Kawasaki Z900RS: Gaya Sport Retro Terkini
Untuk terus menyinari dunia jentera retro dan klasik khususnya di Malaysia, Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd (KMSB), telah melancarkan model yang ditunggu-tunggu iaitu Z900RS pada akhir Februari lalu. Majlis pengenalan kepada model retro ini telah disempurnakan oleh Menteri di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Dato' Seri Hamzah bin Zainuddin.
Apa yang pastinya, model Z900RS ini mengingatkan kita kepada model Z1 dan siri Zephyr yang pernah mengagumi setiap pencinta motosikal suatu ketika dahulu. Model baru ini disempurnakan dengan enjin empat silinder DOHC, sistem penyejuk cecair yang menawarkan kuasa setinggi 111ps pada 8,500rpm dan tork 98.5Nm pada 6,500rpm. Untuk kemantapan tunggangan di pelbagai jenis permukaan jalan, RS dilengkapkan dengan fork hadapan terbalik 41mm serta saspensi Horizontal Back-Link.
Walaupun tampil dengan gaya retro, Kawasaki ini telah dilengkapi dengan sentuhan rekabentuk dan teknologi terkini seperti Kawasaki Traction Control (KTRC), Assist & Slipper Clutch dan sistem ABS. Z900RS ini menggunakan LED yang bertujuan untuk suluhan lebih terang dan tampak lebih menarik. Panel meternya direka mirip seperti model Z1 (nombor dan tulisan yang sama) dengan satu meter digital yang memaparkan tahap bahan api, posisi gear, suhu, masa, jarak perjalanan, penunjuk KTRC, Trip A dan Trip B.
Z900RS juga merupakan model pertama Kawasaki yang didatangkan dengan Tuned Exhaust Note – hasil penyelidikan untuk bunyi ekzos yang ideal dan mengagumkan. Sistem ekzos baru ini juga dicipta dua lapisan agar bahagian krom tidak akan bertukar warna oleh haba seperti mana sistem ekzos krom biasa.
Untuk membuktikan prestasi dan keseronokan menunggang jentera ini, KMSB telah menganjurkan satu sesi tunggang uji ringkas pada awal Mac lalu di Putrajaya. Menerusi sesi ini, setiap wakil media diberi peluang selama sejam untuk menikmati jentera retro ini. Dalam perjalanan sekitar 50km tersebut, RR dapat menikmati beberapa keistimewaan Z900RS ini. Antaranya ialah posisi menunggang yang natural, tegak dan selesa. Ini kerana bar hendal telah ditinggikan dan perubahan posisi tempat pemijak yang sedikit ke hadapan.
Kuasa pecutan model ini tidak menghampakan manakala gear-gear terawal yang sangat lembut memudahkan kita memecut dengan lancar. Walaupun model retro ini dicipta bukanlah untuk memecut, kelajuan dengan mudah mencecah sehingga 160km/j dalam gear kelima tanpa sebarang gangguan pada enjin dan sistem transmisi. Panel meter jenis analog pula amat mudah untuk dilihat – tidak kira dalam waktu apa sekali pun.
Sememangnya Z900RS ini sebuah jentera yang cukup menyenangkan hati. Ia bergaya, pantas dan selesa. Bagi model Z900RS Edisi Khas, ia berharga RM69,900 manakala model biasa pula dijual pada harga RM67,900 (kesemua harga tersebut telah termasuk GST). Tunggu laporan Pandu Uji sepenuhnya pada bulan berikutnya. RR
Popular