Honda Wave Dash FI Kini Dengan Pancitan Bahan Api
Boon Siew Honda menambah koleksi jenteranya dengan melancarkan model terbaru Wave Dash FI yang kini dilengkapi dengan teknologi Programmed Fuel Injection (PGM-FI) yang menawarkan kelancaran dan ketepatan pendikit disamping penjimatan bahan api yang optimum. Majlis pelancaran model baru ini telah diserikan dengan kehadiran CEO, Ketua Pegawai Pemasaran & Pengarah Urusan Boon Siew Honda, En. Koji Onishi dan Timbalan CEO, Dato' Sri Tan Hui Jing.
Teknologi PGM-FI ini menggunakan teknik kawalan elektronik yang menghamburkan sejumlah bahan api dan udara dengan tepat ke dalam silinder mengikut tahap kuasa enjin. Untuk lebih selamat menunggang di waktu malam, jentera Dash FI ini dilengkapi dengan lampu posisi di depan, lampu isyarat dan reflektor baru di bahagian belakang. Pelindung ekzos model ini juga berbentuk baru untuk tampak lebih menarik.
“Wave Dash FI ini diperkenalkan untuk mempertingkatkan lagi nilai jualan jenama Honda di pasaran negara. Model baru ini merupakan pilihan ideal untuk semua jenis penunggang yang inginkan sebuah jentera yang berkuasa, selamat, berprestasi tinggi dan jimat petrol.
Dengan menggunakan cogankata 'The Racing Absolute', kami yakin model ini akan mendominasi pasaran Malaysia dengan semangat Honda Racing,” kata En. Koji.
Honda Wave Dash FI ditawarkan dalam tiga varian berbeza iaitu Type S (cakera tunggal), Type R (dua cakera) dan Edisi Repsol pada tiga harga berbeza iaitu RM5,299, RM5,549 dan RM5,699. RR
Popular