Pencabar Baru Segmen Cruiser, BENDA LFC700 PRO - RM48,888

Bersempena dengan pembukaan Mforce Bike Shop yang pertama di Melaka, BENDA Motorcycles Malaysia telah memperkenalkan model terbarunya iaitu BENDA LFC700 Pro. Kehadiran model ini sudah pasti bakal merancakkan lagi pasaran segmen Cruiser di Malaysia.
BENDA LFC700 Pro merupakan sebuah motosikal berprestasi tinggi yang direka khas buat mereka inginkan sebuah jentera berkuasa, teknologi tinggi dan agresif. Model ini menggunakan enjin empat silinder sebaris yang bersesaran 676cc dengan sistem penyejuk cecair. Enjinnya mampu menghasilkan kuasa maksimum 69kW pada 11,000rpm dan tork 63Nm pada 8,500rpm.
Jentera ini menampilkan rekabentuk yang model dan futuristik serta lain berbanding dengan model Benda yang ada di pasaran negara. Bahagian hadapannya terdapat sistem Ram-Air intake yang berfungsi untuk laluan kemasukan udara bagi mengoptimumkan suhu enjin ketika menunggang dengan laju. Lampu utamanya terletak bahagian atas sistem tersebut yang menawarkan pencahaan lebih terang. Fungsi lampu LED juga turut terdapat pada lampu belakang, lampu isyarat dan lampu DRL.
Menariknya, model ini dilengkapi dengan lampu Spotlight boleh lipat (Foldable Spotlight) di mana lampu ini kita boleh buka dan sembunyikan dengan hanya menekan butang yang tersedia di panel bar hendal sebelah kiri.
Sistem saspensi depan menggunakan fork teleskopik jenis terbalik manakala belakang pula dipadankan bersama sistem Air Suspension jenis Monoshock. Lebih menarik, penunggang boleh melaraskan sistem ini sekali gus menawarkan keselesaan posisi tunggangan mengikut ketinggian pelananya.
Antara ciri-ciri lain yang ada adalah sistem ABS dua saluran, meter TFT 5-inci, Traction Control, soket pengecas USB, tinggi pelana 695mm, tangki bahan api 17 liter dan berat 287kg. Selain itu, motosikal ini tampak lebih menonjol menerusi tayar hadapan bersaiz 19 inci dengan kelebaran 130/70 dan belakang 18 inci yang mempunyai kelebaran 300/35.
BENDA LFC700 Pro ditawarkan pada harga asas RM48,888 (tanpa cukai jalan dan insurans) dengan dua pilihan warna iaitu Gold dan Black. RR
Popular