MV AGUSTA 2018
Ketika di Pameran Motosikal Antarabangsa EICMA lalu, model terbaru MV Agusta Dragster 800 RR telah dicalonkan sebagai 'The Most Beautiful Bikes Of The Year' dan sememangnya ia merupakan jentera yang benar-benar memukau serta membuktikan kehebatan dan kebijaksaan para pereka dan jurutera yang melahirkan jentera ini.
Lambang RR sebenarnya disimpan hanya untuk model terbaik empat silinder dari MV dan kini... jentera tiga silinder terbaru iaitu Brutale 800 Dragster juga diberi penghormatan untuk menggunakan lambang RR kerana kehebatannya. Brutale 800 Dragster RR merupakan kombinasi terbaik untuk kuasa, gaya, kecemerlangan casis dan rupabentuk garang dalam kelasnya yang tersendiri. Tiada pencabar yang mampu menandingi keunikan ciptaannya.
Brutale 800 Dragster RR menawarkan rekabentuk cukup anggun di setiap sudut rekaan terutamanya pada bahagian lampu belakang dan lengan ayun tunggal. Lekukan tangkinya cukup seksi, ekzos tiga corong bukan sahaja cantik tetapi juga menawarkan bunyi yang garang. RR didatangkan dengan enjin 798cc yang mempunyai kuasa setinggi 140hp pada 13,100rpm dan tork 86Nm pada 10,100rpm.
Untuk disesuaikan dengan kepantasan dan kekuatan enjinnya, MV Agusta telah melengkapkan model ini dengan fork hadapan teleskopik hidraulik Marzocchi jenis terbalik 43mm. Manakala penyerapan hentakan di belakang disempurnakan oleh penyerap hentak tunggal, progresif Sachs dengan jarak roda 125mm. Kesempurnaan jentera yang seberat 168kg ini juga datangnya daripada sistem brek-brek jenis Brembo yang membantu tayar-tayar Pirelli Diablo Rosso bersaiz 120/70 ZR17 (hadapan) dan 200/50 ZR17 (belakang) untuk 'melekat' dengan kemas sewaktu dalam miringan mahu pun ketika memperlahankan kelajuan dengan pantas.
Selain Brutale 800 Dragster RR, MV Agusta turut memperkenalkan modelmodel yang diperhalusi dan ditambahbaik seperti model Brutale 800 RC 'Reparto Corse' yang mempunyai rekacorak perlumbaan. Model ini menepati piawaian Euro 4 dengan kapasiti enjin 798cc yang menawarkan hantaran kuasa maksimum 140hp pada 13,100rpm dan tork 86Nm pada 10,100rpm.
Antara komponen baru yang dilengkapkan pada model ini ialah peredam harmonic, aci sesondol baru, pelaras, panduan injap (valve guides) dan pemacu gear utama yang direka dengan menggunakan bahan baru untuk mengurangkan gegaran. Sistem transmisi turut diberi penambahbaikan agar lebih lancar dalam kesemua peringkat kuasa.
Pakej elektronik turut tidak ketinggalan, unit pendikit dipertingkatkan, EAS (Electronic Assisted Shift Up & Down) 2.0 Quick Shift, sistem pengurusan enjin Full Ride by Wire System beberapa pemetaan enjin dengan lapan tahap Traction Control. Panel meter Brutale baru kini dilengkapi dengan On Board Diagnostics (OBD). Kelajuan maksimum di dalam lingkungan 244.0 km/j (151.6 bsj).
Turut diperkenalkan ialah Brutale 800 RR Pirelli Edisi Terhad yang dicipta khas demi memberi penghormatan kepada kerjasama di antara MV Agusta dan Pirelli yang terbentuk sejak
berdekad-dekad yang lalu. Untuk tujuan edisi terhad ini, para pereka MV Agusta memberi tumpuan kepada komponen dan skima warna. Contohnya, pelana yang dibuat khusus untuk model ini dengan kemasan jahitan berwarna yang benar-benar anggun. Gabungan warna hitam, merah kelabu dan sedikit putih memang sangat menyerlah – bakal dipandang berkalikali oleh pencinta motosikal.
Unit braket lampu utama dicatkan dengan warna hitam – sama seperti sub kerangka. 'Grill' pelindung kotak udara dan rim turut diwarnakan baru dan ia bukan model terhad Pirelli lah jika tidak dilengkapi dengan tayartayar Pirelli Diablo Supercorsa SP (model Brutale 800 RR: Pirelli Diablo Rosso III).
F3 800 RC & F3 675 RC
Kedua-dua model sport ini sememangnya mendapat pujian daripada para pencinta motosikal di seluruh dunia atas kemampuannya beraksi cukup cemerlang di litar mahu pun di jalanan biasa. Model F3 RC ditawarkan dalam dua buah jentera yang berisipadu berbeza dengan keduaduanya dihasilkan mirip dengan jentera perlumbaan seperti mana yang dimiliki oleh Cluzel dan Zanetti.
Bagi model F3 675 RC, enjinnya memiliki kuasa hantaran setinggi 128hp pada 14,400rpm dan tork 71Nm pada 10,900rpm. Model F3 800 RC pula berkuasa 148hp pada 13,000rpm dan tork setinggi 88Nm pada 10,600rpm. Kehebatan kedua-dua model ini tidak perlu dinafikan lagi selepas kita melihat kemampuan para pelumba MV Agusta dalam perlumbaan WSSP.
Dari segi rekabentuk dan corak grafik, kedua-dua model ini tidak jauh berbeza termasuklah posisi menunggang saiz tangki, sistem brek, saiz tayar dan ketinggian pelananya (805mm). Kedua-dua model RC ini juga diperkemaskan dengan sistem elektronik terkini seperti platform Motor & Vehicle Integrated Control System (MVICS) yang membenarkan para penunggang menguruskan prestasi jentera ini menggunakan sistem Ride by Wire lebih efektif dengan tiga jenis pemetaan dan lapan tahap TC.
F4 LH44 Lewis Hamilton adalah bukti kukuh kejayaan mutlak kolaborasi di antara MV Agusta dan juara tiga kali F1 World Championship, Lewis Hamilton yang telah menghasilkan satu 'seni' yang unik dan tersendiri. F4 LH44 merupakan cabang model F4 RC yang dihasil berasaskan jentera perlumbaan MV Agusta Reparto Corse Superbike yang memiliki kuasa hantaran setinggi 205hp.
Keanggunan jentera ini datangnya daripada skima warna iaitu merah Candy Apple di bahagian fairing yang disepadankan dengan kerangka trellis buatan tangan CrMo berwarna Putih Mutiara. Penggunaan gentian karbon di komponen-komponen seperti beberapa bahagian fairing yang bukan sahaja menjadikannya lebih cantik tetapi juga mengurangkan berat keseluruhan jentera ini.
Untuk prestasi mantap, F4 LH44 (hanya 44 unit akan dibuat untuk pasaran dunia) dilengkapi dengan fork hadapan Ohlins USD NIX 30 Tin-Coated dan penyerap hentak belakang Ohlins TTX 36. Ini amat penting untuk mengawal jentera yang cukup pantas di selekoh-selekoh tajam dengan cengkaman jitu daripada tayartayar Pirelli Diablo Supercorsa SP.
Turismo Veloce RC
Memang memberikan rasa lebih hebat dan lebih berkeyakinan apabila melihat sebuah jentera pengembaraan (dual-purpose) diwarnakan dengan gaya dan rekacorak jentera perlumbaan. Madgad hadapannya dikemaskan dengan carbon fiber, rim bertempa yang diasaskan daripada model F4RC. Pelana pembonceng juga telah diperbaiki untuk tujuan ergonomik dan keselesaan untuk perjalanan jauh.
Prestasi mantap di jalanan berselekoh disumbangkan oleh sistem penyerap hentak elektronik. EAS 2.0, TC lapan tahap, pemetaan enjin (Touring, Sport dan Rain). Peralatan standard yang dimiliki oleh model ini ialah sistem navigasi Garmin, kotak barang sisi 30 liter, tongkat tengah, cermin pengadang udara boleh laras, pemanas pendikit dan cruise control.
Pengenalan kepada model ini membuktikan kecintaan MV Agusta pada dunia dua roda sentiasa berada di tahap tertinggi. Segala rekaan menyentuh jiwa dan benarlah kata President MV Agusta, Giovanni Castiglioni, “Saya amat berpuas hati dengan penstrukturan dan penyusunan semula rancangan untuk kemajuan jenama ini agar terus menjadi ikon sebenar produk 'Made in Italy'.”
Tahniah diucapkan buat MV Agusta yang sekali lagi menampilkan barisan jenteranya yang cukup mengagumkan. Rekabentuk yang sentiasa unik dan tersendiri serta teknologi tinggi adalah kekuatan yang sentiasa membawa jenama ini ke hadapan.
Menurut MV Agusta Malaysia, model-model baru ini sudah pasti akan mewarnai pasaran motosikal negara pada tahun ini. RR
Popular