BMW Motorrad Malaysia Perkenalkan BMW C 400 X & C 400 GT. Harga bermula RM47,500

BMW Motorrad Malaysia telah melancarkan skuter maksi baru iaitu BMW C 400 X & C 400 GT yang direka sesuai untuk para pencinta jentera automatik di seluruh negara. BMW C 400 X dilengkapi dengan ciri-ciri dinamik yang dipertingkatkan, sementara BMW C 400 GT pula, model Gran Turismo yang sesuai untuk perjalanan jarak jauh. Kedua-dua model ini dikemas kini untuk tahun 2025 dengan penambahbaikan teknikal serta ciri, warna, dan aksesori baharu.
Kedua-dua skuter maksi ini didatangkan dengan enjin silinder tunggal yang memiliki hantaran kuasa setinggi 25 kW (34 hp) pada 7,500 rpm dan tork maksimum 35 Nm pada 5,750 rpm. Dipadankan dengan transmisi CVT yang lancar dan responsif, menjadikannya pilihan ideal untuk tunggangan di bandar mahupun pengembaraan jarak jauh.

Sistem BMW Motorrad ABS Pro ditawarkan sebagai ciri standard. Ia untuk memastikan keselamatan optimum pemilik skuter ini walaupun ketika membrek pada sudut condong/miringan. Selain itu, ABS Pro juga mengelakkan roda daripada terkunci meskipun tuas brek digunakan secara mengejut.

Sementara itu, sistem Dynamic Brake Control (DBC) yang dihubungkan dengan ABS Pro memberikan tindak balas yang lebih sensitif, serta kestabilan yang lebih tinggi ketika membrek. Turut membantu pergerakan jentera ini lebih selamat ialah sistem Dynamic Traction Control (DTC) dan Engine Drag Torque Control (MSR) yang juga hadir sebagai ciri standard.

BMW C 400 X dilengkapi dengan paparan TFT 6.5 inci beserta aplikasi BMW Motorrad Connected manakala panel meter untuk C 400 GT bersaiz 10.25 inci dan kedua-duanya lengkap dengan sistem Connectivity Pro. Paparan ini disambungkan dengan suis kepelbagaian kawalan pada bahagian kiri pemegang, membolehkan kawalan yang pantas, selamat, dan mudah.

Namun begitu, kedua-dua model juga didatangkan dengan persediaan navigasi sebagai 'Optional', yang membolehkan penunggang mengintegrasikan BMW Motorrad Connected Ride Navigator atau Connected Ride Cradle untuk pengalaman navigasi yang lebih canggih.

BMW C 400 X Baharu dan BMW C 400 GT Baharu turut menawarkan ruang penyimpanan yang lebih luas, meningkatkan kepraktisan untuk penunggangan harian mahupun perjalanan jarak jauh. BMW C 400 X Baharu kini menyediakan tambahan 3 liter ruang penyimpanan di bawah tempat duduk, manakala BMW C 400 GT Baharu menawarkan sehingga 12 liter ruang tambahan, termasuk poket hadapan.
Selain itu, BMW C 400 GT Baharu dilengkapi dengan cermin penghadang angin boleh laras secara manual sebagai standard, membolehkan penunggang menyesuaikan tahap perlindungan angin untuk keselesaan optimum semasa perjalanan jauh.

BMW C 400 X menampilkan gaya yang berani dan dinamik, dengan warna badan Kalamata Metallic Matt, tempat duduk gabungan merah dan hitam, rim merah, serta tayar berpenampilan gaya offroad. Harga asas untuk model ini ialah RM47,500.
BMW C 400 GT Baharu hadir dalam varian “Exclusive”, menonjolkan gaya yang elegan dan canggih menerusi warna Diamond White Metallic, rim emas, sulaman tempat duduk yang sepadan dengan warna rim, angkup brek hadapan emas, serta cermin penghadang angin yang sedikit gelap dan ditawarkan pada harga asas RM53,500. Memang padu! RR