Triumph Tiger Sport 660 2025 Lebih Mantap!

Triumph Tiger Sport 660 tahun 2025 menawarkan pelbagai teknologi baru yang cukup sesuai buat penunggang baharu dan pada masa yang sama meningkatkan tahap pasaran agar lebih kompetitif.
Jentera yang disempurnakan dengan enjin tiga silinder dan pengendalian tangkas, Tiger Sport 660 sememangnya sesuai untuk penunggang yang mahukan sebuah jentera yang serasi dengan keperluan mereka. Memang boleh dijadikan 'teman' untuk ke bandar atau menerokai pelbagai destinasi setiap hujung minggu.
Hadir dengan enjin 660cc, tiga silinder, sistem penyejuk cecair DOHC yang berkuasa 81bhp pada 10,250rpm dan tork 67.4Nm pada 6,250rpm.
Triumph Motorcycles telah menambah teknologi canggih yang biasanya dimiliki oleh jentera berkapasiti besar, termasuk mod tunggangan 'Sport' baharu (Mod sedia ada: Road & Rain), sistem sambungan telefon pintar dengan navigasi, Cruise Control, dan Triumph Shift Assist Quickshifter, Traction Control dan sistem Cornering ABS yang memastikan perjalanan kita selamat dan menyeronokkan.
Segala informasi dan talaan dapat dipilih menerusi panel meter TFT berwarna penuh yang turut dilengkapkan dengan sistem My Triumph Connectivity yang memudahkan perjalanan.
Jentera ini membuktikan Triumph sedia memberi saingan dalam pasaran jentera kembara kelas pertengahan. Antara yang telah dipertingkatkan dengan perincian reka bentuk lebih baik seperti braket pannier bersepadu, tangki bahan api 17.2 liter untuk perjalanan lebih jauh, cermin depan boleh dilaraskan (hanya guna satu tangan).
Fork hadapan USD jenis Showa, dipadankan dengan penyerap hentak tunggal di belakang dengan pelarasan pra-beban untuk memastikan menunggang solo, berdua atau dengan muatan penuh boleh dinikmati dengan selesa. Brek-brek jenis Nissin (depan 310mm, belakang 255mm) beserta ABS.
Pihak Triumph juga menyediakan lebih daripada 40 aksesori pelbagai pilihan termasuk Top Box lebih besar, Rak Barangan, belly pan dan banyak lagi.
Model ini ditawarkan dalam tiga warna premium menarik iaitu Sapphire Black (terbaru), Roulette Green, Carnival Red stsu Crystal White. Model baru ini dijangka akan tiba di pusat pengedar bermula di Eropah pada bulan Januari 2025. RR