NMAX 150 Skuter Terbaru Yamaha
Tahniah buat Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) yang maju setapak lagi dengan pengenalan sebuah skuter terbaru, NMAX yang menawarkan sebuah enjin pancitan bahan api bersesaran 155cc, empat lejang, SOHC yang mempunyai kemiripan rekabentuk model-model 'Max' lain seperti TMax dan XMax. Pengenalan kepada model ini telah disempurnakan oleh Datuk Kwek Leng San, Presiden dan CEO Kumpulan Hong Leong sambil ditemani CEO HLYM, Dato' Jim Khor.
“Bersempena perayaan Tahun Baru Cina ini, saya cukup yakin model NMAX ini bakal memberikan kekayaan dan kemakmuran kepada para pemiliknya. NMAX memberi tunggangan yang menyeronokkan disamping kepuasan hati dengan rekabentuk anggun dan cukup bergaya,” kata Dato' Jim Khor.
Model ini diasaskan berkonsep 'City Commuter with Global Prestige' dengan enjin BLUECORE serba baru. Enjin ini menawarkan pembakaran yang lebih cemerlang, kuasa enjin yang berpanjangan dan prestasi sistem penyejuk yang sempurna. Para penunggang NMAX ini juga bakal menikmati hantaran kuasa yang mengagumkan manakala tubuh badan yang kompak menjadikan pengendalian mudah dan tepat.
Posisi menunggang yang selesa menjadikan NMAX pilihan yang sesuai untuk para penunggang di bandar dan di desa. Model terbaru Yamaha ini didatangkan dalam dua warna menarik iaitu merah dan kelabu yang ditawarkan pada harga lingkungan RM9,000 hingga RM10,000.
Turut dipertontonkan pada majlis yang sama ialah barisan model paling popular iaitu 135LC yang telah diberikan beberapa pembaharuan seperti pada bahagian hadapan (lampu isyarat baru), lampu belakang dan lampu brek kedua jenis LED dan cermin pengadang udara. Untuk jadikannya lebih menarik, 135LC ini turut didatangkan dengan warna dan corak serba baru. RR
Popular