, versi GSX-R1000 mula berada di pasaran kira-kira 15 tahun kemudian dan terbukti, dengan sekelip mata.... ia seumpama raja yang mampu menguasai dunia! Kini, Suzuki melancarkan GSX-R1000 generasi keenam yang dihasilkan oleh mereka yang benar-benar menyintai kelajuan dan pengendalian hebat. Dengan pengalaman dan kejayaan di jalanan biasa mahu pun di litar yang lebih daripada 30 tahun, jentera baru ini mampu membantu menjadikan penunggangnya lebih baik.

Menurut para jurutera Suzuki, GSX-R yang diilhamkan daripada mesin MotoGP pastinya memberi senyuman yang berkekalan pada mereka yang memacunya kerana ia paling berkuasa, pecutan paling pantas dengan pengendalian terbaik pernah dihasilkan untuk keluarga GSX-R. Untuk menggambarkan sifatnya juga amat mudah. GSX-R ini mampu berlari, meratah selekoh dan berhenti dengan tepat dalam semua keadaan. Bak kata Suzuki, “This is the most awesome GSX-R ever produced.”

Enjin baru 999cc, empat silinder sebaris ini menawarkan kuasa yang tinggi dan lancar dalam semua peringkat termasuk di putaran rpm yang rendah. Dimensi enjin juga dioptimumkan untuk memperkemas Gixxer ini apabila berada di jalan-jalan berselekoh. Prestasi hebat ini merupakan hasil gabungan teknologi terkini yang diasaskan daripada perlumbaan MotoGP antaranya ialah Suzuki Racing Variable Valve Timing (SR-VVT), Suzuki Racing Finger Follower Valve Train, Suzuki Exhaust Tuning-Alpha (SET-A) dan Suzuki Top Speed Injector (S-TFI).

Demi memberi kepuasan dan memudahkan pemilik Gixxer ini, ia telah dilengkapi dengan Suzuki Drive Mode Selector (S-DMS) yang membenarkan penunggang memilih hantaran kuasa yang sesuai dengan gaya dan tahap tunggangan. Model Suzuki baru ini juga menawarkan sistem traction control 10 tahap yang dapat ditukar walaupun ketika menunggangnya dengan syarat pendikit perlu ditutup terlebih dahulu. Penunggang juga dapat menukar posisi gear dengan pantas, tepat dan tanpa perlu melakukan blipping dengan adanya sistem Quick Shift.

GSX-R baru ini memiliki casis yang paling ringan dan paling kompak pernah dihasilkan untuk model 1,000cc. Rekabentuk luarannya juga dibuat serba baru agar lebih mantap dan aerodinamik. Tangkinya direka ramping dengan bahagian atas lebih rendah agar penunggangnya mudah memeluk ketika membuat pecutan. Untuk mudah dilihat dan mudah melihat, GSX-R1000 2016 merupakan model pertama Suzuki yang menggunakan lampu utama jenis LED. Bahagian belakang juga mantap dengan kemasan lampu-lampu jenis LED.

Untuk disepadankan dengan enjin yang berprestasi tinggi serta tubuh badan yang mantap, Suzuki telah melengkapkan model baru ini dengan sistem saspensi hadapan dan belakang dari Showa yang mampu menyerap hentakan dengan cemerlang sekali. Tidak kiralah anda berada di jalan raya, lebuhraya mahu pun di litar perlumbaan, miringkan dan pecutlah jentera ini ke tahap maksimum untuk nikmati kelincahan GSX-R1000 baru ini.

SV650L

Ia bermula pada tahun 1999. Direka untuk keseronokan 'bermain' mesin v-kembar berkuasa sederhana dan dengan sekelip mata, jentera ini menjadi fenomena hebat dalan segmen motosikal jalanan atau streetbike terutamanya di Eropah dan Jepun. Ia diminati kerana merupakan sebuah mesin yang cukup sesuai di kawasan urban dan pada masa yang sama juga merupakan jentera lincah apabila dibawa ke litar. Itulah kehebatan yang dikekalkan pada SV650 dari dulu hingga kini.

Untuk model 2016, ia hanya seberat 195kg (model ABS:197kg) yang bertujuan untuk memudahkan pengendalian dan tindak balas lebih pantas ketika membuat pecutan. Suzuki memberi jaminan, SV650L ini mampu ditunggang ke mana sahaja oleh semua jenis penunggang. Kerampingan jentera ini bukan sahaja membantu kita mudah memanjat jentera ini tetapi juga menjadikan pelindung sisi dapat dibuat dengan bentuk yang ergonomik. Bagi 'kaki leper', jentera 600cc ini mudah untuk kita miringkan sewaktu berada di jalanan berselekoh.

Enjin v-kembar ini dilengkapkan dengan teknologi dual spark iaitu dengan meletakkan dua palam pencucuh di setiap silinder untuk nyalaan yang lebih sempurna. Hasilnya pembakaran menjadi lebih baik dan melancarkan proses penghantaran kuasa serta penjimatan petrol. Jentera baru ini turut dilengkapkan dengan teknologi terbaru iaitu Low RPM Assist (LRA) yang membantu enjin beroperasi dengan lancar walaupun ketika putaran rpm yang rendah. Contohnya apabila kita menarik tuas klac, enjin bertukar bagaikan melahu yang kadangkalanya 'termati' dengan sendirinya. Dengan adanya LRA, ia elakkan daripada berlakunya perkara tersebut.

Untuk memudahkan penunggangnya melihat segala informasi yang tertera, SV ini dilengkapkan dengan meter LED sepenuhnya. Posisi gear, jarak perjalanan, tahap bahan api, jam, suhu, putaran rpm, tahap kelajuan kesemua dipaparkan dengan cukup jelas. Tahap kecerahan lampu latar belakang panel meter ini juga dapat ditala mengikut keinginan seseorang pemiliknya.

SV650L ini didatangkan dengan brek cakera bersaiz 290mm dengan sistem ABS Nissin dan brek belakang 240mm. Fork hadapan jenis teleskopik 41mm dan saspensi jenis link-type di belakang memberi keselesaan kepada penunggang dan pembonceng pada bila-bila masa. Untuk lebih mantap di jalanan berselekoh, ia disempurnakan dengan tayar-tayar radial sport yang bersaiz 120/70ZR 17MC (depan) dan 160/60ZR 17MC di bahagian belakang.

VanVan 200

Minat dengan mesin dan gaya hidup retro? Jika ya.... maka VanVan 200 adalah pilihan anda. Sememangnya trend yang semakin popular di kalangan para pengeluar motosikal sekarang ini untuk menghasilkan jentera klasik dan retro, Suzuki tidak berkecuali. Tarikan utama VanVan 200 ini ialah gabungan rekabentuk bulat yang terdiri daripada lampu utama, lampu isyarat dan panel meter. Walaupun berbentuk retro, VanVan dilengkapi dengan enjin 199cc, sistem pancitan bahan api yang ditala untuk kelancaran maksimum sewaktu bersiar-siar di dalam bandar.

VanVan 200 menggunakan sistem penyejuk udara dan minyak agar prestasi enjin dapat distabilkan walaupun di dalam kesesakan jalan raya. Tidak kira anda muda atau tua, lelaki atau perempuan, pastinya pelananya yang luas, lebar, empuk dan rendah (770mm) menawarkan keselesaan kepada penunggang dan pembonceng. Untuk memudahkan pemiliknya meletakkan barangan, VanVan turut memiliki bar pemegang dengan beg barang yang dipasang pada bahagian madgad belakang.

Jentera retro ini menggunakan fork teleskopik dan penyerap hentak tunggal manakala kestabilannya datang daripada tayar-tayar yang dipasang pada rim jenis aluminium yang ringan dan bertegaran tinggi. VanVan 200 menyinari dunia retro dengan tiga pilihan warna iaitu Metallic Triton Blue, Metallic Mat Fibrion Gray dan Solid Black. RR

Isu Pada

Mac 2016

Popular

  • Dari Litar

    Voge Formica Rossa 150 Bakal Muncul di Perlumbaan CubPrix & ARRC Musim Depan

  • Warta Roda

    Honda RS150R Tiba Dengan Warna Baru

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

Artikel berkaitan

EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

Moto Morini Calibro 700 Masuki Pasaran Negara. Harga bermula RM35,888

Ducati Perkenalkan Panigale V2 & Streetfighter V2 Baru di Milan

EICMA 2024: Aprilia Tuono 457 - Jentera Jalanan Ada Aura

EICMA 2024: Nikmati Dunia Pengembaraan Dengan Voge Valico 800DS Rally

HLYM Perkenalkan Yamaha Y16ZR 6MRO Edisi Terhad – RM13,668

EICMA 2024: Fantic Caballero 700 Edisi Khas - Deluxe & Travel

EICMA 2024: Honda Perkenalkan CL500, Jentera Retro Moden

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

RXZ Twin Boss V2 Oleh FNG Works Akan Dipamerkan di Yokohama Hot Rod Custom Show 2024 di Jepun!

RXZ Twin Boss V2 yang menang di AOS2024 dalam pertandingan Art Of Speed Invitational Bike Build Off akan dipamerkan di Yokohama Hot Rod Custom Show 2024.

Warta Roda

Hong Leong Yamaha Motor Rasmikan Space Y, Muzium Motosikal Pertama di Malaysia

Sekalung tahniah buat Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM) di atas pencapaian pengeluaran motosikal mereka yang ke- 6,000,000 unit. Bersempena dengan hari bersejarah itu, pihak HLYM telah merasmikan muzium motosikal pertama di Malaysia yang dikenali sebagai Space Y.

Dari Litar

CP125: Syamil Akan Raikan Gelaran Juara Lebih Awal Jika Menang Hujung Minggu ini?

Gelaran juara keseluruhan CP125 buat pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - 31 Racing, Md Syamil Amsyar semakin cerah.

Warta Roda

KEDAH OFF ROAD TRAIL & CAMPING 2024

Penganjuran KEDAH OFF ROAD TRAIL & CAMPING 2024 yang dianjurkan semperna Hari Malaysia pada (15/9 - 16/9) lalu telah terlaksana dengan jayanya.