Aveta VTM 250 Masuki Pasaran Negara - Harga Asas Bermula RM12,988

Aveta Global Marketing Sdn Bhd yang merupakan pengeluar, pemasangan dan pengeluar motosikal jenama Aveta telah menambah rangkaian motosikal adventure mereka, VTM 250. Jentera ini didatangkan dalam dua varian untuk pasaran negara iaitu VTM 250 M (Motard) dan VTM 250 LX (Enduro).
Kedua-dua jentera ini menampilkan spesifikasi enjin yang sama di mana ianya menggunakan enjin 250cc, silinder tunggal, SOHC dan sistem penyejuk minyak. Perbezaan utama yang boleh dilihat adalah melalui saiz tayar dan kelegaan tanah pada motosikal tersebut. VTM 250 LX mempunyai jarak kelegaan tanah 305mm yang turut dipadankan bersama saiz tayar hadapan 21-inci dan belakang 18-inci.
Manakala untuk VTM 250 M pula memiliki ketinggian dari tanah 290mm dengan rim aluminium 17-inci bagi depan dan belakang. Selain itu, varian M ini juga turut dihadirkan dengan sepasang sistem ABS pada roda hadapan.
RR turut diberi kesempatan tunggang uji ringkas bagi kedua-dua varian. Dari segi rupabentuknya adalah lebih kurang sama tetapi keupayaannya adalah berbeza. Aveta VTM 250 LX lebih mengutamakan untuk tunggangan lasak dan juga 'Offroad'. Sistem saspensi di hadapan dan belakang menyerap segala hentakan dengan mantap.
Setelah duduk diatasnya posisi tunggang amat selesa. Manakala hantaran kuasa torknya cukup padu ketika mendaki bukit. Cuma penukaran ke kedudukan gear Neutral kami rasakan sedikit keras.
Sementara itu, VTM 250 M pula menawarkan keselesaan untuk tunggangan di atas jalan raya. Walaubagaimanapun jentera ini juga boleh melayan laluan-laluan offroad yang ringan. Walaupun jentera ini mempunyai ketinggian pelana 908mm, kedua-dua kaki kami (tinggi penunggang sekitar 780mm) masih boleh memijak permukaan bumi.
Posisi tunggang varian M lebih Relax berbanding LX. Untuk tunggangan harian pun tiada masalah. Kelebaran tayar pula memudahkan kami mengambil selekoh dengan cukup yakin.
Aveta VTM 250 LX ditawarkan pada harga asas RM12,988 (tanpa insurans & cukai jalan) bersama dua pilihan warna iaitu Arsenal Red dan Army Green. VTM 250 M pula boleh dimiliki pada harga asas RM13,388 (tanpa insurans & cukai jalan) yang didatangkan dengan warna-warna Blazing Red dan Admiral Blue. Masing-masing tersedia di pasaran penghujung bulan Oktober dan bulan Disember 2024. RR