Modenas Kriss 125 Fi Diperkenalkan - Harga Bermula RM5,620
Motosikal Dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) telah memperkenalkan model terbaru iaitu Modenas Kris 125 Fi. Seperti yang dipaparkan dalam media sosial rasmi mereka, model ini hadir dalam dua pilihan warna iaitu Glacier Emerald Green dan Graphite Grey.
Kriss 125 Fi menggunakan enjin 125cc Euro 4, silinder tunggal, SOHC dengan sistem penyejuk udara. Enjin yang menggunakan sistem suntikan bahan api ini menghasilkan kuasa 6.3kW pada 8,000rpm dan tork 8.5Nm pada 6,000rpm.
Bahagian hadapan model ini dikemaskan dengan lampu utama jenis LED yang menawarkan pencahayaan lebih baik dan tahan lama serta menawarkan penjimatan penggunaan elektrik sebanyak 72%. Terdapat juga lampu Daytime Running Light (DRL) pada bahagian dada. Sementara itu, lampu belakang jenis halogen tetapi lampu-lampu isyarat ditawarkan dengan pencahayaan LED.
Paparan meter adalah jenis analog untuk meter kelajuan dan odometer. Manakala bagi kedudukan gear dan tahap bahan api adalah LED. Model ini juga turut dilengkapi dengan soket pengecas USB yang terdapat di bahagian hadapan dan bawah pelana.
Bagi memudahkan pergerakkan, terdapat ruang simpanan bawah pelana seluas 6.6 liter untuk memudahkan penunggang menyimpan barangan mereka. Modenas Kriss 125 Fi ini juga sudah mempunyai lampu kecemasan.
Antara kelngkapan lain yang ditawarkan pada jentera ini adalah fork teleskopik, penyerap hentak berkembar di belakang, transmisi 4-kelajuan, tangki bahan api 4.2 liter, berat 98kg, tinggi pelana 775mm, brek cakera 220mm di depan dan kerangka jenis Backbone.
Dengan bertaglinekan Ikon Rakyat, Modenas Kriss 125 Fi ditawarkan pada harga permulaan RM5,620 (tanpa cukai jalan dan insurans). RR
Popular