Honda 2016 Mantap & Hebat!
Honda merupakan antara jenama motosikal yang paling berpengaruh di seluruh dunia dan sejak diasaskan di penghujung tahun 1940an, jenama ini sentiasa memberi ‘sayap’ buat jutaan pengguna jalanraya untuk ke setiap destinasi yang dihajati. Terima kasih buat Soichiro Honda atas cintanya pada mesin dua roda, hingga saat ini kita mampu terus melihat jentera Honda bergerak megah hampir di mana sahaja sama ada di kota, di desa mahu pun di litar perlumbaan.
Untuk terus mekar di hati peminat motosikal, Honda bakal memasuki tahun baru, 2016 dengan barisan jentera-jentera baru dipamerkan di EICMA yang cukup mengagumkan. Kita mulakan dengan model paling ditunggu-tunggu, CRF Africa Twin. Seperti model-model sebelum ini, Africa Twin sinonim dengan panggilan ‘Go Anywhere’ atau Ke Mana Sahaja yang telah terbukti di kalangan para pencinta motosikal sebagai ‘alat’ pengangkutan paling ideal untuk ke mana sahaja.
Africa Twin 2016 menawarkan rekabentuk serba baru, bermula dari bentuk bahagian hadapan yang mantap terdiri daripada lampu utama seperti mata watak ‘Robin’ dalam filem Batman, ruang udara kecil di sisi fairing, sistem ekzos yang kreatif dan bahagian enjinnya. Model baru ini dilengkapi dengan enjin dua silinder parallel 998cc dengan sistem bahan api PGM-FI yang menawarkan kuasa maksimum 70kW pada 7,500rpm dan tork 98Nm pada 6,000rpm. Jurutera Honda yang mencipta Africa Twin baru ini memberi tumpuan sepenuhnya terhadap hantaran kuasa yang linear tetapi cukup garang apabila pendikit dipulas. Model ini turut dilengkapi dengan pelbagai sistem elektronik terkini seperti Honda Selectable Torque Control (HSTC), Dual Clutch Transmission (DCT), dan sistem ABS.
Untuk kestabilan yang tinggi di jalanan luar bandar, Africa Twin ini dilengkapkan dengan kerangka jenis semi-double cradle dan fork-fork Showa di hadapan (45mm) dan belakang (jenis hidraulik). Turut menyumbang kepada daya kawalan yang mudah ialah rekabentuk tangki 18.8 liter dan bentuk fairing serta cermin pengadang angin serba baru yang cukup unik. Model ini ditawarkan dalam empat warna iaitu Merah CRF Rally, Africa Twin Tricolor, Digital Silver Metallic dan Matte Ballistic Black Metallic.
CBR500R
Sekali tengok ia memang antara mesin 500cc paling cantik di EICMA pada tahun ini serta jauh berbeza dan lebih agresif berbanding model-model sebelum ini. Tarikan utama model ini tentunya datang dari sistem lampu utama dan lampu belakang jenis LED. Tangkinya juga diberi bentuk baru yang tampak seperti mesin 1000cc manakala ruang belakang jauh lebih kemas berbanding CBR500R lama. Dari sisi mata kita akan tertumpu kepada enjinnya yang berwarna seperti tembaga dan sistem ekzos ‘pendek’ yang moden.
Enjin 471cc DOHC ini dihasil berasaskan kejuruteraan CBR yang berkuasa tinggi dengan rekaan aci engkol, shaft utama dan countershaft mirip dengan enjin RR empat silinder. Struktur enjin CBR ini juga dibuat terus seperti yang digunakan pada CBR600RR dan CBR1000RR. Sistem pancitan bahan api PGM-FI memberikan tindakbalas yang tepat di antara enjin dan pendikit dengan kuasa maksimum 35kW pada 8,500rpm dan tork 43Nm pada 7,000rpm.
Berada di jalanan selekoh juga amat mengujakan dengan CBR ini dan ia disebabkan kerangkanya dibuat dengan menggunakan keluli tiub berlian 35mm yang ringan dan tegar. Honda juga telah melengkapkan CBR ini dengan fork hadapan yang kini jenis boleh laras dan sistem ABS. Terdapat tiga jenis warna untuk CBR500R iaitu Merah Milenium, Putih Mutiara Metalloid dan Hitam Graphite.
CB500F
Jauh lebih mantap, jauh lebih tegap. Itulah gambaran paling tepat mengenai model jalanan terbaru ini. Dari segi luarannya, antara bahagian yang diberi nafas baru ialah tangki yang lebih besar, sistem lampu jenis LED depan dan belakang, fork hadapan dengan spring pra beban boleh laras, tuas brek boleh laras, ruang kemasukan udara di belakang dan semestinya sistem ekzos yang lebih ringan. Demi memberikan pengalaman menunggang yang meyakinkan, CB ini lengkap dengan kerangka yang sama seperti model R tetapi sudutnya diubah sedikit agar lebih responsif terutamanya di jalanan-jalanan berselekoh.
CB500F ini juga sesuai ditunggang oleh penunggang wanita kerana pelananya hanya setinggi 785mm serta seberat 192kg. Untuk kejituan semasa cuba memperlahankan kelajuan, model ini didatangkan dengan brek cakera hadapan bersaiz 320mm dan belakang 240mm. CB ini diperkenalkan dalam tiga warna pilihan iaitu Matt Gunpowder Black Metallic, Merah Milenium dan Kuning Lemon Ice.
CB500X
Kalau di Malaysia, model ini adalah yang paling laris dijual dan pastinya CB500X ini bakal menarik perhatian anda. Gabungan antara lampu utama, paruh (peak) dan cermin pengadang udaranya yang serba baru lebih anggun dan lasak berbanding model sebelumnya, benar-benar mencerminkan gaya sebuah jentera adventure. Untuk menjamin keselamatan,
System) telah dilengkapkan pada CBX ini. Seperti dua lagi model CB500F dan CBR500R, mesin dual purpose ini didatangkan dengan enjin 471cc yang berkuasa 35kW pada 8,500rpm dan tork 43NM pada 7,000rpm.
Tangkinya kini bersaiz 17.5 liter (model terdahulu 17 liter) yang dianggarkan mampu membawa pemiliknya mengembara lebih daripada 500 kilometer. Turut ditawarkan ialah ruang barangan sederhana di bawah pelananya. Seperti model lama, ketinggian pelana CB500X kekal pada 810mm dan ia ditawarkan juga dalam tiga warna iaitu Matt Fresco Brown, Merah Milenium dan Putih Mutiara Horizon.
NC750S, NC750X & Integra
Trio popular ini telah dipertingkatkan yang kini mengikut piawaian EURO4 serta lengkap dengan sistem Dual Clutch Transmission (DTC). Model-model ini juga kini mempunyai mod ECO yang akan bertukar warna paparannya di panel meter mengikut penggunaan bahan api. Ketiga-tiga model ini juga ternyata lebih menyerlah dengan penggunaan lampu utama dan belakang jenis LED yang terbukti lebih bergaya dan lasak.
Dari segi spesifikasi dan prestasi enjin, model-model ini tetap mengekalkan kehebatan serta pengendalian yang mantap seperti model sebelum ini.
Honda City Adventure Concept
Model konsep ini ternyata menarik perhatian setiap pengunjung di ruang pameran Honda. Walaupun tiada sebarang informasi khusus mengenai model ini, apa yang dapat dikongsi ialah ia merupakan generasi terbaru dunia skuter – lebih cenderung kepada segmen ‘pengembaraan’ atau jalanan. Ciri-ciri ini dirumus berdasarkan saspensinya yang panjang, bar hendal ala streetbike, tayar jenis separa knobby, sistem ekzos seperti mesin sportbike serta pengadang udara boleh laras.
Kemantapan prestasi skuter ini dapat kita rasainya apabila melihat pada sistem brek hadapannya (sepasang cakera) serta casisnya. Rupanya yang sangat moden pastinya memberi impak besar kepada dunia automatik terutamanya untuk penggunaan di dalam bandar. Ia bergaya, lain daripada yang lain dan tampak mewah! RR
Popular