Dua Model Terkini Royal Enfield Dilancarkan
Jenama Royal Enfield ternyata semakin digemari di kalangan para pencinta motosikal khususnya dunia retro di negara ini. Selain memiliki rekabentuk klasik, ketahanan enjinnya membuatkan pemilik jentera ini mudah untuk ke mana sahaja.
Untuk terus berdaya saing dengan penampilan rekabentuk segar dan diminati ramai, Royal Enfield Malaysia (RE Motorcycles Sdn Bhd) telah melancarkan dua model terbaru iaitu Royal Enfield Continental GT 650 & Royal Enfield Interceptor INT 650 di pusat pameran RE yang terletak di Taman Perindustrian Tiong Nam, Shah Alam. Majlis pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan RE Motorcycle Sdn Bhd, Dato' Chear Kin Keong ditemani oleh Pengurus Besar RE Motorcycle Sdn Bhd, En. M. Syahrul.
Dengan tema 'The Legend Returns' kedua-dua model serba baru ini sememangnya menarik minat ramai dengan rekabentuknya yang unik serta spesifikasi enjin yang sungguh mantap. RE Continental GT 650 memiliki sentuhan cukup halus dan kemas, mengimbaukan kenangan lalu - diinspirasikan daripada jentera Cafe Racer yang terkenal pada era 1950an & 1960an. Tangki berlekuk, posisi menunggang yang sporty, sistem ekzos cukup garang dan rim berjejarinya merupakan ciptaan eksklusif yang memberi kebanggaan buat sesiapa sahaja yang memilikinya.
Enjin bersesaran 650cc menawarkan kuasa setinggi 47hp pada 7,250rpm dan tork maksimum 52Nm pada 5,250rpm. RE Continental GT 650 berharga RM49,228 yang didatangkan dengan waranti selama tiga tahun (tanpa had perjalanan).
RE Interceptor INT 650 pula adalah pilihan yang sesuai untuk pelbagai jenis tunggangan seperti di lebuhraya, laluan berliku & di kotaraya. Ia memiliki posisi menunggang yang natural, pelana yang empuk dan bar hendal yang sempurna. Model ini disempurnakan dengan enjin kembar parallel 650cc yang memiliki kuasa maksimum 47hp pada 7,250rpm dan tork 52Nm pada 5,250rpm – cukup sempurna untuk tunggangan santai dan memecut di lebuhraya.
Lampu hadapan Interceptor INT 650, cermin sisi dan panel meternya direka berbentuk bulat agar citarasa retro dapat dikekalkan. Enjin dengan kemasan krom pula menaikkan lagi seri jentera ini tidak kira dilihat dari arah mana sekali pun. Model ini ditawarkan pada harga RM46,628 juga dengan waranti selama tiga tahun (tanpa had perjalanan). Memang menarik!
Kunjungi RE Motorcycles Sdn Bhd (Royal Enfield Malaysia) yang terletak di Taman Perindustrian Tiong Nam untuk melihat dengan lebih dekat. RR
Popular