CFMOTO Malaysia Lancar 700MT – RM33,888

Bersempena dengan majlis berbuka puasa bersama para media, Mforce Bike Holdings Sdn Bhd telah memperkenalkan dua model terbaru yang salah satunya dari CFMOTO Malaysia iaitu 700MT.
CFMOTO 700MT merupakan motosikal segmen Adventure Touring yang dijana dengan enjin 693cc dua silinder, DOHC dan sistem penyejuk cecair. Sebagai sebuah jentera yang sesuai untuk tunggangan di onroad dan offroad, model ini menghasilkan kuasa maksimum 50kW pada 9,500rpm dan tork 60Nm pada 6,000rpm.
Model ini dipandankan bersama kotak gear 6-kelajuan bersama sistem slipper klac yang melancarkan lagi proses penukaran kedudukan gear. Terdapat juga fungsi Upshift Alert yang boleh dihidupkan atau matikan. Sistem ini berfungsi bagi mengoptimumkan prestasi enjin untuk memastikan proses penukaran gear ‘Upshift’ dalam keadaan yang bersesuai dari tetapan 2,000rpm hingga 11,900rpm.
Untuk menawarkan keselesaan buat para penunggangnya, 700MT dilengkapi dengan sistem saspensi hadapan jenis USD manakala bahagian belakang menggunakan penyerap hentak jenis monoshock boleh laras. Dari segi sistem keselamatannya, terdapat dua brek cakera di bahagian hadapan dan belakang menggunakan brek cakera tunggal. Sistem ABS pada jentera ini memastikal jentera dapat diberhentikan dengan selamat. Menariknya, ABS pada tayar belakang boleh dimatikan untuk menawarkan keseronokkan tunggangan di laluan offroad.
Antara kelengkapan lain seperti paparan meter TFT, pemanas pendikit, pemanas pelana, Traction Control, tayar 110/80R19 (depan), tayar 150/70R17 (belakang), tangki bahan api 20 liter, berat 240kg, tinggi pelana 800mm secara standard, TPMS, Emergency Stop Signal (ESS) dan soket pengecas USB Type-C dan Type-A.
Untuk tunggangan menyeronokkan, CFMOTO 700MT mempunyai cermin penghadang angin yang boleh dilaras secara manual sebanyak tujuh tahap. Dengan harga bermula RM33,888 (tanpa cukai jalan dan insrans), jentera ini lengkap bersama kotak simpanan sisi yang masing-masing bersaiz 35 liter dan kotak simpanan atas seluas 45 liter.
Model ini sudah berada di semua pengedar sah CFMOTO di seluruh negara dengan dua pilihan warna yang menarik iaitu Nebula White dan Nebula Black. RR