Honda NSS250 2025 Tampil Warna Baru & Meter TFT

Selain model CBR150R dan X-ADV 750, Boon Siew Honda turut memperkenalkan versi skuter terkini iaitu Honda NSS250 bagi tahun 2025.
Honda NSS250 tampil dengan teknologi canggih dan rekabentuk premium yang menawarkan prestasi dipertingkatkan untuk kegunaan harian ataupun mengembara. Model ini dijana enjin 249.5cc esP+ yang menghasilkan maksimum 17kW pada 7,750rpm dan nilai torknya 24Nm pada 6,250rpm. Model ini juga menjanjikan kecekapan bahan api dan pengurangan pelepasan. Dengan peningkatan praktikal dan pilihan warna segar, NSS250 kekal sebagai antara skuter pilihan yang bergaya, serba boleh dan inovatif untuk sebarang perjalanan.
Skuter ini didatangkan dengan paparan meter TFT 5-inci serba baharu dan jelas untuk memudahkan kita melihat segala informasi yang terdapat pada meter. Tambahan pula, dengan adanya Honda RoadSync, penunggang boleh mengakses sistem navigasi, panggilan dan muzik dengan mudah melalui set kepala topi keledar yang disambungkan menerusi sistem Bluetooth.
NSS250 menampilkan cermin penghadang angin elektronik untuk perlindungan dan mengurangan tamparan angin ketika menunggang laju. Selain itu, saluran udara hadapan meminimumkan rintangan angin bagi memastikan perjalanan yang lebih lancar dan selesa. Sistem pencahayaan LED meningkatkan lagi pandangan hadapan untuk tunggangan pada waktu malam bagi memastikan perjalanan yang lebih selamat.
Dari segi kemudahan dan keselamatan tambahan pada model ini, NSS250 turut ditampilkan bersama sistem Kunci Pintar yang membolehkan penunggang menghidupkan jentera tanpa menggunakan kunci fizikal. Menerusi sistem ini juga memudahkan pemilik membukan ruang simpanan yang ada di bawah pelana. Teknologi ini juga mempunyai sistem anti-kecurian untuk menghalang jentera diusik tanpa kebenaran. Terdapat juga butang jawab-balik pada remote untuk mencari motosikal yang dileyakkan di lokasi sesak.
Antara ciri-ciri lain yang dipadankan pada NSS250 adalah fork teleskopik 33mm, kerangka jenis keluli tiub, penyerap hentak berkembar di belakang, Honda Selectable Torque Control (HSTC), Emergency Stop Signal (ESS), tangki bahan api 11.7 liter, berat 185kg dan tinggi pelana 780mm.
Honda NSS250 ditawarkan pada harga asas bermula RM25,888 dengan lima pilihan warna seperti Pearl Smoky Gray, Matte Gun Powder Black Metallic, Candy Rosy Red serta dua lagi warna baru iaitu Pearl Jubilee White dan Pearl Shining Black. RR