KOVE 350RR - Jentera sportbike baru yang bakal mencabar pasaran global.
Jenama KOVE ternyata semakin popular di kalangan para peminat motosikal di seluruh dunia lebih-lebih lagi dengan pencapaian pasukan KOVE Racing Team yang bersaing dalam perlumbaan WorldSBK dalam kategori 300cc. Selepas mengharungi musim yang mencabar, pasukan ini akhirnya telah berjaya meraih kemenangan di tempat pertama dan ketiga dalam perlumbaan akhir menerusi Julio Garcia Gonzalez dan Marc Garcia.
Untuk terus memberi saingan, KOVE telah melancarkan model sport terbaru untuk pasaran tahun 2025 nanti. Ia adalah 350RR yang hadir dengan enjin serba baru, 344cc lebih tinggi berbanding model sebelum ini. Enjin tersebut mampu menjanakan hantaran kuasa setinggi 34 kW (45.6 hp) pada 11,000rpm dan tork 32 Nm pada 9,000 rpm. Top speed untuk model ini adalah sekitar 190 km/j.
Dari segi penggayaan, lampu hadapan dan belakang jenis LED yang menawarkan suluhan cukup cerah untuk tunggangan siang mahu pun malam. Panel meter jenis TFT yang dilengkapkan dengan sistem penyambungan dengan telefon pintar. Rekaan fairing memang padu, lengkap dengan 'winglet' untuk lebih aerodinamik.
Casis juga telah direka semula dengan gaya trellis agar lebih tangkas dan lincah sama ada di litar mahu pun di laluan biasa. Sistem saspensi disempurnakan dengan fork hadapan USD jenis hidraulik yang dipadankan dengan lengan ayun serta penyerap hentak tunggal di bahagian belakang. Tayar hadapan bersaiz 110/70 R17 manakala di belakang pula 150/60 R17 yang kedua-duanya menggunakan brek cakera tunggal beserta sistem ABS.
Kita berharap pihak KOVE Malaysia akan memperkenalkan model ini ke pasaran negara tahun hadapan. RR
Ciri-ciri lain pada KOVE 350RR:
- Tinggi pelana: 790mm
- Berat: 151kg
- Isi tangki: 13 liter
- Tapak roda: 1,3790mm
- Kelegaan bumi: 135mm