VOGE FR150 Formica Rossa Bakal Pencabar Baru Segmen Moped 150cc di Malaysia?
Baru-baru ini Mforce Bike Holdings Sdn Bhd telah mengumumkan kerjasamanya bersama jenama motosikal milik syarikat induk Chongqing Loncin iaitu Voge. Selepas memeterai perjanjian bersama syarikat dari China itu, Mforce melancarkan dua model jenama baharu iaitu Voge FR150 Formica Rossa dan CU525 ke pasaran negara.
Voge FR150 merupakan pencabar baru bagi segmen moped 150cc di Malaysia yang dipacu dengan enjin satu silinder, 4-lejang, DOHC dan sistem penyejuk cecair. Enjin transmisi 6-kelajuan beserta sistem klac jenis slipper ini berupaya menghasilkan kuasa maksimum 11.5kW pada 8,500rpm dan tork 13.5Nm pada 7,500rpm.
Model ini turut disempurnakan dengan sistem kunci pintar dan bahagian hadapan di perkemaskan bersama lampu-lampu LED dan Daytime Running Light (DRL). Walaupun sekadar model moped berkapasiti 150, FR150 turut dipadankan dengan sistem ABS dua saluran bagi meningkatkan lagi ciri keselamatannya.
Antara ciri-ciri lain yang ditawarkan seperti soket USB, fork hadapan jenis teleskopik, penyerap hentak tunggal, tangki bahan api 5.8 liter, panel meter LCD, berat 145kg dan tinggi pelana 795mm.
Voge FR150 ditawarkan pada harga asas RM8,888 dan terdapat tiga pilihan warna iaitu Heat Red, Bold Blue dan Canary Yellow.
Voge CU525 adalah versi pemasangan tempatan (CKD) bagi pasaran Malaysia yang bakal menggugat segmen Cruiser di sini. Rekabentuknya ternyata memang cukup menarik sekali. Semasa pelancarannya di MAS 2024, model ternyata antara yang juga mendapat perhatian dari para pengunjung.
CU525 dilengkapi dengan enjin 494cc, dua silinder sebaris, DOHC dan sistem penyejuk cecair sekaligus dapat menghasilkan kuasa 39.6kW pada 8,500rpm manakala torknya 50.5nm pada 7,000rpm.
Sistem brek cakera di depan dan belakang dipadankan bersama angkup jenis J Juan. Manakala ciri teknologi yang ada seperti sistem ABS dan Traction Control (TCS). Bagi menawarkan keselesaan, sistem saspensinya menggunakan fork USD bagi bahagian hadapan dan belakang adalah penyerap hentak berkembar.
Kelengkapan lain pula seperti tayar 130/90-16 (depan), 150/80-16 (belakang), tangki bahan api 15 liter, meter berbentuk bulat dengan paparan LCD, berat 178kg dan tinggi pelana 710mm.
Harga asasnya pula RM29,888 (tanpa insurans dan cukai jalan) dengn tiga warna iaitu Shadow Black, Turquoise Green dan Persian Blue. RR
Popular