Yamaha Y15ZR Baru Kini Lebih Garang
Yamaha Y15ZR dibawa masuk ke dalam pasaran negara pada tahun 2015 yang lalu dan tidak dinafikan ia telah mendapat sambutan luar biasa di kalangan para penunggang motosikal di Malaysia tidak kira tua atau muda, lelaki mahu pun wanita. Model ini diminati kerana kelajuan, rekabentuk menarik, keselesaan posisi menunggang dan ketahanan enjinnya.
Kini... selepas empat tahun, Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM) telah melancarkan model terbaru Y15ZR v2 pada 24 Mac lalu di perlumbaan pusingan pertama PETRONAS AAM Malaysian Cub Prix yang berlangsung di Jasin, Melaka. Majlis pengenalan kepada model terbaru tersebut telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan HLYM, Dato' Jim Khor yang ditemani oleh para VVIP lain. Turut menjadikan upacara pelancaran model baru ini lebih menarik dengan penampilan empat orang pelumba Yamaha iaitu Ahmad Afif Amran, Kasma Daniel Kasmayudin, Md Akid Aziz dan Tengku Amirul Haffirudin yang masing-masing memacu Y15ZR terbaru.
Model baru ini dilengkapi dengan enjin 150cc, sistem penyejuk cecair yang berkuasa 11.3kW pada 8,500rpm dan tork 13.8Nm pada 7,000rpm. Sememangnya rekabentuk Y15ZR baru ini cukup segar dengan lampu utama jenis LED yang lebih garang, panel meter LCD yang moden, rekacorak grafik yang menarik dan tayar hadapan lebih lebar (90/80).
Yamaha ini turut disempurnakan dengan empat pilihan warna menarik seperti Striking Cyan, Blazing Red, Storm Blue dan Dynamic Grey. Para pelanggan turut ditawarkan dengan kunci brek cakera berkualiti tinggi yang berharga sekitar RM100. Harga jualan untuk model Y15ZR ialah RM8,168 (tidak termasuk cukai jalan dan pendaftaran). Turut menanti para pembeli jentera ini ialah kunci brek cakera stainless steel yang bernilai RM100. RR
Popular