KTM 990 RC R Versi Jalanan Sah Masuki Pasaran
Berita 'sah'nya kehadiran model KTM 990 RC R versi jalanan pastinya memberi senyuman dan keterujaan buat para peminat jentera sportbike di seluruh dunia.
Seperti yang kita jangkakan, jentera yang dihasilkan ini memiliki karaktor dan spesifikasi yang sama dengan motosikal litar. Jika inginkan prestasi tahap tertinggi, pemiliknya hanya perlu melakukan 'pengubahsuaian minimum' untuk mengubah versi asal kepada 990 RC R Track Edition.
KTM 990 RC R yang dihomologasikan untuk kegunaan jalanan biasa ini hadir dengan enjin LC8c yang berkuasa 128ps (126bhp) dan nilai tork 103 Nm pada 10,500 rpm. Kemantapan bunyi KTM ini dapat dinikmati menerusi sistem penyenyap jenis keluli tahan karat 'ergo-crafted'.
Kerangkanya juga direka baru – tidak sama dengan model RC8 R dan sudah pasti ergonomik adalah kunci kepada prestasi KTM 990 RC R.
Melihat kepada rekaan KTM 990 RC R ini, sudah pasti kita semua tahu inspirasinya dari apa, ya...dari model RC16 MotoGP – walaupun cuba dilindung menerusi corak 'dazzle-camo'.
Tangki bahan api merupakan elemen utama ciri ergonomik yang dipadankan dengan bar hendal serta tempat pemijak yang boleh dilaras. Untuk pergerakan lebih tangkas, KTM telah melengkapkan model ini dengan sistem saspensi WP Apex yang cukup serasi bersama rim tetuang aluminium.
Model ini dijangka akan mula memasuki pasaran global pada suku kedua tahun 2025 nanti. RR