VOGE DS800 Rally - Prestasi dan spesifikasi menarik perhatian!

Segmen motosikal adventure kelas pertengahan ternyata semakin hari semakin popular. Jika dahulunya ia dimonopoli oleh sesetengah jenama sahaja tetapi kini hampir setiap pengeluara motosikal dari Timur ke Barat akan cuba mengeluarkan model-model kembara dengan pelbagai spesifikasi.
LONCIN Motor Co., Ltd merupakan pengeluar motosikal yang diasaskan pada tahun 1993 dan VOGE merupakan jenama premium mereka. Selain dua roda, Loncin juga mengeluarkan kereta elektrik, generator, mesin rumput, jentera perindustrian dan helikopter drone. VOGE memberi tumpuan dalam penjualan motosikal dan pelbagai jenis komponen motosikal yang berkualiti tinggi.
Dengan kepakaran dan kualiti tinggi yang terdapat pada produk-produk keluarannya, VOGE mendapat kepercayaan syarikat gergasi dari German iaitu BMW Motorrad untuk bekerjasama bermula dari tahun 2005. Pada tahun 2007, kerjasama ini membawa kepada pengenalan enjin 650cc. Pada tahun 2013, kedua-dua pihak mencapai perjanjian pembekalan baharu mengenai enjin silinder berkembar dan dua tahun kemudian (2015), projek skuter maksi telah dijalankan secara rasmi.


VOGE juga menyediakan platform untuk menghasilkan enjin untuk model kembara BMW F900 GS yang kemudian menjurus kepada pengenalan model dari mereka sendiri iaitu DS900 X. Ya..model ini telah pun hadir ke pasaran negara baru-baru ini pada nilai jualan RM49,998 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans). Memang padu! Selain itu, pasaran negara turut memasarkan dua lagi model dari VOGE iaitu CU525, pesaing baru dalam segmen cruiser dan model moped, Formica Rossa FR150.
Ketika menghadiri lawatan ke kilang Loncin di Chongqing, China tempohari, pihak media telah berpeluang melihat secara eksklusif hampir setiap proses pembikinan sesebuah motosikal di sana. Ia adalah satu pengalaman yang membuka mata dan minda khususnya tentang kualiti produk keluaran VOGE ini.
Dari sudut perancangan struktur kilang, operasi harian, lokasi penempatan kakitangan, teknologi peralatan, etika/disiplin pekerja, proses pembikinan yang teratur dan termasuklah suasana persekitaran yang memang mengagumkan. Tidak hairanlah mengapa BMW Motorrad boleh bekerjasama dengan syarikat ini.
Selepas selesai sesi lawatan dan taklimat, para wartawan turut diberi peluang menunggang uji beberapa model yang disediakan terdiri daripada skuter, cruiser, supersport dan model-model kembara seperti DS900 X, DS800 Rally, DS525 dan Rally 250.
Saya memilih untuk 'memanjat' ke atas Rally 250 terlebih dahulu. Aduh..pelananya setinggi 920mm membuatkan saya terpaksa menjengket. Namun begitu, jentera ini cukup mudah dikendalikan sebaik saja ia bergerak. Litar ujian di kilang Loncin ini tidak begitu panjang tetapi telah diletakkan beberapa tempat halangan seperti berbatu, berbonggol, air bertakung, berpasir dan berbukit. Semuanya dapat diredah dengan mudah.
DS525 pilihan kedua saya. Jentera ini dirasa agak berat tetapi tidaklah mengganggu pergerakan. Ia hadir dengan enjin 494cc yang menawarkan hantaran kuasa setinggi 47.6hp, sesuai untuk mengembara santai. Tayar hadapannya bersaiz 19-inci, belakang 17-inci yang dipadankan dengan brek-brek cakera 298mm (depan), 240mm (belakang) beserta sistem ABS (tiga mod).

Mantap betul hantaran kuasa DS900 X! Posisi menunggang yang cukup selesa, pelananya tidak setinggi model Rally tadi. VOGE DS900X hadir dengan enjin 895cc dwi-silinder, empat-lejang yang mampu menghasilkan hantaran kuasa maksimum 70kW dan tork maksimum 95Nm, memang memudahkan pecutan. Model ini padat dengan teknologi terkini tetapi sayangnya saya tidak dapat merasa segala potensi lebih-lebih lagi mod tunggangannya. Apa pun, sistem brek, traction control, quickshifter, ABS dan paparan panel meter TFT itu memang cukup memuaskan hati.
Secara jujurnya, saya lebih minat untuk menunggang uji satu lagi model kembara iaitu DS800 Rally. Model ini diperkenalkan di EICMA tahun lalu dengan nama yang sediki berbeza iaitu Valico 800DS Rally. Dari depan, lampu-lampu LED memang nampak garang, ditambah pula dengan panel meter TFT yang cukup jelas dan lengkap sistem penyambungan telefon pintar.
Pelananya agak tinggi iaitu 850mm tetapi posisi menunggangnya tegak, natural dan cukup selesa (untuk pengembaraan jarak jauh). Saya juga suka dengan rekabentuk tangkinya yang sebesar 24 liter itu. Ia ramping, membuatkan saya lebih mudah untuk mengepit ketika mengendalikan jentera ini khususnya di dalam selekoh yang tajam. Apabila memulas pendikit, fuh...hantaran kuasanya memang padu betul.
Dalam masa yang agak singkat itu, sempat jugalah saya menguji penyerap hentak di depan dan belakang yang bekerja dengan cukup efisien sekali. Semua halangan saya rentasi...memang tidak ada masalah langsung! DS800 Rally ini lebih 'suka' diuji di laluan-laluan lebih lasak, Rimba Raid barangkali? Lap kedua, saya memanjat laju ke laluan berbukit. Fork hadapan jenis terbaik (USD) dan sistem ABS 'bisa melenyapkan' rasa ragu-ragu - cukup selesa. Sistem ABS ini juga boleh kita 'matikan' hanya dengan satu 'klik' apabila berada di laluan-laluan lasak.
Lap ketiga dan keempat, saya perlahankan kelajuan untuk mendaki dengan perlahan. Risau juga takut tersalah gear. Mati enjin tengah mendaki memang tergolek lah jawabnya. Putaran enjin yang padu serta casisnya yang tegap membolehkan kita berdiri di atas dan mengawal VOGE ini dengan mudah. Best betul motor ni (dalam hati). Memiringkannya dalam selekoh juga cukup 'confident', saya lihat rakan-rakan media lain juga bagaikan satu pendapat. Setiap lap bukan sahaja lebih laju tetapi miringan juga lebih dalam - yakin benar gayanya tu!
Yes...model ini dijangka akan masuki pasaran negara tahun ini. Harganya belum ditentukan lagi tetapi dijangka di bawah RM50,000.
Selain itu, saya juga menunggang uji beberapa model lain seperti skuter maksi SR400, cruiser CU525 dan jentera supersport, RR660S. RR
Spesifikasi VOGE DS800 Rally
- Enjin: Kembar-parallel twin, 8 injap, sistem penyejuk cecair, DOHC
- Isipadu: 798 cc
- Kuasa maksimum: 94 hp pada 9,000rpm
- Tork maksimum: 81 Nm pada 6,500rpm
- Laju maksimum: 190 km/h
- Tayar hadapan: 90/90-21
- Tayar belakang: 150/70 R18
- Saspensi hadapan: fork hadapan USD jenis KYB, boleh laras
- Saspensi belakang: penyerap hentak tunggal KYB
- Transmisi: 6 kelajuan
- Kelegaan tanah: 220 mm
- Tinggi pelana: 850 mm
- Isi tangki: 24 liter
- Berat: 213 kg
- Sistem elektronik: Mode-pelbagai ABS, traction control
- Pencahayaan: Lampu-lampu LED
- Panel meter: Paparan TFT berwarna penuh