Triumph Perkenalkan Speed Triple 1200 RS Dengan Prestasi & Pengendalian Lebih Cemerlang
![](https://sutera.rodaroda.my/images/uploads/covers/_large/Untitled-2_96.jpg)
Triumph Motorcycles telah memperkenalkan Speed Triple 1200 RS baru yang hadir dengan kemantapan prestasi lebih berkuasa berbanding sebelum ini. Enjin bersesaran 1160cc dengan kuasa maksimum 183PS pada 10,750 rpm dan tork 128Nm pada 8,750 rpm. Enjin tiga silinder memberikan gabungan terbaik untuk prestasi luar biasa di atas jalan dan di litar dengan menawarkan tindak balas pendikit segera serta penyampaian kuasa yang lancar.
Kehebatan jentera baru ini khususnya di laluan berliku disumbangkan oleh sistem saspensi Ohlins SmartEC3 separa-aktif generasi terkini. Ia memfokuskan ketepatan pengendalian, ketangkasan dan kawalan yang tepat. Brek cakera dengan angkup Brembo Stylema® MCS Brembo menawarkan kuasa berhenti yang cemerlang. Tayar Pirelli Diablo Supercorsa SP V3 memberikan prestasi seperti jentera lumba litar lumba. Padu!
Model jalanan ini hanya seberat 199kg, pelana setinggi 830mm dan kelebaran bar hendal yang menjurus kepada betapa mudahnya ia dikawal oleh semua jenis penunggang sama ada di laluan berselekoh mahu pun ketika di dalam bandar.
Tayar hadapannya bersaiz 120/70-17 manakala di belakang 190/55-17 menawarkan tahap cengkaman yang luar biasa untuk kenikmatan meratah setiap selekoh-selekoh dengan penuh keyakinan.
Masih mengekalkan DNA rekabentuk Speed Triple selama 30 tahun, model baru ini kekal dengan lampu hadapan berkembar LED yang cukup terang manakala lengan ayun tunggal bukan sahaja tampak agresif tetapi memiliki keupayaan prestasinya yang mengagumkan. Lampu belakang nampak 'simple' tetapi ia cukup terang dan tepat.
Pakej peralatan dan teknologi canggih yang dipadatkan pada Speed Triple baharu ini meletakkan penunggang dalam kawalan yang tepat. Antaranya ialah Mod Tunggangan (Rain, Road, Sport, Track, Rider), Optimised Cornering ABS, Optimised Cornering Traction Control dan Triumph Shift Assist/Quickshifter.
Antara ciri-ciri menarik lain ialah Front Wheel Lift Control, Engine Braking Control, Brake Slide Control dan Cruise control. Semua talaan dan info motosikal ini dapat dilihat dengan jelas menerusi panel meter TFT 5-inci. Menerusi panel ini juga penunggang boleh mengakses sistem sambungan komunikasi, navigasi dan muzik moden menerusi My Triumph Connectivity System.
Sistem autocruise yang ada pada model ini boleh laras sepenuhnya untuk pengembaraan lebih lama, dan sistem Emergency Deceleration Warning pula akan membuatkan lampu brek berkelip-kelip dengan lebih galak untuk memberi isyarat 'kecemasan' kepada para pengguna jalanraya apabila kita melakukan brek kecemasan dengan keras.
Triumph Speed Triple 1200 RS 2025 ini ditawarkan dalam tiga warna pilihan iaitu Jet Black, Granite/Diablo Red, Granite/Performance Yellow. Kita harap agak pihak Didi Group cepat-cepat bawa masuk model ini ke pasaran negara. RR