Trio MV Agusta Pukau Peminat!
Tahniah buat Mofaz Motosikal Sdn Bhd (MOMOS) dan Chear Motor Sdn Bhd selaku pengedar rasmi jenama MV Agusta di Malaysia dengan kejayaan memperkenalkan empat model terbaru iaitu Stradale 800, F4 RC, Turismo Veloce 800 dan Turismo Veloce 800 Lusso. Ternyata kemunculan model-model baru ini sangat dinantikan oleh ratusan peminat motosikal yang hadir di majlis pelancaran yang telah disempurnakan oleh CEO MOMOS, Dato' Nik Izani dan CEO Chear Motor, Dato' Chear Kin Keong.
Melihat dari segi luaran, MV Agusta sememangnya mempunyai barisan jurutera hebat yang dibuktikan dengan keanggunan rekabentuknya dan kepesatan teknologi yang dilengkapinya. Model F4 RC adalah sebuah jentera sport versi perlumbaan MV Agusta Reparto Corse seperti mana yang digunakan dalam perlumbaan World Superbike WSBK. Model replika jentera lumba ini turut dilengkapi dengan ciri-ciri teknikal dan komponen sama yang digunakan dalam perlumbaan. Hanya sebanyak 250 unit FC R4 dikeluarkan untuk pasaran dunia dan dua daripadanya berada di Malaysia.
Setiap model FC R4 memiliki keupayaan enjin yang cukup hebat dengan kuasa maksimum setinggi 212hp pada 13,600rpm berserta sistem elektronik terkini seperti Ride By Wire dengan empat jenis pemetaan, traction control, Electronic Assisted Shift (EAS), kawalan parameter seperti throttle sensitivity, maximum torque, engine braking, engine response dan rev limiter. Untuk pengendalian hebat, FC R4 dilengkapkan dengan fork hadapan jenis Ohlins USD NIX 30 dan belakang juga dari jenis Ohlins TTX 36. Model terulung ini dijual pada harga RM234,017 (harga atas jalan).
Jika anda inginkan sebuah mesin jalanan berprestasi tinggi yang digabungkan dengan keselesaan jentera pengembaraan maka model Stradale 800 adalah pilihannya. Dengan Stradale 800, pemiliknya seumpama menerima habuan 2 dalam 1. Model yang anggun ini cukup sesuai untuk ditunggang di tengah kota dan juga teman istimewa jika ingin melancong ke destinasi yang nun lebih jauh. Stradale didatangkan dengan enjin 798cc yang menawarkan kuasa setinggi 115hp pada 11,000rpm dan tork 78.5Nm pada 9,000rpm.
Casisnya diperhebat khusus untuk mendapatkan posisi menunggang serba baru yang menawarkan pengendalian yang mudah disamping keselesaan yang optimum. Stradale 800 dilengkapi dengan sistem elektronik terkini seperti traction control, berbagai pilihan pemetaan enjin, sistem keselamatan ABS, electronic quickshifter dan rear-wheel lift-up mitigation. Stradale 800 didatangkan dalam warna putih, merah dan boleh dimiliki pada harga atas jalan RM99,917.
Yang ditunggu-tunggu sudah tiba. Jentera dual-purpose dari MV Agusta bernama Turismo Veloce 800. Jentera pengembaraan ini ternyata menampilkan kemahiran dan kebijaksaan pereka dalam pembuatan motosikal khususnya segmen ini. Selain rekabentuk yang elegan, Turismo Veloce ini menjanjikan prestasi enjin tiga silinder yang mantap serta pengendalian cukup mudah dengan tubuh badan yang ramping.
Keanggunan jentera ini dapat kita nikmati hampir daripada seluruh arah. Lampu hadapan, lampu belakang, panel meter, saspensi belakang jenis tunggal, sistem ekzos dan casisnya paling menyerlah. Turismo Veloce didatangkan dengan empat jenis pemetaan enjin iaitu Touring (90hp), Rain yang berkuasa 80hp, Sport pula 110hp manakala pemetaan Custom talaan pemiliknya.
Turut diperkenalkan ialah Turismo Veloce Lusso yang mempunyai sedikit kelainan seperti sistem saspensi elektronik yang menawarkan tunggangan lebih selesa dan efisien, pemanas grip, tongkat tengah dan sensor GPS. Turismo Veloce dan Turismo Veloce Lusso ditawarkan dalam beberapa warna menarik seperti putih, kelabu dan merah. Harga atas jalan untuk Turismo Veloce ialah RM111,129 manakala Turismo Veloce Lusso berharga RM121,145 (atas jalan).
Untuk mendapatkan info yang lebih terperinci mengenai prestasi Turismo Veloce ini, sila dapatkan laporan penuhnya dalam ruangan Pandu Uji, RodaRoda Jun 2015 (Bil 344). RR
Popular