Tiga Skuter Baru Dari Modenas!
Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) telah memperkenalkan tiga buah skuter terbaru iaitu Modenas Karisma 125 dan Modenas Elegan 250 serta Kymco Downtown 250i. Pengenalan kepada ketiga-tiga model ini pastinya akan memperkukuhkan nama Modenas dalam industri permotoran negara.
Karisma 125 bersesaran 125cc dan mampu menjanakan kuasa setinggi 7.0kW pada 7,500rpm. Antara ciri-ciri yang dilengkapkan pada model ini ialah USB-Port tunggal, ruang simpanan barangan yang luas dan posisi menunggang yang selesa. Karisma 125 merupakan skuter pilihan yang praktikal dan mudah. Ia dijual pada harga RM5,278.80 (termasuk GST) dengan dua warna menarik iaitu Merah Terang dan Putih Mutiara.
Model ini diperkenalkan pada tahun 2004 dulu dan sememangnya merupakan antara skuter yang cukup popular hingga ke hari ini. Untuk model baru ini, Elegan 250 tampil dengan rekabentuk serba baru yang lebih dinamik dan lebih bergaya. Untuk suluhan lebih mantap, skuter maksi ini dilengkapi dengan lampu hadapan dan belakang jenis LED manakala panel meter LCDnya memberikan maklumat yang jelas dan lengkap.
Elegan dilengkapi dengan enjin bersesaran 249.1cc, SOHC, sistem sejukan cecair dengan sistem suntikan bahan api yang menawarkan kuasa maksimum 16.5kW pada 7,000rpm. Elegan 250 diperkenalkan dengan fork hadapan teleskopik untuk penyerapan lebih optimum. Terdapat dua warna pilihan buat model ini iaitu Matt Black, Matt White dan ditawarkan pada harga RM13,599.80 (termasuk GST).
Dengan memiliki hak pengedaran eksklusif jenama Kymco di Malaysia, Kymco Downtown 250i merupakan skuter pertama yang dilancarkan buat jenama ini. Untuk pasaran tempatan, skuter Kymco akan dipasang di kilang Modenas di Gurun.
Model Downtown 250i ini bukan sahaja bergaya tetapi juga mempunyai spesifikasi enjin yang cukup mantap. Enjin 246cc, DOHC, empat injap ini berkuasa 17.1kW pada 7,750rpm dan tork 23.1Nm pada 6,000rpm. Keseluruhan rekabentuknya tampak cukup mewah dan berkuasa. Lampu utamanya (H7 High Output Headlights) direka menyerupai jentera pengembaraan berkuasa tinggi dan ruang kakinya yang luas direka untuk memberi keselesaan buat mereka yang ingin berulang alik atau pun untuk suatu perjalanan jauh. Skuter ini juga dilengkapkan dengan ruang barang bawah pelana yang besar.
Harga asas (termasuk GST) untuk Kymco ini adalah RM22,790 dan ditawarkan dalam dua warna berbeza iaitu Hitam dan Putih. RR
Popular